Tuan , saya ingin tahu manakah penyataan yang betul untuk ayat-ayat di bawah I Anak itu menyangka orang itu bapanya. II Adik menamai kucing itu Si Belang. i)Ayat di atas mengandungi dua objek. ii) Frasa (bapanya dan Si Belang) ialah penerang. iii) Kedua-dua ayat di atas dapat dipasifkan. iv) Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja tak transitif. Mohon penjelasan daripada pihak tuan. Sekian, terima kasih. | 1. Ayat tersebut masing-masing mengandungi satu objek. 2. Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja transitif. | Tatabahasa | 08.05.2013 |
Minta jelaskan perbezaan penggunaan i) hingga dan sehingga ii) sejak dan semenjak | 'Hingga' bermaksud garis terakhir, batas; sampai ke (had tempat, waktu, dll). Contoh : percakapan terhenti hingga itu; hingga kini. 'Sehingga' bermaksud sampai pada keadaan (masa,dll); sampai menjadi; setelah (sudah). Contoh : sehingga matahari telah condong ke barat, barulah Si Tanggang berkayuh balik. | Makna | 29.03.2008 |
Yang mana tepat i )Sumbangan diberikan bagi mengenangkan jasa perajurit atau... ii)Sumbangan diberikan bagi mengenang jasa perajurit Apakah perbezaan antara mengenangkan dengan mengenang | Sekiranya diteliti makna kedua-dua kata terbitan yang diberikan di bawah, kata "mengenang" lebih tepat untuk digunakan. Mengenang: mengingat (akan), memikir (akan): ia tersentak drpd ~ untung dan suratan dirinya; ~ budi mengingati budi (jasa), menghargai perbuatan baik (orang); Mengenangkan:1. = mengenangi menimbulkan kembali dlm fikiran (ingatan), membayangkan kembali serta memikirkan, mengingati (dgn perasaan tertentu spt kesedihan, kesayuan, belas kasihan, kerinduan, kegembiraan, dll): belas hatinya ~ hal si Tirim yg malang itu; fikirannya terharu ~ hidupnya di kampung dahulu; 2. membuat atau menjadikan (seseorang) teringat, mengingatkan: pertemuan dgn anaknya ~ dia akan masa yg lampau; | Makna | 31.07.2009 |
Salam, Sekiranya satu Sistem ICT dibangunkan bagi sesuatu negeri dan sistem berkenaan kemudiannya dipersetujui untuk digunakan juga di negeri-negeri lain. Manakah yang lebih tepat? i. Implikasi kos bagi pengembangan sistem ke seluruh negara ii. Implikasi kos bagi perluasan penggunaan sistem ke seluruh negara DAN i. Sistem berkenaan akan diperkembangkan ke seluruh negara ii. Sistem berkenaan akan diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara Terima kasih. | i. Implikasi kos bagi perluasan penggunaan sistem ke seluruh negara. Untuk makluman puan, implikasi ialah 1. sesuatu (maksud, tujuan, dsb) yang disindirkan atau dibayangkan, tetapi tidak dinyatakan secara terus terang: apakah ~ kata-kata kamu itu? 2. kiasan, bayangan (tidak terus terang): kita tidak dapat memaafkan Rahim yg membiarkan si ibu terus tidak mengetahui apa-apa, kalaupun secara ~; 3. kesan (kemungkinan dsb) yg terbit atau dapat ditakrif drpd sesuatu: Kami memohob penjelasan kiranya sistem yang dibangunkan itu memberi kesan pada kos seperti yang dimaksudkan dalam ayat. ii. Sistem berkenaan akan diperluas penggunaannya ke seluruh negara. | Tatabahasa | 04.12.2013 |
Bagaimana menggunakan pengikat kata yang mempunyai satu koma dan dua koma? Penggunaan pengikat kata dengan dua koma sudah diketahui bagi dialog. Bagaimana dengan perkara lain contohnya dalam ayat:Tertulis si situ perkataan 'keluar' atau "keluar".Terima kasih. | Saudara, Tanda petik (" " ) digunakan untuk i. mengapit cakap ajuk ii. mengapit judul rencana, karangan, puisi atau bab buku iii. mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus. Tanda petik (' ' ) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapait tanda petik. Dalam ayat yang diberikan tanda baca yang digunakan ialah tanda petik (" " ). | Lain-lain | 12.10.2010 |
Bagaimanakah menggunakan tanda sempang dalam kata ganda? | Dalam bahasa Melayu, terdapat 3 jenis penggandaan, iaitu: i. penggandaan penuh ii. penggandaan separa iii. penggandaan berentak. Tanda sempang digunakan dalam semua kata ganda kecuali kata ganda separa yang melibatkan kata dasar tunggal. Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya sahaja dan letak gandaannya pada bahagian sebelum kata dasar. Vokal dalam bentuk gandaan itu mengalami proses pelemahan menjadi vokal e pepet, contohnya: laki ---> lalaki --- >lelaki siku ---> sisiku ---> sesiku jari --- > jajari --- >jejari Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku Kata Ganda Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus . Terima kasih. | Tatabahasa | 08.02.2009 |
harap pihak tuan dapat memberikan suku kata yang tepat untuk perkataan berikut: 1)santapan 2)memperolehi 3)Allah 4)mengisi 5)kebaikan 6)permainan 7)dunia 8)kaum tq | Saudara Asmazaira, Suku kata yang tepat adalah seperti yang berikut: i. san.ta.pan ii. mem.per.oleh (bukan memperolehi) iii. Al. lah iv. me.ngi.si v. ke.bai.kan vi. per.mai.nan vii. du.nia viii. kaum | Ejaan | 15.04.2010 |
apakah Sastera Rakyat tulung jawabkan | Sastera rakyat atau sastera lisan ialah sastera yang bukan bercorak tulisan. Hasil sastera ini tersebar dari mulut ke mulut dan diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi. Sastera lisan berkembang dalam masyarakat yang mempunyai kebudayaan pinggiran yang bertamadun. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada budaya rakyat (folklore) yang merangkum semua aspek kehidupan sesuatu masyarakat. Sastera rakyat mempunyai beberapa cirinya yang tersendiri, iaitu: i) Sastera itu diucapkan melalui perantaraan mulut. ii) Sastera rakyat itu lahir dalam masyarakat yang belum mencapai taraf kehidupan yang maju atau bercorak bandaran. iii) Sifat sastera rakyat itu menggambarkan ciri-ciri budaya satu-satu kumpulan masyarakat. iv) Hasul sastera rakyat itu dianggap sebagai milik masyarakat tanpa diketahui siapa pengarangnya. v) Sastera rakyat tidak mementingkan fakta dan kebenaran. Antara yang termasuk dalam sastera rakyat ialah seperti: a) Cerita hantu atau makhluk halus seperti hantu Pocong b) Cerita binatang seperti cerita Sang Kancil c) Cerita jenaka seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Si Luncai. d) Cerita Lipur Lara seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Terung Pipit, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal. | Lain-lain | 01.09.2009 |