Adakah ayat ini betul strukturnya: Sila letakkan semula selepas digunakan. Terima kasih | Ayat ini betul strukturnya. Sila letakkan semula selepas digunakan. Terima kasih | Tatabahasa | 13.06.2014 |
Adakah ayat berikut betul strukturnya: 1. Pokok yang telah berbuah ditanam oleh nenek Mei Li. Apakah penjelasannya sekiranya betul atau salah? | Ayat yang lebih gramatis ialah "Pokok yang telah berbuah itu ditanam oleh nenek Mei Li". Ini dan itu ialah kata ganti nama tunjuk, iaitu perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk. | Tatabahasa | 11.03.2014 |
Di mana antara ayat berikut betul strukturnya: 1. Mei Ling menyiram pokok bunga supaya pokok bunga hidup subur. 2. Mei Ling menyiram pokok bunga supaya hidup subur. Pertanyaan kedua: Beg-beg plastik sampah @ beg plastik-beg plastik sampah? Terima kasih. | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Mei Ling menyiram pokok bunga supaya hidup subur. 2. Beg-beg plastik sampah. | Tatabahasa | 27.04.2014 |
Adakah ayat-ayat di bawah betul dalam tatabahasa dan strukturnya ? Jika tidak, tolong berikan ayat yang betul. Terima kasih. (1) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan fasih dan menarik di atas pentas. (2) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan lancar dan menarik di atas pentas. (3) Amy yang mahir bercerita sedang mempersembahkan ceritanya dengan lancar dan menarik di atas pentas. (4) Penonton-penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali kepada Amy. (5) Para penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali untuk Amy. (6) Seorang jurugambar sedang mengambil gambar Amy yang sedang bercerita menggunakan camera. (7) Tiga orang pengadil sedang menyaksikan persembahan Amy sambil memberi markah. (8) Terdapat banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. (9) Banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. | Berikut merupakan ayat yang betul: (1) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan fasih dan menarik di atas pentas. (2) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan lancar dan menarik di atas pentas. (3) Amy yang mahir bercerita sedang mempersembahkan ceritanya dengan lancar dan menarik di atas pentas. (4) Penonton-penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali kepada Amy. (6) Seorang jurugambar sedang mengambil gambar Amy yang sedang bercerita menggunakan kamera. (7) Tiga orang pengadil sedang menyaksikan persembahan Amy sambil memberi markah. (8) Terdapat banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. (9) Banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. | Tatabahasa | 29.07.2014 |
Adakah ayat-ayat di bawah betul dalam tatabahasa dan strukturnya ? (1) Cikgu Ali sedang membaca suratkhabar sambil duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan. (2) Cikgu Ali sedang duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan sambil membaca suratkhabar. (3) Siti yang menjaga kesihatan diri sedang berjogging di larian jogging di taman. (4) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di taman. (5) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan di taman. (6) Beberapa orang murid yang tekun sedang mengulangkaji pelajaran mereka di perpustakaan. (7) Beberapa orang murid yang tekun sedang membuat ulangkaji di perpustakaan. (8) Nora sedang melayari internet untuk mencari maklumat-maklumat bagi menyiapkan tugasannya. (9) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang berisi sayur. (10) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang diisi sayur. | Berikut ayat yang betul: 1) Cikgu Ali membaca surat khabar sambil duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan. (2) Cikgu Ali duduk di atas sofa yang disediakan di perpustakaan sambil membaca surat khabar. (3) Siti yang menjaga kesihatan diri sedang berjoging di larian joging di taman. (4) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di taman. (5) Aril yang menjaga kebersihan alam sekitar membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan di taman. (6) Beberapa orang murid sedang mengulang kaji pelajaran mereka di perpustakaan dengan tekun. (7) Beberapa orang murid sedang membuat ulang kaji di perpustakaan dengan tekun. (8) Nora sedang melayari internet untuk mencari maklumat bagi menyiapkan tugasannya. (9) Puan Sofia sedang memilih ikan sambil menjinjing sebuah bakul yang berisi sayur.
| Tatabahasa | 14.07.2014 |
Tujuan Hari Kantin diadakan untuk mengisi tabung sekolah. Merujuk kepada ayat di atas, betulkah tatabahasa dan strukturnya, frasa " mengisi tabung " betul ? | Frasa "mengisi tabung" betul dan boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 11.07.2014 |
Adakah ayat di bawah salah struktur bahasanya? 1. Aktivitis masyarakat itu dianugerahkan pingat kebesaran atas jasanya dalam kerja-kerja kemasyarakatan Kalau ayat tersebut salah strukturnya, apakah alasannya? | Saudara, Ayat yang betul : Aktivis masyarakat itu dianugerahi pingat kebesaran atas jasanya dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Fungsi meN...i/ di...i menandakan lokatif manakala fungsi meN...kan/di...kan menandakan kausatif. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207. | Tatabahasa | 03.09.2009 |
Saya masih lagi keliru tentang peggunaan frasa "Lain-lain hal" dan "Hal-hal lain" yang sering digunakan oleh rakan-rakan dalam penulisan agenda minit mesyuarat. Jadi, diantara kedua-dua frasa tersebut yang manakah lebih tepat dan betul strukturnya ? Jika tidak keberatan, saya inginkan sedikit penjelasan tentang kewujudan kedua-dua frasa tersebut. Terima kasih, tuan/puan. | Saudara, mengikut Hukum D-M dalam bahasa Melayu, frasa hal-hal lain betul dan frasa lain-lain hal salah. D (hal) ialah unsur diterangkan dan M (lain) ialah unsur yang menerangkan. | Tatabahasa | 22.11.2010 |
Adakah alat berikut betul? 1. Apakah alat permainan yang kamu suka bermain? 2. Saya suka bermain jongkang-jongket. Sekiranya ayat berikut salah, apakah struktur ayat yang sesuai untuk menyampaikan maksud yang sama seperti ayat di atas. Terima kasih :) | Salam sejahtera, Ayat yang diberikan betul strukturnya. Sekian, terima kasih.
| Tatabahasa | 13.10.2017 |
Apa yang membezakan antara kedua jalan tersebut ialah bentuk jalannya. (Adakah ayat ini betul?) | Ayat tersebut diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Yang membezakan kedua-dua jalan tersebut ialah strukturnya.” Untuk maklumat lanjut tentang ayat, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 431. | Tatabahasa | 06.02.2025 |