Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[su.rut] | سوروت

Definisi : 1. kembali (ke asal dll), balik (ke belakang), mundur: kemudian mereka ~ ke belakang beberapa langkah; ~ kpd bekas isterinya telah rujuk; berlaku ~ dr dihitung kembali dr; pantang ~ pantang mundur; 2. menjadi berkurang, reda (kemarahan dll), susut: marahnya yg memuncak-muncak tadi telah ~ dlm sekejap mata; kian larut malam, kian ~ pula pertempuran itu; 3. = air ~ = pasang ~ air turun (selepas pasang atau naik): mereka berjalan-jalan di tepi sungai yg kebetulan sedang ~; akan ~ airlah gedang, akan lalu jalanlah semak prb sesuatu perkara yg serba susah (akan diteruskan susah dan akan ditarik kembali pun susah); menyuruti 1. menjadikan berkurang, me­ngurangi, menyusuti; 2. rujuk dgn isteri (yg telah diceraikan), memulangi; menyurutkan 1. menjadikan surut, menarik kembali, memundurkan, mengembalikan, meng­undurkan: pinang akan disurutkan ke tampuk, sirih akan dipulangkan ke gagang; 2. menjadikan berkurang, mengurangkan, menyusutkan: hendaklah disurutkan airnya dahulu barulah boleh dirapah; 3. mengu­rangkan (nyala api dll), meredakan (marah, nafsu, dll): air yg dijerangkannya tadi sudah menggelegak, lantas disurutkan apinya; ~ darah menenangkan fikiran (hati, perasaan); tersurut berbalik ke belakang, mundur (undur) ke belakang: sebentar itu juga ia ~ kebelakang lalu jatuh; ~ fikiran melepaskan niat; ~ hati tawar hati. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[su.rut] | سوروت

Definisi : 1 turun semula parasnya sesudah pasang atau sesudah bah (bkn air): Apabila air telah ~, mangsa-mangsa banjir pun pulang ke rumah masing-masing. 2 balik ke belakang; undur; mundur: Kalau sudah melangkah, berpantang ~. 3 menjadi semakin kurang (bkn ke­marahan dll); reda; susut: Penyakitnya sudah mula ~. menyurutkan 1 me­nye­­­babkan menjadi surut (bkn air dsb); mengurangkan; menyusutkan. 2 menjadikan berkurang (bkn api, kemarahan dll); meredakan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
surut (kata kerja)
1. Dalam konteks marah
bersinonim dengan reda, susut, menurun, merosot,
Berantonim dengan memuncak

2. Bersinonim dengan mundur: undur, berpatah balik,
Berantonim dengan mara

3. Dalam konteks paras air
bersinonim dengan susut
Berantonim dengan pasang

Kata Terbitan : menyuruti, menyurutkan,

Puisi
 

Air pasang surut ke hulu,
     Menemui baung mati terlentang;
Sudah dibawa buah mengkudu,
     Si baju gadung kuikut pulang.


Lihat selanjutnya...(11)
Peribahasa

Air surut kapar hilir bersama,
     air pasang ia tersangkut.

Bermaksud :

Di dalam usaha yang tidak menguntungkan, diajak bersama-sama, dan apabila usaha itu berhasil, ditinggalkan.

 

Lihat selanjutnya...(18)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bengkaknya juga sudah mula susut. Tuan, sesuaikah guna perkataan susut dalam ayat dia atas?Dalam Kamus Dewan susut sama maksudnya dengan surut, walau bagaimanapun lazimnya kita mengatakan "bengkaknya sudah mula surut", iaitu semakin berkurangan.Tatabahasa22.06.2012
Apakah maksud bahan almanak dan direktori?

Sekiranya sdr merujuk Kamus Dewan, kata almanak ialah 1. kalendar tahunan yg mengandungi senarai hari bulan dgn maklumat lain (spt terbit dan masuk matahari, air pasang surut, peredaran bulan, dll); ~ nautika buku tahunan yg memberikan maklumat tentang bulan, air pasang surut, matahari dsb; 2. buku yg berisi penanggalan (daftar hari bulan) dan karangan yg perlu diketahui umum.

2.   Kata direktori ialah fail yang mengandungi maklumat spt nama, sifat, dan kedudukan fail yang terkandung di dalam cakera.

Makna19.06.2009
Jawapan yang manakah Betul untuk soalan yang berikutnya: - 1) Lalu lintas di situ kembali ________ setelah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dialih ke tepi a) tegang b) pantas c) surut d) pulih 2) Dia tidak dapat melupakan peristiwa yang lucu itu (Perkataan seerti dengan peristiwa) a) suasana b) kejadian c) cerita d) kisah 3) Puan Aida bimbang akan keselamatan anaknya yang tinggal bersendirian di rumah. a) khuatir b) yakin c) tenang d) waspada 4) Adakah struktur ayat ini betul ? Harga sekilo ikan ini berapa ? Sekian, Terima Kasih Ivy

1) Lalu lintas di situ kembali pulih setelah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dialih ke tepi 

2) Dia tidak dapat melupakan peristiwa yang lucu itu - Perkataan seerti dengan peristiwa ialah kejadian

3) Puan Aida bimbang akan keselamatan anaknya yang tinggal bersendirian di rumah. a) khuatir b) yakin c) tenang d) waspada - soalan tidak jelas.

