Apakah kesalahan ejaan dan imbuhan dalam ayat berikut? 2.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang terbuang sisa-sisa toksid ke dalam longkang. 3.Hidayah memakaikan selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 4.Kerajaan akan memperkenal plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan dinegara ini. 5. Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaikki bas ke sekolah. 6. Mereka telah memelawa kami untuk menghadiri majelis yang akan diadakan pada malam ini. 7.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempabumi di negara jiran amat mengalu-alukan oleh pihak kerajaan. 8.Para peserta krusus itu bertukar-tukarkan pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | 1.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang membuang sisa-sisa toksik ke dalam longkang. 2. Hidayah memakai selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 3. Kerajaan akan memperkenalkan plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini. 4.Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaiki bas ke sekolah. 5.Mereka telah mempelawa kami untuk menghadiri majlis yang akan diadakan pada malam ini. 6.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempa bumi di negara jiran amat dialu-alukan oleh pihak kerajaan. 7.Para peserta kursus itu bertukar-tukar pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | Tatabahasa | 22.03.2013 |
1.Sisa makanan yang tertumpah itu itu.................meja makan. a.mengotori b.mengotorkan mana satu jawapan yang betul? dan apakah alasannya? | Mengotori bermaksud menjadi kotor pada dan mengotorkan bermaksud menyebabkan menjadi kotor. Berdasar makna yang tersebut mengotori dan mengotorkan boleh digunakan dalam konteks ayat yang tersebut. | Tatabahasa | 20.06.2013 |
Salam sejahtera Untuk makluman, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam sedang dalam proses menyediakan Pelan Strategik Perbadanan bagi tempoh 2014 hingga 2020. Sehubungan itu, antara Teras yang telah dipersetujui adalah seperti berikut: 1. MENDIDIK MASYARAKAT SUPAYA BERTANGGUNGJAWAB DALAM PENGURUSAN SISA PEPEJAL YANG LESTARI; 2. PENGGUNAAN TEKNOLOGI SISA PEPEJAL YANG TERKINI, KOS EFEKTIF DAN LESTARI. Merujuk kepada Teras berikut, sukacita dipohon jasa baik tuan/puan untuk melakukan semakan kesesuaian penggunaan bahasa merujuk kepada perkataan LESTARI. Segala perhatian dan kerjasama tuan/puan berhubung perkara ini diucapkan terima kasih. Sekian. Zaitun Araship Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam 0322459335, 0127527042 | Pada pandangan kami perkataan "lestari" tidak sesuai digunakan kerana lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal, tetap. Manakala penggunaan frasa "kos efektif" tidak dibenarkan kerana tidak menetapi tatabahasa bahasa Melayu. Frasa yang boleh digunakan ialah keberkesanan kos. | Tatabahasa | 21.10.2013 |
apakah definisi dan jenis-jenis sampah dan apakah definisi sisa pepejal. | Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, sampah ialah benda-benda yg dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll.) manakala sisa pepejal ialah apa-apa yg tertinggal (sesudah dimakan, dipakai, dll) yang berbentuk pejal, tidak berubah-ubah, benda padat. Sila rujuk syarikat yang berkaitan untuk mengetahui jenis-jenis sampah, cth. syarikat pelupusan sampah. | Makna | 22.09.2007 |
Adakah ayat di bawah salah: 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Pada pendapat saya, 3 & 4 tidak mempunyai kesalahan tetapi 1 & 2 sepatutnya, 1. Tiap-tiap/ Setiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak mematuhi larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. atau ( patuh akan larangan ) Apakah pendapat tuan/ puan. Terima kasih. | 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. Betul kerana tiap sama dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. Salah, yang betulnya ... tidak mematuhi larangan .... 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. Tiada kesalahan. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Tiada kesalahan.
| Tatabahasa | 17.10.2012 |
Salam sejahtera, Pohon semakan kesesuaian ayat bagi perkataan berikut: MENTRANSFORMASIKAN MINDA MASYARAKAT KE ARAH KEBERTANGGUNGJAWABAN TERHADAP KEPENTINGAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL. Mohon semakan bagi kesesuaian penggunaan ayat MENTRANFORMASIKAN. Adakah perkara tersebut sesuai dan boleh digunakan. Segala perhatian dan kerjasama tuan/puan berhubung perkara ini diucapkan terima kasih. Sekian. Zaitun Araship | Perkataan "mentransformasikan" boleh digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 21.10.2013 |
Salam... apakah penjodoh bilangan yg paling sesuai utk perca2 kain.? | Perca ialah kepingan-kepingan (potongan) kecil kain sisa daripada jahitan, reja (carik) kain: dia membongkar-bongkar bakul jahitannya, mencari-cari ~ kain untuk membebat lukanya. Perkataan perca tidak memerlukan penjodoh bilangan. Tidak semua benda menerima penjodoh bilangan. | Tatabahasa | 25.02.2013 |
Salam, Cadangan terjemahan bagi perkataan Inggeris, e-waste. Terima kasih | Jika terjemahan secara langsung, perkataan "e-waste" bermaksud "e-sisa".Mohon dijelaskan apakah bidang yang dimaksudkan, adakah bidang sains dan teknologi atau bidang yang lain? Terima kasih. | Istilah | 28.05.2013 |
Salam satu Malaysia, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "descale"? Terdapat banyak terjemahan bagi "scale" tapi tidak untuk "descale". Maksud "descale" : untuk membuang sisa kerak yang dihasilkan oleh kimia dalam air dari (cerek, paip, dsb). Sumber: http://www.thefreedictionary.com/descale Mohon bantuan terjemahan daripada pihak DBP. Terima kasih. | Untuk makluman, dalam pangkalan data kami terdapat istilah "descaling" yang padanan bahasa Melayunya ialah penyahkerakan. Oleh itu, terjemahan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "descale" ialah nyahkerak. | Istilah | 23.11.2013 |
Salam, apakah maksud kumbahan? Contoh ayat yang menggunakan perkataan 'kumbahan', iaitu: 1. Banyak sungai di negara kita tercemar disebabkan kegiatan pembuangan sampah sarap, sisa toksik dan kumbahan manusia ke dalam sungai. Jadi, apakah maksud kumbahan di situ?Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tiada maksud yang jelas untuk kumbahan. Tetapi, air kumbahan dimaksudkan sebagai air yang telah digunakan untuk membasuh. Adakah tepat maksud itu berdasarkan contoh ayat yang saya berikan tadi? Menurut pendapat saya, kumbahan dalam ayat bermaksud 'bahan buangan manusia seperti najis dan sebagainya'. Sila berikan penjelasan. Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan, kumbah sama dengan mengumbah iaitu membersihkan dengan air, membasuh: ~ pinggan mangkuk; 2. ki mencaci (orang), mengatakan keburukan orang; kumbahan; air ~ air yang telah digunakan untuk membasuh. Menurut maksud tersebut, kumbahan bukan bermaksud bahan buangan manusia seperti najis. | Tatabahasa | 02.07.2013 |