Tuan, Adakah ayat-ayat di bawah betul? 1. Orang itu siapa? 2. Siapa orang itu? 3. Siapakah orang itu? Terima kasih | Kata tanya hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Sekiranya kata tanya dikedepankan, maka kehadiran dalam bentuk tulisan hendaklah disertai partikel-kah. Penggunaan kata tanya siapa yang betul dalam ayat adalah seperti yang berikut: (i)Orang itu siapa? (ii) Siapakah orang itu? | Tatabahasa | 27.02.2014 |
Ayat : Siapa nama kamu? Ayat ini betul? Kata tanya siapa tidak ditambah partikel -kah masih gramatis atau hanya pertuturan sahaja? | Frasa yang betul ialah siapakah nama kamu? Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 11.12.2012 |
Diantara dua ayat dibawah,manakah ayat yang betul? apakah alasannya? Apa nama anda? @ Siapa nama anda? | Siapa bermaksud 1. kata utk menanyakan orang, orang mana: ~ yg mengusik awak? 2. kata utk menanyakan nama orang: ~ nama kamu? 3. kata utk menyatakan orang secara umum, orang yg tidak tentu; ~ yg makan cabai, dialah berasa pedas prb yg berbuat salah akan berasa; tiada ~ tiada seorang pun; ~ lagi a) = ~ pula adakah orang lain lagi; b) siapa selanjutnya (suka, mahu membeli, dll); ~ lu ~ gua Id, bp masing-masing membuat hal sendiri (tidak bertolong bantu); ~ pun = ~ sahaja a) barang siapa; b) sebarang orang, siapa juga. Manakala apa pula bermaksud 1. kata utk menanyakan nama (jenis, sifat, dll) sesuatu: ~ yg kaubeli tadi? 2. pengganti sesuatu yg kurang tentu (kurang terang): tidak terdengar ~ yg kaucakapkan; 3. = ~lah kata utk menghaluskan suruhan: belikan ~ saya sebungkus rokok; 4. = ~kah kata utk menanyakan sesuatu (bukan manusia): ~ kereta itu rosak? 5. atau: ya ~ tidak; ~ akal bagaimana akal, apa yg harus dibuat; ~ boleh buat apa yg hendak dilakukan lagi, tak ada jalan lain lagi; ~ daya tidak ada kuasa lagi; ~ khabar a) bagaimana keadaanmu; b) ada khabar barukah; ~ lacur Id ya bagaimana lagi (apa boleh buat); ~ macam apa khabar; ~ pasal apa sebab; ~ sahaja = ~ saja = barang ~ = segala ~ tidak kira apa, sebarang, segala sesuatu; ~ tidaknya memang ya; ~ ubahnya serupa; kena ~ a) apa yg dialami atau dideritai; b) mengapa, kenapa; Oleh itu, penggunaan yang tepat ialah siapa nama anda? | Lain-lain | 09.07.2010 |
Nama awak siapa? soalan saya ialah adakah penggunaan kata tanya siapa di belakang salah? ada sumber menyatakan ianya adalah salah dalam penulisan kerana tidak baku. adakah semua kata tanya tidak boleh digunakan di belakang ayat? | Untuk makluman, kata tanya boleh hadir di depan ayat dan di belakang ayat. Sekiranya diletakkan di depan ayat, kata tanya perlu disertai partikel -kah. Contohnya: Berapakah harga barang itu? Harga barang itu berapa? Siapakah yang datang semalam? Yang datang semalam siapa? Bilakah mereka sampai? Mereka sampai bila? | Tatabahasa | 12.03.2012 |
yang mana kah patut digunakan bagi jawatan Pengertua (perempuan) TUAN atau PUAN | Encik Razali, Bagi sapaan untuk pengetua berkenaan, kedua-dua sapaan tuan atau puan boleh digunakan bergantung pada siapa atau yang mana yang hendak disapa. Sekiranya merujuk secara umum kepada jawatan pengetua, maka sapaannya ialah tuan. Walau bagaimanapun, sekiranya merujuk kepada pengetua yang kita sudah ketahui bahawa ia seorang wanita, maka sapaannya ialah puan. Ini lebih santun dan menunjukkan bahawa kita sudah pun mempunyai maklumat awal tentang jantina pengetua tersebut. | Tatabahasa | 28.03.2010 |
adakah ayat tanya ini betul?? -pukul berapa sekarang? dan bolehkah saya tahu bagaimana hendak menggunakan ayat tanya yang tidak menggunakan imbuhan -kah atau menggunakannya tetapi bukan di hadapan ayat ? | Yang betul ialah 'Pukul berapakah sekarang?'. Ayat ini ialah ayat tanya songsang yang predikatnya didahulukan. Bagi ayat tanya yang tidak menggunakan imbuhan 'kah', ialah ayat tanya yang disertai kata tanya seperti apa, bagaimana, berapa, bila, mana, mengapa dan siapa. Contoh : Itu apa? Orang itu siapa? Untui maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 15.06.2008 |
