Katakana sifir tiga kepada saya. Adakah ayat ini betul? | Katakan bermaksud memberitahu sesuatu perkara/maklumat, menyatakan sesuatu pendapat dan menceritakan sesuatu tentang seseorang. Berdasarkan makna kata tersebut, ayat "Katakan sifir tiga kepada saya" kurang tepat. | Tatabahasa | 11.09.2023 |
Salam sejahtera, Saya ingin memohon pencerahan berkenaan perkataan "memperalat" dan "memperalatkan". Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "memperalat"bermaksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)", manakala "memperalatkan" bermaksud "mengadakan perjamuan adat, mengahwinkan". Namun dalam istilah "kedok" dan "berkedok", salah satu maksud yg diberikan ialah: mempergunakan atau membuat sesuatu utk menyembunyikan tujuan (hal dll) yg sebenar, berselindung (di sebalik sesuatu), menyamar (dgn memperalatkan sesuatu)menyamar (dgn memperalatkan sesuatu). Bolehkah "memperalatkan" juga digunakan untuk maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)"? Ini kerana daripada korpus dan banyak penulisan, kelihatannya perkataan "memperalatkan" lebih banyak menjurus kepada maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)". Sekian, terima kasih. | Boleh. Data korpus terkini menunjukkan penggunaan "memperalatkan" bagi maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan". Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 58) di bawah entri alat1. Kata terbitan "memperalatkan" juga dirakamkan bagi maksud mengadakan alat untuk (seseorang) yang diletakkan di bawah entri alat2. Namun begitu, pengguna disarankan menggunakan "memperalat" berbanding "memperalatkan" bagi maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan". Kata "memperalat" bagi maksud ini telah mantap dan terakam sejak Kamus Dewan 1970. | Makna | 22.03.2023 |
Mengapakah sesuatu perkataan itu berubah mengikut peredaran zaman ? | Sesuatu perkataan itu berubah mengikut peredaran zaman kerana kata dalam sesuatu bahasa itu hidup bersama-sama penuturnya. Penggunaan kata dalam sesuatu bahasa amat bergantung kepada masyarakat penutur atau penggunanya. Terdapat perluasan makna atau penyempitan makna berlaku setiap detik, hari, bulan, tahun, zaman dan sebagainya, mengikut konteks dan situasi kata bahasa itu dituturkan/digunakan. Pelbagai proses berlaku dalam perkembangan bahasa, termasuklah peminjaman dan penyerapan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan, Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia, kamus-kamus, glosari dan daftar istilah, buku-buku dan terbitan lain yang membekalkan maklumat tentang perkembangan bahasa, khususnya bahasa Melayu. | Lain-lain | 16.11.2023 |
Apa beza berhemat dengan berhemah | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, berhemat bermaksud tidak boros ketika berbelanja atau menggunakan sesuatu; berbuat sesuatu dengan hati-hati, cermat, teliti dengan penuh perhatian dan sebagainya. Maksud berhemah pula, mempunyai budi pekerti. | Makna | 20.04.2025 |
betulkan pemahaman saya mengenai istilah berasa dan merasa berasa ialah sesuatu perasaan terhadap benda atau perkara (sesuatu yang dirasai daripada tubuh badan) merasa pula ialah sesuatu perbuatan dengan menggunakan anggota badan | Berasa dan merasa terbit daripada kata rasa. Kedua-dua perkataan ini digunakan dalam konteks ayat yang berbeza. Dengan merujuk kamus, pengguna akan dapat memahami makna sesuatu perkataan dan dapat menggunakan sesuatu perkataan dengan betul. Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP:1826): Makna berasa yang pertama ialah mempunyai rasa dalam hati seperti takut, sedih dan gembira. Contoh ayat: Salina berasa kasihan melihat kucing itu dan mengusap-usap kepalanya. Makna berasa yang kedua ialah mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah seperti manis, pedas dan sedap. Contoh ayat: Kopi ini berasa pahit kerana sedikit sangat gulanya. Makna berasa yang ketiga ialah berada dalam keadaan hairan, sedih, insaf dan sebagainya dalam hati. Contoh ayat: Dia berasa hairan melihat kelakuan majikannya yang tiba-tiba sahaja marah-marah tidak tentu pasal. Makna merasa yang pertama ialah mengecap untuk mengetahui (rasa makanan, minuman dan sebagainya) dengan lidah. Contoh ayat: Ibu hendak merasa kuih yang saya buat. Makna merasa yang kedua ialah mengalami (rasa panas, sakit dan lain-lain) pada tubuh. Contoh ayat: Seluruh tubuhnya merasa gatal-gatal krn dilekati miang rumput ketika terjatuh di tepi longkang. Makna merasa yang ketiga ialah meraba atau menjamah (sesuatu) dengan tangan atau kaki. Contoh ayat: Dia memegang tanganku dan merasa denyut nadi. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan betul. | Makna | 05.05.2025 |
