Apakah perbezaan antara suka dan sukai, gemar dan gemari. Boleh berikan contoh dan cara penggunaan yang betul dari segi tatabahasa? Terima kasih. | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -i untuk membentuk kata kerja. Contohnya perkataan suka dan gemar, pada asalnya merupakan kata adjektif. Walau bagaimanapun, apabila perkataan tersebut menerima akhiran -i, iaitu sukai dan gemari, golongan katanya berubah menjadi kata kerja. Kata kerja ini hanya wujud dalam dua bentuk kata, iaitu: i. Dalam ayat pasif bagi orang pertama dan kedua. Contoh dalam ayat, Perangainya yang baik itu akan kami contohi. ii. Dalam ayat suruhan. Contoh dalam ayat, Tolong baiki basikal yang rosak ini. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 117-121 dan 183- 190. | Tatabahasa | 17.03.2021 |
Salam sejahtera. Apakah maksud 'popular' dan 'aspirin' yang dinyatakan dalam Kamus Dewan terbitan pertama pada tahun 1970? Sekian, terima kasih. | Popular bermaksud di-ketahui dan di-sukai ramai , terkenal (ejaan seperti dalam Kamus Dewan, terbitan 1970). Aspirin ialah ubat sakit demam (sakit kepala dll). | Makna | 05.10.2015 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin bertanya penggunaan tanda petik dalam petikan hadis. Adakah penggunaan seperti berikut betul? Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a. berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, 'Solat pada waktunya.' ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, 'Berbuat baik kepada ibu bapa.' Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab, 'Jihad di jalan Allah.'"(Riwayat al-Bukhari). Untuk bahagian akhir ayat, di manakah kedudukan tanda petik tunggal? Adakah selepas tanda noktah atau sebelum tanda noktah? Terima kasih. | Teks hadis perlu merujuk kitab-kitab muktabar dalam bahasa Arab, contohnya Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Nasa’i dan sebagainya. Rujukan hadis yang mengandungi nama perawi hadis hendaklah disertakan, manakala sumber rujukan hadis hendaklah mengikut kaedah penulisan takhrij hadith. Contoh rujukan hadis yang mengandungi nama perawi boleh ditulis dalam dua keadaan, iaitu: 1. 1. Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya xxx.” (Riwayat al-Bukhari) 2. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya xxx.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan (DBP, 2023) halaman 278 – 291. | Tatabahasa | 09.12.2024 |
Tuan, frasa sendi nama yang manakah betul, "di dalam kamus" atau "dalam kamus"? Pada pendapat saya, "dalam kamus" lebih jitu kerana kita tidak dapat melihat sesuatu benda yang mempunyai bentuk yang tetap berada dalam kamus kerana benda itu merupakan tulisan yang bersifat abstrak. Apakah pandangan tuan? Sama juga dengan sama ada "di dalam buku" atau "dalam buku"? Contoh ayat: 1. Perkataan ini tidak wujud di dalam/dalam kamus. 2. Banyak tulisan lama terkandung di dalam/dalam buku itu. 3. Keterangan maksud yang ada di dalam/dalam kamus itu sungguh jelas. 4. Di dalam/dalam buku cerita itu, terdapat satu watak yang sangat saya sukai. Minta tuan jelaskan soalan ini. | Penggunaan kata "di dalam" dan "dalam" adalah seperti yang berikut: Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Oleh itu, jawapan yang tepat bagi menjawab pertanyaan ialah dalam kamus dan dalam buku. | Tatabahasa | 06.12.2014 |