Salam Sejahtera, Diantara berikut yang manakah betul i) Seorang lelaki dewasa / seorang dewasa lelaki ii)Seorang remaja lelaki / seorang lelaki remaja diharap tuan dapat memberikan alasannya. Tq | Pada kebiasaannya bentuk seorang lelaki dewasa atau seorang lelaki remaja digunakan. bentuk seorang dewasa, lelaki atau seorang remaja, lelaki boleh juga digunakan bergantung pada apa yang hendak difokuskan. | Tatabahasa | 06.05.2008 |
Tuan, Untuk setiap dua set tiga ayat yang berikut yang manakah betul dari segi tata bahasanya? 1a) Guru sebagai pemimpin komuniti. 1b) Seorang guru sebagai pemimpin komuniti. 1c) Seorang guru sebagai seorang pemimpin komuniti. 2a) Seorang guru perlu menjadi seorang pengurus kelas yang baik. 2b) Seorang guru perlu menjadi pengurus kelas yang baik. 2c) Seorang guru perlu menjadi seorang pengurus kelas yang baik. Didahului dengan ribuan terima kasih. Yg benar, Mark. | Bagi ayat nombor 1, ayat yang betul ialah 1a, iaitu Guru sebagai pemimpin komuniti. Manakala ayat nombor 2, dicadangkan ayat berikut : Seseorang guru perlu menjadi pengurus yang baik. | Tatabahasa | 15.11.2010 |
Adakah ayat di bawah ini betul? 1. Kelihatan seorang jururawat sedang memberikan satu suntikan di lengan seorang pesakit. 2. Seorang jururawat sedang menyelimutkan pesakit. 3. Terdapat beberapa orang pesakit yang ada di hoospital. 4. Seorang doktor sedang menyuluh lampu di mata pesakit. 5. Seorang pesakit sedang duduk di atas kerusi roda yang dibawa oleh jururawat. | 1. Ayat pertama betul. 2. Seorang jururawat sedang menyelimuti pesakit dengan selimut. 3. Terdapat beberapa orang pesakit berada di hospital. 4. Seorang doktor sedang menyuluh ke dalam mata pesakit. 5. Seorang pesakit sedang duduk di atas kerusi roda yang disorong oleh jururawat. | Tatabahasa | 13.08.2013 |
Seorang nabi atau Seorang Nabi? | Seorang nabi. | Ejaan | 23.09.2011 |
Sebagai seorang pelajar............................ Ibu bekerja sebagai seorang kerani........... Mengapa penggunaan Seorang tidak tepat dalam ayat ini? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan seorang bermaksud satu orang dan sendiri. Orang merupakan penjodoh bilangan bagi manusia dan tidak perlu menggunakannya bagi menunjukkan pelajar atau kerani berdasarkan konteks ayat yang dinyatakan. Perkataan 'pelajar' dan 'kerani' sudah diketahui sebagai manusia dan satu orang. Oleh itu, 'seorang' perlu digugurkan dan memadai ..Sebagai pelajar... Ibu bekerja sebagai kerani... | Tatabahasa | 01.08.2012 |
Perbuatan ini menunjukkan kita seorang yang berbudi bahasa. Adakah penggunaan kita seorang itu betul ? Kita adalah jamak manakala seorang adalah tunggal. | Dalam konteks ayat di atas, "kita" ada yang bermaksud "saya" dan biasanya digunakan dalam bahasa percakapan, oleh itu "kita seorang" bermaksud "saya seorang". | Tatabahasa | 27.07.2007 |
Ali mempunyai seorang kakak, seorang adik dan dua orang abang.Soalannya: Berapakah adik - beradik di dalam keluarganya?adakah termasuk Ali juga? | Ini bukanlah soalan tentang penggunaan bahasa. Sila berbincang dengan guru atau rakan di sekolah. | Lain-lain | 15.03.2008 |
1. Seorang daripada guru atau seorang daripada guru-guru. | 1. Seorang guru. | Tatabahasa | 10.03.2010 |
Adakah ayat di bawah ini betul? 1. Seorang doktor perempuan sedang membawa pesakit untuk meletakkan di atas tilam. 2. Jururawat itu sedang membawa warga tua menaiki kerusi roda. 3. Jururawat Sakina sedang menyorong kerusi roda yang ada Pak cik Leng. 4. Seorang jururawat sedang membawa seorang lelaki yang duduk di atas kerusi roda itu. 5. Jururawat menolak kerusi roda yang diduduk oleh pesakit itu. 6. Seorang jururawat yang bernama Faizah sedang menyorong seorang pesakit tua. | 1. Seorang doktor perempuan sedang membawa pesakit untuk diletakkan di atas tilam. 2. Jururawat itu sedang menyorong warga tua yang menaiki kerusi roda itu. 3. Jururawat Sakina sedang menyorong kerusi roda yang dinaiki oleh Pak cik Leng. 4. Seorang jururawat sedang menyorong seorang lelaki yang duduk di kerusi roda itu. 5. Jururawat menolak kerusi roda yang diduduki oleh pesakit itu. 6. Seorang jururawat yang bernama Faizah sedang memimpin seorang pesakit tua. | Tatabahasa | 10.08.2013 |
Seorang "puan" memapah seorang mangsa. Dalam ayat ini bolehkah saya menggunakan "puan" ? atau mesti bubuh dengan nama " Puan Tan "? | Ayat yang betul ialah "Puan Tan memapah seorang mangsa". | Tatabahasa | 20.04.2010 |