Adakah padanan yang betul bagi perkataan “semi-processed” adalah “diproses separa” atau “separa diproses”. Sama juga dengan perkataan “semi-fermented” adakah “separa tertapai” atau “tertapai separa”. Ini kerana melalui semakan kami perkataan seperti di bawah ini pula perkataan “separa” berada di belakang. part evaporation penyejatan separa. partly skimmed milk susu skim separa partial alcoholic beralkohol separa partially hydrogenated oils lemak separa terhidrogen | Padanan bahasa Melayu bagi “semi-processed” ialah separa proses dan “semi-fermented” ialah separa tertapai. | Makna | 07.07.2021 |
Salam. 1. Adakah "sesuatu" dan "seseorang" juga tergolong dalam ka5a ganda separa? 2. Adakah kata ganda separa hanya merujuk kepada kata nama sahaja? TERIMA KASIH. | Perkataan "sesuatu" dan "seseorang" tidak tergolong dalam kata ganda separa. Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh terdiri daripada kata tunggal atau kata terbitan. Selain penggandaan separa kata tunggal yang lazimnya merupakan kata nama seperti: laki --> lelaki pohon --> pepohon ada juga pengganda separa daripada kata berimbuhan yang terdiri daripada kata kerja: berlari-lari dimarah-marah mencari-cari tolong-menolong Untuk mendapatkan maklumat lanjut, tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 77 dan 137. | Tatabahasa | 07.04.2015 |
Selamat sejahtera... Kata ganda terbahagi kepada 3 iaitu kata ganda penuh, kata ganda berentak dan kata ganda separa. Saya inginkan penjelasan lanjut tentang kata ganda separa, iaitu adakah semua perkataan boleh digandakan menggunakan kata ganda separa ? Sebagai contoh, pohon menjadi pepohon, rambut menjadi rerambut, tingkap menjadi tetingkap dan sebagainya. Adakah kipas boleh menjadi kekipas, ladang menjadi leladang, benda menjadi bebenda, baju menjadi bebaju sekiranya kita menggunakan kata ganda separa untuk perkataan tersebut ? Jika ada kekecualian atau kategori perkataan yang boleh digunakan, perkataan yang bagaimana boleh menggunakan kata ganda separa dan perkataan yang bagaimana tidak boleh menggunakan kata ganda separa ? Terima kasih... | Encik Abdul Razak, Pergandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus.Untuk huraian yang lebih lengkap sila rujuk tatabahasa halaman 77 dan 78. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
Wujudkah kata ganda separa tunggal dan kata ganda separa berimbuhan bagi perkataan SALAH dan KURANG? | Tidak ada kata ganda separa tunggal dan kata ganda separa berimbuhan bagi perkataan "kurang" dan "salah" kecuali "sekurang-kurang". | Tatabahasa | 30.03.2022 |
1)Kata ganda separa bagi perkataan biru 2) kata ganda separa berimbuhan | 1. Tiada kata ganda separa tunggal bagi perkataan biru 2. Kebiru-biruan | Lain-lain | 22.06.2021 |
Assalamualaikum.. adakah perkataan "sesekali" dan "sekeliling" termasuk dalam kata ganda separa? | Kata "sesekali" merupakan Kata Adverba dan bukan Kata Ganda Separa. Kata "sekeliling" merupakan Kata Nama dan bukan Kata Ganda Separa. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 1996 dan 1023. | Lain-lain | 15.01.2024 |
Adakah perkataan "jejaka" dikategorikan sebagai kata ganda separa? | Perkataan jejaka menepati rumus kata ganda separa seperti laki - la-laki - lelaki (jaka - ja-jaka - jejaka). Walau bagaimanapun sumber kamus menunjukkan jaka dan jejaka sebagai varian bagi lelaki dewasa. | Tatabahasa | 08.09.2021 |
Maksud dan difinisi separa perubatan | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan perubatan bermaksud perihal berubat, yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati. Perkataan separa bermaksud sebahagian sahaja, tidak sepenuhnya,separuh. Oleh yang demikian frasa tersebut bermaksud sebahagian/tidak sepenuhnya/separuh perihal berubat atau yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati. | Makna | 26.04.2008 |
Assalamualaikum tuan, Adakah perkataan 'sesuai' termasuk dalam kata ganda separa? Mohon pencerahan. | Kata "sesuai" merupakan Kata Adjektif bukan Kata Ganda Separa. Untuk maklumat lanjut, mohon merujuk Buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 17.08.2022 |
Assalamualaikum..merujuk kepada buku teks Bahasa Malaysia Tahun 4 terbitan DBP, pada muka surat surat 146, ada dinyatakan tentang kata ganda SEPARA berimbuhan berserta contoh: berlari-lari (awalan), sayur-sayuran (akhiran), bersalam-salaman (apitan) dan beberapa contoh yang lain. (Sila rujuk lampiran fail yang saya sertakan) Saya ingin mendapatkan kepastian sama ada kata ganda SEPARA berimbuhan benar-benar wujud dan adakah bentuknya seperti yang tercatat dalam buku teks tersebut? TERIMA KASIH. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. i. Penggandaan separa kata tunggal : laki menjadi lelaki, pohon menjadi pepohon. ii. Penggandaan separa kata berimbuhan berlari = berlari-lari kenang= kenang-kenangan kuning = kekuning-kuningan Sila rujuk halaman 77 untuk lebih lanjut.
| Tatabahasa | 03.10.2014 |