| Perluasan makna untuk perkataan pokok | 1. batang kayu dr pangkal ke atas: setiap pohon di hutan itu diberi tanda bersilang pd ~nya; 2. pohon: ~ jati; ~ kemunting; ~ saga; 3. ki perkara (bahagian, hal, dll) yg penting atau utama, hal yg menjadi sebab atau lantaran hal yg menjadi asas atau dasar, hal yg jadi ibu (induk), asal usul: perkara-perkara ~ dlm agama Islam; 4. wang pangkal dlm sesuatu perniagaan, modal; ~ angin awan (mendung) yg bergulung-gulung di kaki langit menandakan angin ribut hendak turun; ~ dasar dasar yg terpenting, asas; ~ fikiran asas atau dasar fikiran (faham, pendapat); ~ hujan mendung; ~ hukum Id asas (dasar) hukum; ~ kalimat Id perkataan dll yg menjadi huraian dlm ayat, subjek; ~ kata = kata ~ kata dasar yg belum diberi penambahan; ~ memanjat sj pokok kecil yg hidupnya memanjat pd pokok-pokok besar dll; ~ pangkal sebab-sebab yg utama (penting), sebab-sebab yg menjadi dasar, punca, asas, dasar; ~ pekerjaan (pencarian, penghidupan) pekerjaan yg menjadi asas bagi penghidupan; ~ pembicaraan (cerita, perundingan) perkara yg dibicarakan (diceritakan, dirundingkan); ~ penanti (Tani) pokok yg menerima tunas baka pokok lain yg sama jenis dengannya dlm proses cantuman; ~ perselisihan (percederaan, persengketaan, pertikaian) sebab-sebab yg memulakan perselisihan dll; ~ renek sj pokok kecil yg batangnya berteras; ~ ribut awan (mendung) yg menandakan ribut hendak turun; (pd) ~nya (pd) asasnya (dasarnya); ~ tentera Id tentera pusat, ibu (induk) tentera; | Lain-lain | 09.09.2009 |
| Tuan, mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, bukan : 1.=bukannya. Antara ayat, "Bukannya mudah hendak menyesuaikan diri dengan adat resam orang-orang di sana." dengan, "Bukan mudah hendak menyesuaikan diri dengan adat resam orang-orang di sana."; Adakah terdapat perbezaan dari segi penekanan maksud atau penekanan terhadap mana-mana (subjek atau objek) dengan menggantikan perkataan 'bukan' dengan 'bukannya'? Sekiranya ada, apakah yang ditekankan dalam ayat ini dan mengapa? Atau tiada apa-apa perbezaan langsung? Terima kasih. | Perkataan "nya" dalam konteks yang tersebut berfungsi sebagai penegas, boleh hadir atau digugurkan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 07.01.2015 |
| Sekolah kami mengadakan Hari Sukan peringkat sekolah. Bolehkah pihak tuan mempasifkan ayat ini? Adakah subjeknya dikategorikan sebagai Kata Ganti Nama Diri Pertama mahupun Ketiga? Jika pihak tuan menggunakan contoh "adik saya" ataupun "pensel saya", sudah tentu subjeknya ialah Kata Ganti Nama Diri Ketiga.... tetapi.... Contoh "adik saya" dan "pensel saya" yang telah saya berikan memberikan tanggapan sebagai kepunyaan atau milik seseorang dan tidak termasuk orang itu sendiri. Tetapi dalam konteks "sekolah kami", subjeknya memberikan tanggapan sebagai pasukan seseorang yang menjadikan orang itu sebahagian daripadanya. Contohya, "keluarga saya" serta "pasukan saya" memberitahu kita bahawa "saya" merupakan sebahagian daripada pasukannya. Oleh itu, bukankah "sekolah kami", mahupun "keluarga saya", mahupun "pasukan saya" dikategorikan sebagai Kata Ganti Nama Diri Pertama? | Ayat pasif bagi contoh ayat yang diberikan ialah “Hari Sukan peringkat sekolah diadakan oleh sekolah kami”. Subjek dalam ayat tersebut bukan kata ganti nama diri pertama atau kata ganti nama diri ketiga, sebaliknya kata nama. Kata ganti nama diri orang merupakan kata ganti nama yang mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu, iaitu: 1. Kata ganti nama diri orang pertama: saya, aku, beta, patik, kami, kita 2. Kata ganti nama diri orang kedua: anda, saudara, engkau, awak, kamu 3. Kata ganti nama diri orang ketiga: ia, dia beliau, mereka, -nya | Tatabahasa | 07.08.2022 |
| 1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |