swafoto- Saya pernah tengok cerita Indonesia yang dibuat dalam dua tiga tahun lalu dan ada dialog swafoto. Tapi di Malaysia penggunaan swafoto saya kira agak baru juga. Oleh itu saya ingin tahu adakah ia asalnya daripada bahasa Indonesia? Jerayawara juga baru tahu daripada surat dari agensi kerajaan yang diterima. Rupa-rupanya ia sudah ada dalam kamus edisi keempat. Saya rasa perkataan yang lebih popular ialah jelajah dan jika menggunakan perkataan ini lebih tidak faham. Jika menggunakan perkataan jelajah adakah ianya tidak tepat? | 1. Untuk makluman tuan, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" merupakan awalan asing (sanskrit) yang bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. 2. Perkataan jerayawara bermaksud persembahan, pameran, ceramah dan sebagainya diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang berkunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dan sebagainya. Perkataan jerayawara lebih mengkhusus maksudnya berbanding perkataan jelajah yang bermaksud pergi berjalan ke merata-rata tempat (untuk menyelidik dan lain-lain). | Penyemakan dan penterjemahan | 09.04.2017 |
Dewan Bahasa dan Pustaka sudah perkenalkan perkataan "Swafoto" bagi perkataan "Selfie"yang kita selalu guna selama ini. Ayuh, kita ubah kebiasaan itu. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Swafoto - gambar kendiri Berswafoto - mengambil gambar kendiri Menswafoto - perbuatan merakam gambar sendiri Jom guna Bahasa Melayu yg betul, indahnya bahasa kita. Suri Teladan – Role Model Jerayawara – Road Show Latar Pentas – Back Drop Gegantung – Bunting Imej Tumpu – Highlight Parkir – Parking Pascanilai – Postmortem Swafoto - Selfie ---adakah ini hebahan yang benar? | Istilah bahasa Melayu yang dicadangkan oleh DBP adalah seperti yang berikut: Selfie - Swafoto Role Model – Suri Teladan Road Show - Jerayawara Back Drop - Latar Pentas Bunting - Gegantung Highlight - Imej Tumpu Parking - Tempat Letak Kereta Postmortem - Pascanilai | Istilah | 05.12.2016 |
Salam, Saya nak tanya mengenai perkataan "selfie"... adakah ia masih boleh digunakan dalam iklan atau hanya boleh menggunakan perkataan "swafoto" ? Saya nampak setengah iklan ada guna "selfie" dan ada juga "swafoto". Saya nak pastikan yang manakah harus diguna. Terima kasih. | Waalaikumussalam, Maksud selfie daripada bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi ialah bermaksud swafoto iaitu mengambil gambar foto dengan usaha sendiri menggunakan kamera telefon pintar atau kamera digital. Di dalam iklan hanya perkataan swafoto sahaja boleh digunakan. | Makna | 22.11.2017 |
Ackhmed Aizat 09:31 Salam, mengapa perkataan "selfie" diterjemah kepada "swafoto" dan bukannya "swagambar"? | Salam, Untuk makluman, kedua-dua perkataan membawa maksud yang sama. Akan tetapi, pihak kami telah memilih swafoto untuk penggunaan rasmi. | Istilah | 30.11.2016 |
Berkenaan perkataan "swafoto". 1) Apa maksud "swa"? 2) perkataan "foto" pula berasal dari perkataan Inggeris "photo". Kenapa DPB tidak memartabatkan Bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan seperti "gambar" atau "wajah"? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. Oleh sebab itu, DBP menerima istilah swafoto sebagai padanan untuk perkataan bahasa Inggeris "selfie". Sekiranya tuan memerlukan maklumat lanjut mengenai cara pembentukan istilah bahasa Melayu, sila rujuk kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 04.01.2017 |
1) Apakah istilah yang tepat bagi menggantikan perkataan Coaching & Mentoring? 2) adakah istilah berikut telah diwartakan oleh DBP; TULAR bagi menggantikan VIRAL; PASCA NILAI (POST MORTEM) dan SWAFOTO (SELFIE) | 1. Padanan bahasa Melayu bagi istilah coaching & mentoring ialah Bimbingan dan Pementoran 2. Untuk makluman tuan, istilah tular, pascanilai dan swafoto merupakan cadangan bahasa Melayu bagi perkataan viral, postmortem dan selfie dan perkataan tular, pascanilai dan swafoto boleh digunakan. | Penyemakan dan penterjemahan | 05.01.2017 |
