Selain daripada "sinambung". apakah kata-kata akar lain yang menggunakan sisipan "in". Mengapa sisipan "in" perlu digunakan? | Setakat ini hanya terdapat satu kata terbitan yang terhasil dengan bentuk sisipan -in-, iaitu; sambung=sinambung. Bentuk-bentuk sisipan amat terhad dan tidak produktif sifatnya. Sisipan berlaku untuk mengubah jenis kata , contohnya bentuk kata nama dan kata adjektif yang mengandungi sisipan dapat dijadikan kata kerja melalui proses pengimbuhan. Contoh; 1. sisipan -el = geletar = menggeletar 2. sisipan -em- gemuruh = bergemuruh | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Apakah kata dasar bagi "Kesinambungan"? Bagaimana hendak menggunakan imbuhan "me..." bagi kata dasar berkenaan? "Menyinambungkan"? | Kata akarnya ialah sambung yang disisipkan -in- menjadi sinambung. Perkataan sinambung tidak menerima imbuhan me- tetapi kata akar, sambung boleh menerima awalan meN- iaitu menyambung. | Tatabahasa | 12.08.2013 |
Salam, 1. Apa beza antara 'jawapan' dan 'jawaban'? 2.'Aku bukan kesinambungan cintamu...demikian lirik sebuah lagu.Apakah maksud 'kesinambungan'? Apakah kata akarnya? dan contoh ayat. | 1. Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. 2. Kesinambungan bermaksud perihal bersinambungan, kelanjutan, keterusan, persambungan. Kata akarnya ialah sambung yang disisipkan -in- menjadi sinambung. Gabungan apitan ke-...-an menerbitkan kesinambungan. Contoh ayat: Sastera Melayu moden merupakan kesinambungan daripada sastera Melayu lama. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 237. | Istilah | 31.07.2009 |
selain daripada imbuhan sisipan -el-, -er- dan -em-, apa lagi yang wujud beserta contoh perkataannya? | Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terdapat tiga bentuk sisipan kata nama (KN), iaitu -em-, -el-, -er-, dan empat bentuk sisipan kata adjektif (KAdj), iaitu -em-, -el-, -er-, dan -in-. Contoh: 1. Sisipan -em-: KN kuning - kemuning, KAdj serbak - semerbak 2. Sisipan -el-: KN tapak - telapak, KAdj geman - geleman 3. Sisipan -er-: KN gigi - gerigi, KAdj godak - gerodak 4. Sisipan -in-: Setakat ini hanya terdapat satu kata terbitan yang terhasil dengan bentuk sisipan -in-, iaitu sambung - sinambung. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 131 dan 237 untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 26.07.2021 |