DBP, Terima kasih atas makluman tersebut. Menerusi pemerhatian, terdapat surat-surat, terutamanya surat rasmi khusus yang mempunyai kepala surat ketua agensi/menteri, rujukan fail dan tarikh ditulis di ruang atas sebelah kiri. Apakah pandangan DBP terhadap amalan yang tidak mematuhi PP Bil. 5/2007? Adakah surat sebegini dikecualikan daripada PP tersebut? Sekian, terima kasih. Ngoo | Garis panduan penulisan surat rasmi kerajaan adalah seperti yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 tahun 2007. Pihak DBP menggalakkan jabatan dan agensi awam mematuhi garis panduan ini. Pihak DBP bersedia untuk memberikan kursus penyediaan surat rasmi supaya penulisan surat rasmi lebih berkualiti dari segi penggunaan bahasa dan format. | Lain-lain | 13.10.2010 |
Apakah perbezaan antara surat edaran, pekeliling perkhidmatan dan surat pekeliling perkhidmatan? | Surat edaran ialah surat yang diedarkan untuk pengetahuan umum dan surat pekeliling atau surat pekeliling perkhidmatan ialah surat rasmi tentang sesuatu perkara yang diedarkan untuk pengetahuan umum (atau untuk tindakan pihak-pihak tertentu. | Makna | 25.09.2019 |
Apakah terjemahan yang sesuai untuk maksud "Service of Notice". Notis ini merujuk kepada surat berperingkat yang dikeluarkan oleh jabatan. Ia terdiri daripada Surat Amaran, Surat Peringatan, Surat Panggil, "Sub-poena" dans ebagainya. Terma "Service of of Notice" diperlukan dalam Bahasa Melayu kerana pihak kami sedang membuat dokumentasi carta proses kerja dalam Bahasa Melayu. | Untuk makluman, tidak ada istilah khusus untuk Service of Notice. Walau bagaimanapun, dalam pangkalan dat kami terdapat istilah service of default notice (bidang Undang-Undang) yang padanan bahasa Melayunya ialah penyampaian notis kemungkiran. Oleh itu, cadangan padanan bahasa Melayu untuk service of notice ialah penyampaian notis. | Istilah | 27.06.2011 |
Jamak bagi muka surat ialah muka-muka surat atau muka surat-muka surat? Kedua-duanya berbunyi janggal. | Bagi kata majmuk yang dieja sebagai dua perkataan, bahagian awal kata sahaja yang digandakan, seperti muka-muka surat. | Lain-lain | 31.12.2010 |
Kata Kerja Transitif mesti disambut oleh objek / frasa nama. Contohnya Pihak kerajaan akan menyiarkan kepada umum surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel sepatutnya ditulis begini Pihak kerajaan akan menyiarkan surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel kepada umum. Akan tetapi, terlalu banyak ayat Kata Kerja Transitif yang salah, misalnya; mengumumkan dalam masa terdekat keputusannya. Sepatutnya mengumumkan keputusannya dalam masa terdekat dan banyak lagi kesalahan seumpamanya. bagaimana pula dengan menembak mati penjenayah (menembak penjenayah hingga mati), menghumum mati, menembak jatuh burung, dll? | Pendapat tuan betul, kata kerja transitif memerlukan objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ayat contoh dan frasa yang diberikan juga betul, iaitu Pihak kerajaan akan menyiarkan surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel kepada umum, menembak penjenayah hingga mati, menghukum orang yang bersalah dan menembak burung hingga jatuh. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