Mohd Fazli Bin Abdullah Mohon pandangan DBP. Kata swafoto sudah ada lama dalam bahasa Indonesia. Gabungan dari kata swa + foto. Bererti kata swa secara tunggal bawa maksud sesuatu yg bersifat sendiri (apakah itu berasal dari kata swasta?). Indonesia juga terjemahkan istilah 'self-service' sebagai swalayan. Saya tertarik dengan cara Indonesia yg pelbagaikan kata swa untuk istilah-istilah lain yg bersifat personal. Di Malaysia, kita masih terjemahkan 'self-service', sebagai layan diri. Jadi apakah kata swa, tidak membawa apa-apa erti menurut pandangan DBP? | 1. Untuk makluman tuan, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" merupakan awalan asing (sanskrit) yang bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. Oleh sebab itu, DBP menerima istilah swafoto sebagai padanan untuk perkataan bahasa Inggeris "selfie". 2. Tidak ada maklumat tentang etimologi kata swasta dalam pangkalan data kami. Jika dirujuk maksud swa ialah awalan asing yang bermaksud sendiri, namun tidak dapat dikaitkan dengan maksud asta untuk pembentukan kata baharu itu. 3. Dalam bahasa Melayu penggunaan awalan "swa" digunakan seperti "limbungan swa-apung" padanan terjemahan "self-docking dock", hipotesis swa-penanda untuk padanan "self-marker hypothesis". Selain kata pinjaman, ada kata Melayu yang sama maksudnya dengan swa- iaitu "kendiri" bagi padanan kata "self" dalam bahasa Inggeris, contohnya self-regulatory policy - dasar peraturan kendiri, self-management - pengurusan kendiri. 4.Sekiranya tuan memerlukan maklumat lanjut mengenai cara pembentukan istilah bahasa Melayu, sila rujuk kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 08.06.2017 |
Habib Ali Al Murtabari Swafoto tu pun bunyi inggeris. Tkde bza dgn selfi. Bangang. | Sila gunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. | Lain-lain | 16.12.2016 |
Assalamualaikum. Baru-baru ini DBP ada mengeluarkan 8 istilah baru ICT. Boleh ke saya dapatkan penerangan dari pihak DBP mengenai perkataan-perkataan ini: 1) Tunafoto 2) Swafoto maut 3) Pengkomputeran awan 4) Tera air 5) Butang tekan 6) Emotikon 7) Kawasan khas 8) Tapak panas Apa yang pasti ianya terjemahan daripada perkataan ICT terbaru dalam bahasa Inggeris. Boleh kami tahu bagaimana setiap perkataan ini dipilih seperti perkataan Tunafoto. Sekian. Terima Kasih. | 1) Tunafoto - Gambar foto yang terganggu atau rosak disebabkan sesuatu yang tidak dijangka semasa mengambil foto. 2) Swafoto maut - Mengambil gambar foto sendiri dengan menggunakan kamera telefon pintar atau kamera digital di tempat berbahaya yang boleh mendatangkan kematian. 3) Pengkomputeran awan - Pengkomputeran berasaskan Internet dan menggunakan teknologi komputer yang terkini. Sebutan awan merujuk kepada Internet yang selalunya diwakilkan dalam rajah rangkaian komputer dan merupakan pengabstrakan bagi infrastruktur kompleks yang diwakilinya. Pengkomputeran awan juga merujuk kepada penyediaan keupayaan pengkomputeran yang berkaitan dengan teknologi maklumat sebagai satu perkhidmatan yang membenarkan pengguna mencapai perkhidmatan Internet tanpa pengetahuan kepakaran terhadap teknologi infrastruktur yang menyokongnya. Contohnya, Google App menyediakan aplikasi perniagaan yang biasa secara dalam talian yang boleh dicapai melalui pelayar web manakala perisian dan data disimpan dalam pelayan. 4) Tera air - Tera air ialah tanda pengenalan yang ditekan ke atas kertas ketika ia dibentuk oleh mesin pembuat kertas. 5) Butang tekan - Merupakan terjemahan bagi perkataan push-button. 6) Emotikon - Ikon untuk melambangkan perasaan dalam internet. 7) Kawasan khas - Terjemahan bagi perkataan hotspot 8) Tapak panas - Tapak sandaran yang dilengkapi kelengkapan komputer yang sama dengan sistem komputer yang sedia ada di organisasi anda. Banding: cold site. 2. Dalam WWW, rujukan kepada tapak web yang amat popular. Untuk makluman, istilah yang dipilih telah digubal oleh Jawatankuasa Pembentukan Istilah. | Istilah | 22.11.2017 |
Saya rasa seronok dan mahu ucap tahniah kerana mewujudkan suatu perkataan baharu khusus untuk bahasa Melayu seperti selfie kepada swafoto. Saya teringin nak melihat suatu perkataan khusus peraturan-peraturan dalam permainan dan sukan khususnya bola sepak yang saban hari kita main, melihat dan tonton. Saya mencari perkataan bahasa Melayu untuk offside dan foul, tetapi yang saya jumpa ialah ofsaid dan faul. Saya mohon ada perkataan baharu untuk bahasa kita yang merupakan jiwa dan identiti kita. Tidak perlu yang panjang, contoh anak dara tua jadi andartu. Atau apa-apa perkataan yang mudah disebut yang semestinya pihak DBP lebih mahir dalam bidang ini. Semoga dapat dipertimbangkan dan dapat memartabatkan lagi kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Sekian. | Istilah ofsaid dan faul ialah istilah yang rasmi dalam bidang sukan. Walau bagaimanapun, cadangan tuan akan kami kemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk dipertimbangkan. | Istilah | 12.02.2017 |