Salam sejahtera..... Di sini saya ada beberapa keraguan tentang penggunaan bahasa yang memerlukan penjelasan dan tujuk ajar pihak tuan. 1) Yang manakah ayat berikut benar penggunaan bahasanya? i) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu sama luas dengan gelanggang bola jaring ini. ii) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu seluas dengan gelanggang bola jaring ini. 2) Saya sering menghadapi masalah ketika menerangkan penggunaan imbuhan me...kan dengan me...i dan me.... pada situasi ayat yang berlainan. Namun muri-murid saya tetap keliru dan kurang memahami. Berikut, saya memetik beberapa ayat contoh yang menimbulkan keraguan. i) Emak sedang menghiaskan ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajar mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemui sebentuk cincin di halaman rumah. Sedangkan jawapan yang saya peroleh ialah : i) Emak sedang menghiasi ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajarkan mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemukan sebentuk cincin di halaman rumah. Justeru, saya amat memerlukan tunjuk ajar pihak tuan agar dapat membantu saya merungkai masalah saya. Penjelasan ini amat penting bagi saya memantapkan pengajaran saya dalam bahasa Melayu serta keberkesanan tahap kefahaman murid saya...... Sekian, terima kasih daun keladi dan salam sejahtera........ | 1. Dari segi tatabahasa, kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Untuk imbuhan me-kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Untuk pengetahuan Puan, buku-buku rujukan yang diterbitkan oleh penerbit luar (bukan DBP), kebanyakan mereka tidak sangat mementingkan penggunaan tatabahasa yang betul. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Salam tuan... Adakah jawapan yang ditandakan itu betul berdasarkan soalan tersebut? Berlaku beberapa kekeliruan di situ Terima kasih tuan. | Salam. Jawapan I, II dan III adalah betul berdasarkan ayat yang diberi. Manakakala jawapan IV salah kerana jawapan yang betul ialah "masakan" (dan bukannya "masakkan" seperti yang ditulis dengan dakwat merah). | Tatabahasa | 07.08.2014 |
Assalamualaikum . Saya inginkan kepastian tentang ketepatan dua ayat ini. I/. Dia bekerja hingga lewat malam. Ii/ Dia bekerja lewat malam. Sekian, terima kasih | Berdasarkan dua ayat yang anda lontarkan, kedua-dua ayat tersebut tidak salah jika digunakan. Kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri. Ayat pertama "Dia bekerja hingga lewat maam" membawa makna yang lebih tepat kerana penggunaan kata "hingga" di situ menunjukkan perihal peringkat dan adanya had masa, manakala ayat kedua "Dia bekerja lewat malam" membawa makna keadaan dia melakukan pekerjaan lewat waktu. Oleh itu, ayat pertama adalah lebih tepat dan sesuai digunakan. | Tatabahasa | 24.05.2017 |
Bagaimana menggunakan pengikat kata yang mempunyai satu koma dan dua koma? Penggunaan pengikat kata dengan dua koma sudah diketahui bagi dialog. Bagaimana dengan perkara lain contohnya dalam ayat:Tertulis si situ perkataan 'keluar' atau "keluar".Terima kasih. | Saudara, Tanda petik (" " ) digunakan untuk i. mengapit cakap ajuk ii. mengapit judul rencana, karangan, puisi atau bab buku iii. mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus. Tanda petik (' ' ) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapait tanda petik. Dalam ayat yang diberikan tanda baca yang digunakan ialah tanda petik (" " ). | Lain-lain | 12.10.2010 |