PANDUAN MENULIS SURAT RASMI Panduan yang diberikan untuk kegunaan jabatan kerajaan dan bukan untuk tujuan peperiksaan awam. Cara menulis surat rasmi: 8. Perkara atau Tajuk Surat: 8.1 Ditulis dengan langkau dua di bawah perkataan menghadap surat iaitu selajur dengan nama dan alamat pengirim serta penerima. 8.2 Tajuk surat hendaklah tepat,ringkas dan padat serta dapat membayangkan kandungan surat. 8.3 Huruf pertama pada setiap perkataan hendaklah ditulis dengan huruf besar dan digariskan. 8.4 Jika tajuk surat lebih daripada satu baris, hanya baris terakhir digariskan. 8.5 Tajuk surat tidak perlu diletakkan noktah. Contoh: Maklumat Guru Sandaran Tidak Terlatih,Guru Kursus Dalam Cuti dan Guru Kontrak Bagi Daerah Kuala Kangsar Tahun 2003 * Tajuk surat mesti digaris Tetapi kenapa masih ada lagi surat-surat rasmi daripada mana-mana pihak yang menggunakan HURUF BESAR untuk tajuk surat rasmi atau pekeliling2????? Sedangkan apa yang dipelajari di sekolah-sekolah...tajuk surat rasmi hendaklah ditulis menggunakan huruf kecil dan kata sendi nama kecuali bagi huruf pertama setiap perkataan | Garis panduan penulisan surat rasmi kerajaan adalah seperti yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 tahun 2007. DBP sebagai salah sebuah agensi kerajaan mematuhi garis panduan tersebut dan menggalakkan agensi awam yang lain mematuhi garis panduan ini. Walau bagaimanapun bagi tujuan peperiksaan, pelajar hendaklah mematuhi tatacara penulisan surat rasmi yang diajar oleh guru. | Lain-lain | 05.06.2013 |
Berhubung dengan surat rasmi. Surat ditujukan kepada sebagai contoh: Tn. Hj. Hailani Bin Surit Ketua Kampung Tok Muda Persoalannya : Di dalam isi kandungan surat tersebut, perkataan yang ingin ditujukan kepada beliau adalah sama ada menggunakan perkataan Tuan atau Tn. Hj? Perkataan yang manakah betul digunakan? | Selamat ptg. Kata sapaan ialah "Tuan Haji" bagi nama penuh, manakala dalam surat "tuan" sahaja. Sekian, terima kasih. | Istilah | 30.05.2016 |
Adakah penggunaan "dan" dalam ayat berikut adalah betul : Tindakan Ahmad menerima surat-surat bagi Tahun-Tahun Taksiran 1998 "dan" 1999 "dan" mengambil tindakan yang sesuai adalah betul di sisi undang-undang. | Tindakan Ahmad menerima surat-surat bagi Tahun-Tahun Taksiran 1998 "dan" 1999 "dan" mengambil tindakan yang sesuai adalah betul di sisi undang-undang. Berdasarkan teks tersebut, jelas menunjukkan laras yang digunakan ialah laras undang-undang. Kita menerima gaya bahasa yang berkenaan tetapi penggunaannya terhad dalam laras undang-undang sahaja. | Tatabahasa | 02.01.2013 |
Adakah kata ganti diri 'dia' perlu ditukar kepada '-nya' dalam ayat pasif? Contoh : Dia menulis surat itu. Surat itu ditulis olehnya. atau Surat itu ditulis oleh dia. | Dalam ayat pasif, kata ganti diri "dia" perlu ditukar kepada "nya" atau pun dikekalkan "dia". Kedua-dua ayat; "Surat itu ditulis olehnya" dan "Surat itu ditulis oleh dia" boleh digunakan. | Tatabahasa | 23.02.2018 |
Mohon faxkan kepada saya berkaitan format penulisan Surat Resmi kerajaan. Contoh: Tarikh & Ruj.Kami tulis dimana? Bentuk surat bersama ini dilampirkan .... Bagaimanakah bentuk surat tersebut? Sekian Terimakasih. | Untuk makluman tuan, format surat rasmi mesti mempunyai bahagian kepala surat, badan (isi), dan penutup surat. Bahagian kepaala surat mengandungi nama, logo dan alamat penuh instutusi, diikuti nama penerima, nombor fail, tarikh dan sapaan. bahagian badan bermula dengan perkara, para pertama (penanda wacana), para dua (isi utama), para tiga (isi tambahan), para empat (penutup). bahagian penutup mengandungi slogan, saya yang menjalankan tugas, tandatangan, nama, jawatan (b.p. jika perlu), dan parap. Format surat rasmi boleh dirujuk pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007, halaman 43 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam . Semua jabatan dalam sektor awam, termasuk DBP merujuk pekeliling ini. | Lain-lain | 30.04.2014 |