Slm Sejahtera.. apakah maksud perkataan "cula" dalam ayat ini "En Abu mencula undi di kampungnya." | Maksud perkataan cula dalam ayat tersebut ialah “Hitungan yang dibuat untuk mengetahui banyaknya sokongan terhadap sesorang atau sesuatu pada sesuatu masa. (Kamus Dewan Perdana) | Lain-lain | 18.04.2022 |
Adakah frasa "mengalihkan perhatian" betul? Sila jelaskan. | Frasa mengalihkan perhatian adalah betul. Mengalihkan bermaksud menjadikan sesuatu beralih daripada sesuatu keadaan sebelumnya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 61. | Tatabahasa | 14.02.2024 |
Ketika hujan turun, panggil saya. Apabila hujan turun, panggil saya. Sama maksud ke? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, maksud "ketika hujan" ialah semasa hujan sedang turun, manakala "apabila" menyatakan makna pada masa yang sama seseorang melakukan sesuatu atau sesuatu berlaku, ketika, tatkala. Oleh itu, kedua-dua ayat di atas mempunyai maksud yang sama. | Makna | 26.06.2023 |
Menurut Kamus Dewan 2020, “jakun” merujuk kepada seseorang yang hairan atau pelik apabila melihat sesuatu yang baharu, ganjil, atau luar biasa. Perkataan ini sering digunakan dalam percakapan harian dengan nada sindiran atau penghinaan, namun “Jakun” juga merupakan nama salah satu suku kaum Orang Asli. Bolehkah saya mendapat penjelasan mengapa perkataan yang berpotensi menyinggung perasaan masyarakat Jakun ini dimasukkan dalam Kamus Dewan? Sekian, terima kasih. | Sesebuah kamus berfungsi sebagai perakam maklumat berkaitan sesuatu kata dalam sesuatu bahasa. Maklumat berkaitan sesuatu kata diperoleh daripada data korpus, termasuk rakaman makna secara lisan dan daripada sumber rujukan terdahulu. Perbezaan makna menunjukkan kepelbagaian dan kekayaan yang terkandung dalam setiap bahasa yang terdapat di dunia, termasuk bahasa Melayu. Jika maklumat tentang sesuatu kata itu tidak dirakamkan (dijadikan kata masukan dalam sesebuah kamus), masyarakat dan generasi seterusnya tidak memperoleh rujukan yang sebenar dan hal ini menyebabkan ketidaktelusan dan kelompongan maklumat berkaitan kata tersebut berlaku. Perakaman maklumat dalam kamus-kamus terbitan DBP, termasuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) tidak bertujuan untuk menyinggung mana-mana pihak. Maklumat yang dibekalkan adalah autentik dan selaras dengan prinsip leksikografi dunia yang terkini dan terbukti digunakan oleh masyarakat. Pengguna bahasa haruslah memanfaatkan maklumat yang dibekalkan (yang dimasukkan ke dalam sesebuah kamus) secara bijaksana, berhemah dan tidak semberono semasa menggunakan kata-kata yang terdapat dalam sesuatu bahasa, khususnya bagi kata yang berlabel bahasa basahan (bb), bahasa percakapan (bp), bahasa kasar (bk) dan kata tabu (tabu). Maklumat seperti ejaan kata nama khas (dieja huruf besar) dan kata nama umum/am (dieja huruf kecil) juga merupakan petunjuk bagi penggunaan kata tersebut. Sebarang kata yang digunakan harus mengikut konteks penggunaan, dan tidak semua kata yang terakam dalam kamus boleh digunakan terutamanya dalam situasi tertentu, seperti dalam peperangan, pergaduhan, dalam keadaan marah dan sebagainya. Harus berhati-hati apabila berkata-kata seperti kata pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". | Makna | 21.08.2024 |
Adakah penggunaan "panggilan mesyuarat" bagi mengundang ahli mesyuarat menghadiri sesuatu mesyuarat tepat? | Frasa "panggilan mesyuarat" boleh digunakan kerana perkataan “panggilan” juga membawa maksud undangan atau jemputan untuk ke sesuatu tempat atau untuk menyertai sesuatu. (Kamus Dewan Perdana) | Lain-lain | 27.09.2022 |