Salam sejahtera, Encik, adakah ayat-ayat di bawah betul atau sebaliknya. 1) Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu para pelajar sertai untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2) Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3) Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan diadakan oleh kami pada minggu hadapan. 4) Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi akan kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5) Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak dari tadi. 6) i) Kerja-kerja memperlebar lebuh raya itu sedang dijalankan dengan giat. ii) Saya yakin akan keikhlasannya dalam menjalin persahabatan dengan saya. iii) Kereta perkarangan rumah banglo itu mewah-mewah belaka. 7) Sejak daripada tadi pemuda itu termenung di situ. 8) Ali terpinga-pinga bila ditegur oleh lelaki yang bukan dikenalinya. 9) Beberapa orang kanak-kanak merupakan penduduk yang tertinggi sekali di kampung kami. | Ayat yang betul :1. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu disertai oleh para pelajar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2. Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan kami adakan pada minggu hadapan. 4. Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5. Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak tadi. 6. Ayat ini betul. 7. Sejak tadi pemuda itu termenung di situ. 8. Ali terpinga-pinga apabila ditegur oleh lelaki yang tidak dikenalinya. 9. Beberapa orang kanak-kanak merupakan jumlah penduduk yang tertinggi di kampung kami. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Shafini Latif Jun 13th, 7:16pm Assalamualaikum, mohon pencerahan daripada pihak tuan, baru2 ini saya telah ditegur kerana menggunakan perkataan 'Jakun' dianggap tidak menjaga sensitiviti, kononnya jakun hanya khusus untuk orang asli tidak lagi boleh dipakai untuk membawa maksud lain. saya tidak tahu ada perubahan begitu. kerana padakali terakhir saya menyemak kamus Jakun membawa 3 maksud termasuk 'sangat mudah kehairanan apabila ternampak sesuatu yang baru kerana belum pernah melihatnya dahulu'. adakah benar salah jika menggunakan perkataan jakun bagi membawa maksud lain? ada akta ke? | Ini data korpus berkaitan kosa kata jakun. Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Edisi Kedua Jakun II penduduk asli Semenanjung Malaysia drpd suku kaum Melayu-Proto yg tinggal di selatan Semenanjung (hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Dewan Edisi Keempat jakun I perkataan Minangkabau yang bermaksud halkum - Kamus Dewan Edisi Keempat Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Selain itu, berdasarkan sumber rujukan kami hanya dua maksud yang tersebut membawa maksud jakun, berkemungkinan terdapat dialek di daerah tertentu memberikan peluasan makna kepada kata jakun untuk maksud yang lain lagi. Perkataan yang sesuai ialah kolot. Kolot (adjektif) yang bersinonim dengan kuno: mundur, terkebelakang, primitif, konservatif, ortodoks, tidak maju, cara lama, cara purbakala, dan juga bersinonim dengan jumud: kaku, beku, Antara perkataan lain yang sesuai ialah hairan, iaitu 1. berasa pelik atau ganjil ketika melihat atau mendengar sesuatu, takjub, kagum: ~ saya melihat orang-orang buta di situ menganyam bakul dgn berbagai-bagai bentuk dan corak; 2. aneh, ajaib, pelik, ganjil: ~ sungguh, mesin itu dapat memberi jawaban kpd masalah itu dgn begitu pantas; ~ bin ajaib aneh sekali, sungguh aneh; menghairani berasa hairan terhadap, mengagumi: sekali lagi ia ~ segala apa yg hendak diajar oleh ayahanda saudaranya itu seolah-olah telah diketahuinya terlebih dahulu; menghairankan menimbulkan rasa hairan (pelik, aneh, ganjil): kepintaran perompak itu melepaskan diri di tengah-tengah orang ramai sangatlah ~; keganjilan kelakuan laki-laki itu sungguh-sungguh ~; terhairan-hairan berasa sungguh hairan, tercengang-cengang (kerana hairan): berdirilah dia di situ ~; kehairanan 1. = kehairan-hairanan dlm keadaan hairan, sangat hairan: dia tercengang-cengang ~ melihat kejadian yg tidak disangka-sangka itu; dia berdiri dlm ~ di hadapan mereka; 2. keanehan, kepelikan, keganjilan: ~ kelakuannya itu tidak dihiraukan orang lagi apabila diketahui bahawa dia gila. Untuk maklumat lanjut boleh menggunakan perkhidmatan percuma yang disediakan oleh DBP, iaitu http://prpm.dbp.gov.my | Istilah | 13.06.2015 |