Apakah perbezaan antara surat edaran, pekeliling perkhidmatan dan surat pekeliling perkhidmatan? | Surat edaran ialah surat yang diedarkan untuk pengetahuan umum dan surat pekeliling atau surat pekeliling perkhidmatan ialah surat rasmi tentang sesuatu perkara yang diedarkan untuk pengetahuan umum (atau untuk tindakan pihak-pihak tertentu. | Makna | 25.09.2019 |
Apakah maksud terperinci dan perbezaan maksud di antara: 1.Pekeliling Kerajaan (PKPA) 2.Surat Pekeliling Kerajaan 3.Surat edaran 4.garis panduan | Pekeliling kerajaan dan surat pekeliling ialah perkara yang sama, iaitu surat rasmi tentang sesuatu perkara yang diedarkan untuk pengetahuan umum. Surat edaran ialah surat yang diedarkan untuk pengtahuan umum seperti yang lazimdiedarkan dalam sesebuah organisasi. Garis panduan ialah panduan atau petunjuk-petunjuk yang perlu diikut, dasar (ciri-ciri utama dan sebagainya) yang boleh dijadikan panduan atau pegangan. | Makna | 31.12.2012 |
Permulaan ayat bolehkah digunakan seperti berikut:- Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk. (mengikut surat edaran daripada Arkib Negara untuk digunakan) | Ayat "Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk" boleh dijadikan permulaan ayat. | Lain-lain | 13.11.2016 |
Maksud yang tepat bagi perkataan-perkataan dibawah:- a.brochure b.pamplet c.banner d.catalog e.flyers f.bunting | a. Brochure (Brosur) : Buku kecil atau risalah yang diterbitkan bagi meningkatkan imej sesuatu organisasi atau kumpulan. Biasanya, buku ini mempunyai halaman hadapan yang menarik. b. pamphlet : risalah c. banner - kain rentang iaitu jaluran kain yang panjang, yang direntang melintang atau sepanjang jalan. d. catalog - katalog iaitu senarai atau daftar nama buku, barang dll dlm susunan tertentu (kadang-kadang terdapat harganya sekali). e. flyer - risalah iaitu surat edaran (siaran): siaran itu dikeluarkan dgn rasmi melalui akhbar-akhbar f. bunting - gegantung iaitu (rangkaian) jalur kain dsb yg digunakan utk menghebahkan sesuatu kegiatan, produk dll. Untuk makluman, saudara boleh terus membuat carian kata pada ruangan carian spesifik pada paparan utama semasa saudara melayari laman web DBP. Ini merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh DBP bagi membantu pengguna membuat carian kata dengan cepat dan mudah. Terima kasih. | Istilah | 17.02.2009 |
Adakah terma "Yang benar" dan "saya yang menurut perintah" dibenar untuk digunakan sebagai pengakhiran surat (signing off) di dalam surat-surat rasmi kerajaan? Jika dibenarkan, keadaan yang bagaimanakah kedua-dua terma itu dibenar untuk digunakan? Apakah yang membezakan kaedah penggunaannya? Berikut adakah cadangan yang digariskan: Adakah sesuai? Penggunaan signing off “Saya yang menjalankan tugas”: 1. Surat berbentuk hebahan penguatkuasaan seperti Pekeliling, Garis Panduan dan Peraturan yang sedang atau akan dilaksanakan 2. Surat berbentuk peringatan seperti makluman penting, teguran dan tindakan tatatertib 3. Surat berbentuk maklumbalas atau penjelasan kepada pihak atasan seperti Pengurusan Universiti, Kementerian dan pihak berkepentingan. Penggunaan signing off “Yang benar”: 1. Surat berbentuk umum seperti memohon penajaan, kelulusan program, rayuan dan pelantikan. 2. Surat jemputan seperti menghadiri Mesyuarat dan Program Rasmi Universiti 3. Surat penghargaan dan ucapan tahniah 4. Memo edaran dalaman Jabatan – Ketua Jabatan kepada kakitangan jabatan masing-masing Mohon pandangan dan nasihat daripada pihak Tuan. Terima kasih. | Kedua-dua klausa ini "Saya yang menurut perintah" dan "Saya yang menjalankan tugas" adalah betul. Pemilihan penggunaan penutup surat rasmi bergantung kepada organisasi masing-masing, tidak tertakluk pada konteks penggunaan dan tajuk surat. Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai garis panduan dalaman tersendiri, dan kami menggunakan klausa "Saya yang menurut perintah". Sekiranya oraganisasi tuan berhasrat menggunakan klausa "Saya yang menjalankan tugas", itu merupakan gaya surat rasmi tersendiri organisasi tuan. Adapun klausa "Yang benar" lazimnya digunakan dalam surat tidak rasmi. | Tatabahasa | 26.09.2016 |