4) Harga sekilo ikan ini berapa? - struktur ayat ini betul.

Tatabahasa19.10.2010
tuan, saya ada beberapa soalan yang menimbulkan kekeiruan: 1. suasana mesra diwujudkan melalui interaksi sesama mereka.( kesalahan jawapan ialah sesama) 2. aktivis bermasyarakat itu dianugerahkan pingat.(kesalahan: bermasyarakat) 3. pengulas sukan itu kelihatan berat sebelah ketika membuat ulasan siaran secara langsung. (kesalahan:pengulas) 4. perkhidmatan layan diri.(kesalahan di mana?) 5. kawasan hilir sungai dipenuhi lumpur selepas banjir surut.( kesalahan di mana?) 6. pelbagai jenis lauk-pauk( kesalahan di mana?)

1. Suasana mesra diwujudkan melalui interaksi sesama mereka. - sesama bermaksud antara, ayat ini betul 

2. Aktivis bermasyarakat itu dianugerahkan pingat. - yang betul 'aktivitis masyarakat', iaitu kata majmuk   

3. Pengulas sukan itu kelihatan berat sebelah ketika membuat ulasan siaran secara langsung. - ayat ini betul kerana pengulas ialah orang yang bertugas memberikan ulasan terhadap kegiatan sukan itu

4. Perkhidmatan layan diri. - buang perkataan 'perkhidmatan' kerana tiada khidmat yang diberikan. 'Layan Diri' sahaja 

5. Kawasan hilir sungai dipenuhi lumpur selepas banjir surut. tiada kesalahan

6. Pelbagai jenis lauk-pauk - Frasa yang betul 'pelbagai jenis lauk' atau 'lauk-pauk'

Tatabahasa29.03.2011
apakah maksud perkataan berikut beserta dengan contoh ayat a) pasang siap b) pasang besar c) pasang layar d) pasang turun e) pasang iklan f) pasang jagaa. pasang siap = yang dibina atau dibuat dengsn mengena-ngenakan atau mencantum-can­tumkan bahagian-bahagiannya yang telah disediakan atau dibuat terlebih dahulu.
b. pasang besar = air pasang besar pada masa bulan muda (atau penuh);
c. pasang layar = me­naikkan (mengenakan) layar
d. pasang turun = air laut (sungai) surut atau turun
e. pasang iklan =  memasukkan iklan (dalam akhbar, majalah, dan lain-lain);
f. pasang jaga =  menempatkan (mengadakan) jaga.
Makna13.02.2013
1. ________________ pendatang asing di negara ini menimbulkan persaingan dalam kalangan penduduk tempatan dalam sekitar pekerjaan. A. kesesakan B.keramaian C. kepadatan C. kebanjiran 2. 1. Muka adik hitam terkena dakwat pencetak komputer. ii. "Buku rujukan itu tidak ada muka surat dua puluh lima ,"kata Azli. iii. kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh pada hari muka. iv. Leman bercermin di muka tingkap biliknya sebelum pergi sekolah. Mana ayat yang betul. Cerpen yang memenangi anugerah Cerpen Terbaik Peringkat Kebangsaan itu adalah hasil __________ A. buah fikiran B. buah kalam. Perkataan seerti bagi dangkal A. cetek B. dalam C. susut D. surut 1. Tiupan angin yang kencang telah menyebabkan bumbung rumah itu, A. terlucut B. tercabut c. terbuka D. terputus1. Kebanjiran pendatang asing di negara ini menimbulkan persaingan dalam kalangan penduduk tempatan dalam sektor pekerjaan. 
2. Ayat IV betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut
3. Cerpen yang memenangi anugerah Cerpen Terbaik Peringkat Kebangsaan itu adalah hasil buah fikiran ....
4. Dangkal sama maksudnya dengan cetek. 
5. Tiupan angin yang kencang telah menyebabkan bumbung rumah itu tercabut.
Tatabahasa01.05.2012
Assalamualaikum, Apakah ciri-ciri / perbezaan antara seloka dan gurindam? Terima kasih.
Waalaikumussalam. Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu berasal daripada pengaruh asing, tetapi bentuk gurindam itu dicipta oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandungi sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas untuk tujuan memberi nasihat dan pesanan. Gurindam digubah dalam bahasa yang indah. Berikut diturunkan salah satu contoh gurindam, iaitu:
Kalau banyak berkata-kata,
Di sanalah boleh terjadi dusta.
Seloka juga berasal daripada bahasa Sanskrit, tetapi dalam bahasa Melayu seloka adalah sejenis puisi  lisan Melayu yang tiada tetap sajaknya. Puisi ini digubah bertujuan untuk menyindir, mengejek, bergurau senda dan berjenaka dengan menggunakan bahasa yang berangkap seperti yang berikut:
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang.
Lain-lain28.08.2009

Kembali ke atas