1. Adakah terdapat kajian tentang syair bidasari oleh sarjana tempatan ataupun luar negara dalam rekod dbp. 2. Jika ada boleh kah saya mendapat maklumat para sarjana tersebut dan tpik apakah yang sarjana kaji dalam syair bidasari. 3. Di manakah naskhah asal syair bidasari didapati? 4. Adakah diketahui siapa penulis syair tersebut? 5. Apakah beza baru dengan baharu? Berikan contoh dalam ayat agar mudah saya memehaminya denganlebih jelas. 6. Guru Besar atau guru besar dari segi ejaan huruf G dan B sama ada besar atau kecil? 7.Tulis huruf besar atau kecil untuk sambutan hari guru atau Sambutan Hari Guru Jumpa lagi. | Untuk makluman saudara, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan kajian tentang Syair Bidasari pada tahun 1989. Buku tersebut diusahakan oleh Puan Jamilah Hj. Ahmad , seorang Pegawai Penyelidik dari Bhg. Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini beliau telah pun bersara. Naskhah asal Syair Bidasari boleh ditemui di Royal Asiatic Society, London, School of Oriental and African Studies, London, Cambridge University Library, Cambridge, British Musem, London dan Leiden University Library. Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Malaysia dan Perpustakaan Universiti Malaya hanya menyimpan salinan naskhah dalam bentuk mikrofilem sahaja. | Lain-lain | 15.07.2010 |
Apakah hari perkahwinan anda? Bilakah hari perkahwinan anda? Hari apakah mesyuarat diadakan? Hari bilakah mesyuarat diadakan? Mengapa penggunaan kata tanya berbeza anata dua perkara ini? Apakah waktu sekarang? | Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila dan bagaimana. Kata tanya hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Sekiranya dikedepankan kehadirannya dalam bentuk tulisan hendaklah disertai partikel –kah. Ayat tanya yang betul adalah seperti yang berikut: (i)Hari perkahwinan anda bila ? atau Bilakah hari perkahwinan anda? (ii)Mesyuarat diadakan bila? atau Bilakah mesyuarat diadakan? Ada tiga bentuk kata ganti nama yang digunakan juga sebagai kata tanya, iaitu apa, siapa dan mana, contohnya: (i)Yang di dalam kotak itu apa? atau Apakah yang di dalam kotak itu? (ii) Baju baharu saya mana? atau manakah baju baharu saya? (iii) yang datang semalam siapa? Atau Siapakah yang datang semalam? Jelasnya, kata tanya apa memerlukan jawapan nama benda, siapa memerlukan jawapan nama orang dan mana memerlukan jawapan nama tempat. | Tatabahasa | 24.02.2014 |
Saya ingin menghasilkan buku teknikal berkenaan catur yang merangkumi Undang-undang Catur, Garispanduan Menjayakan Pertandingan Catur, Sistem Pertandingan dan Penggunaan Program Didalam Penganjuran Catur. Kebanyakkan buku-buku reference adalah didalam bahasa Inggeris jadi saya bertujuan untuk mengolahnya kedalam Bahasa Malaysia/Melayu. Undang-undang Catur adalah sesuatu yang umum jadi, perlukah saya mendapat kebenaran dari mana-mana pihak untuk menerbitkannya untuk mengelak plagiarism. Juga, saya didalam usaha menerbitkan buku Belajar Bermain Catur kerana saya rasa tidak ada lagi buku sebegini didalam bahasa Malaysia/Melayu dan kalau ada pun, mungkin ia nya telah dicetak disekitar pertengahan 60an. Adakah DBP menyokong penerbitan buku-buku seperti ini dan apakah garis panduan yang perlu saya ikuti i.e. tebal buku (perlu kah ada minima/maksima muka surat), dan juga penggunaan bahasa kerana beberapa terma dan terjemahan perkataan tidak mungkin terdapat didalam Bahasa Malaysia/Melayu. Harap dapat penjelasan | Pihak kami mengalu-alukan hasrat Saudara untuk menulis buku tersebut. Pihak kami bersedia untuk mempertimbangkan penerbitan buku tersebut sekiranya Saudara menyerahkan manuskripnya nanti kepada DBP. Manuskrip sebaik-baiknya dihantar dalam bentuk bercetak, dan juga dalam bentuk digital. Manuskrip mesti lengkap dengan bahan awalan, bahan teks dan bahan akhiran. Bahan awalan termasuklah halaman judul manuskrip, senarai kandungan, senarai ilustrasi dan senarai jadual, jika berkenaan. Bahan akhiran termasuklah senarai rujukan dan lampiran jika ada. Ilustrasi atau contoh ilustrasi perlu disertakan jika berkenaan. Penulis juga perlu menyertakan surat penyerahan manuskrip yang rasmi dengan keterangan lengkap berkenaan penulis dan sipnosis buku. Tebal manuskrip bergantung kepada kandungan manuskrip yang Saudara tulis dan kepada siapa manuskrip tersebut ditujukan, dan tidak ada syarat khusus mengenainya. | Lain-lain | 09.07.2012 |