Assalamualaikum... Jika kita hendak menghantar surat kepada lain-lain jabatan dan dalaman..adakah utk dalaman tu kita kena tulis salinan kepada atau edaran dalam. sekian, terima kasih | Kedua-duanya boleh digunakan, 'salinan kepada' lazimnya digunakan untuk perkara surat khusus dan diberi salinan kepada individu tertentu, manakala edaran dalaman digunakan dalam surat/memo umum dan diedarkan untuk makluman pegawai lain. | Tatabahasa | 22.12.2010 |
Saya ingin bertanya penggunaan "Saya yang menjalankan tugas" dalam surat rasmi pada bahagian akuan diri sebelum tandatangan. Menurut seorang Munsyi Dewan semasa saya berkursus penulisan surat rasmi beliau menjelaskan "Saya yang menjalankan tugas" hanya digunakan oleb Ketua Setiausaha Negara sahaja. Namun kemunsyikilan saya dalam buku teks kelas Peralihan terdapat satu surat rasmi yang tulis oleh murid menggunakan "Saya yang menjalankan tugas". Mohon pihak tuan dapat memberi penjelasan tentang perkara ini supaya saya tidak mengajar perkara yang salah pada murid-murid saya. Terima kasih. | Lazimnya penggunaan rasmi dalam kalangan penjawat awam ialah "Saya Yang Menurut Perintah". Walau bagaimanapun frasa "Saya Yang Menjalankan Tugas" banyak digunakan dalam buku/edaran tentang penulisan surat rasmi. Oleh hal yang demikian, jika ada organisasi yang menggunakan frasa tersebut dalam surat, bukanlah suatu kesalahan. | Tatabahasa | 19.09.2015 |
Saya inginkan pengesahan tentang penggunaan singkatan YAB, YB, YBhg (selepas Bhg ada titik atau tiada?) dan ada surat arahan ke tidak yang menyatakan tidak memerlikan titik selepas penggunaan kata gelaran tersebut. Jika ada macam mana untuk mendapatkannya kerana saya ingin membuat edaran ke JPBD untuk menulis surat atau artikel dengan betul. Boleh tolong semak contoh surat yang dikemukakan. Bantuan tuan/Puan dihargai dan diucapkan terima kasih. | Seperti Lampiran. | Tatabahasa | 30.06.2011 |
Di antara ayat " Saya Yang Menurut Perintah" dan "Saya Yang Menjalankan Tugas" yang manakah lebih sesuai untuk kegunaan rasmi dan dalam keadaan apakah kedua-keduanya sesuai digunakan. Ada yang menyatakan "Saya Yang Menurut perintah" hanya sesuai untuk kegunaan rasmi sahaja dan "Saya Yang menjalankan tugas " untuk kegunaan tidak rasmi Cth: menulis surat kepada ibu bapa sdan lain-lain. Terima kasih. | Lazimnya penggunaan rasmi dalam kalangan penjawat awam kini ialah "Saya Yang Menurut Perintah". Frasa "Saya Yang Menjalankan Tugas" banyak digunakan dalam buku/edaran tentang penulisan surat rasmi. | Lain-lain | 29.01.2013 |
Saya ingin merujuk kepada pertanyaan saya sebelum ini. Lampiran yang diberikan melalui emel pada 30 Jun 2011 tidak dapat dibuka. Mohon pihak tuan/puan mengirimkan sekali lagi jawapan tersebut. Soalan : Saya inginkan pengesahan tentang penggunaan singkatan YAB, YB, YBhg (selepas Bhg ada titik atau tiada?) dan ada surat arahan ke tidak yang menyatakan tidak memerlikan titik selepas penggunaan kata gelaran tersebut. Jika ada macam mana untuk mendapatkannya kerana saya ingin membuat edaran ke JPBD untuk menulis surat atau artikel dengan betul. Boleh tolong semak contoh surat yang dikemukakan. Bantuan tuan/Puan dihargai dan diucapkan terima kasih. Jawapan : Seperti Lampiran. (Lampiran tidak dapar di buka) Kerjasama pihak tuan/puan diucapkan terima kasih. | Kamus Dewan menyelaraskan ejaan YAB dan YB (tanpa titik) dengan kependekan ejaan darjah kebesaran dalam buku Protokol di Malaysia. Yang menimbulkan sedikit kekeliruan ialah ejaan YBhg. (dengan titik) kerana YBhg. ialah kependekan kepada yang (Y) + bahagia (Bhg. - diwakili tiga huruf), sama seperti kependekan perkataan contohnya kampung (kg.) dan jalan (jln.) yang dibubuh tanda titik. Walau bagaimanapun ada yang menyelaraskan ejaan YBhg sama seperti YAB dan YB (tanpa titik) dalam penulisan mereka. Hal ini kami anggap sebagai gaya penulisan dan gaya ini mestilah tekal (sama) dalam keseluruhan penulisan. Jika YBhg. (dengan titik) dalam penggunaan pertama, maka dalam penggunaan seterusnya juga dengan titik dan begitulah sebaliknya. | Tatabahasa | 11.07.2011 |