Selain itu, saya ingin bertanya tentang penggunaan kata seru "Amboi" dan "Wah". Apakah jawapan yang betul untuk soalan di bawah dengan dua pilihan kata seru tadi? 1.___________, cantik sungguh awak hari ini! 2.___________, buruknya kereta Cikgu Chong! 3.___________, besarnya rumah kamu! 4.___________, kasihan betul adik yang demam! Apakah perbezaannya antara kedua-dua kata seru ini dari segi penggunaannya? | Salam sejahtera, Tuan, "Wah" dan " Amboi" merupakan kata seruan yang digunakan dalam ayat seruan. Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan, seperti takut, marah, takjub, geram, sakit dan sebagainya. Dalam konteks ayat yang diberi, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan kecuali ayat nombor 2 dan nombor 4. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 10.07.2018 |
Berdasarkan penjelasan tuan (ADA di depan kata kerja) Adakah ini bermakna ayat ADA di bawah tidak sesuai? 1(a) Dia ADA pergi ke sekolah pagi tadi. 1(b) Dia TELAH pergi ke sekolah pagi tadi. 2(a) Saya ADA menerima surat daripadanya. 2(b) Saya TELAH menerima surat daripadanya. 3(a) Dia ADA menyemak senarai hitam. 3(b) Dia TELAH menyemak senarai hitam. 4(a) Surat pelantikan ADA difailkan. 4(b) Surat pelantikan TELAG difailkan. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Empat, terdapat beberapa makna ada, iaitu; 1. boleh didapati (ditemui, dilihat, dsb), bukan khayalan atau rekaan, wujud: ada orang yg mempercayai hantu itu ~ dan ada pula yg mengatakan ianya khayalan manusia; tidak ~ lagi binatang raksasa sekarang; 2. boleh diperoleh (didapati, dijumpai, dsb) di sesuatu tempat: gula dan kopi ~ di dlm almari itu; dia tidak ~ di rumahnya sewaktu kami sampai; 3. telah sedia, telah terkumpul dsb (utk diberi perhatian dsb): ~ banyak surat yg perlu ditandatangani; ~ kerja penting yg belum diurus lagi; 4. mempunyai: Razi ~ banyak barang mainan; tidak ~ cita-cita; 5. (masih) hidup, belum meninggal dunia: ibunya masih ~ tetapi ayahnya sudah meninggal; dia sudah tak ~ dia sudah meninggal dunia; 6. benar-benar, sungguh-sungguh, sesungguhnya (digunakan utk menguatkan kata kerja selepasnya): dia ~ pergi ke sekolah petang tadi; saya ~ menerima surat daripadanya; 7. hadir (digunakan sbg menjawab panggilan guru dll sewaktu memastikan kedatangan murid dll); 8. apakah (digunakan utk melembutkan pertanyaan): ~ encik melihat adik saya? ~ gula, ~ semut prb kalau orang kaya banyaklah kawannya; ~ air, ~ (adalah) ikan = ~ padang, ~ belalang = ~ batang, ~ cendawan tumbuh prb di mana pun kita duduk, ada rezeki; Penggunaan perkataan ada dalam ayat yang dinyatakan boleh digunakan. | Tatabahasa | 16.08.2013 |
betulkah penggunaan kata hingga dan ke serentak satu kelewahan? Ayat contoh: 1 Ayah membanting tulang dari pagi hingga ke petang. ATAU Ayah membanting tulang dari pagi hingga petang. Begitu juga dengan sejak dan dari. Contoh: Ibu menunggu ayah sejak tadi ATAU Ibu mengunggu ayah sejak tadi / dari tadi. | 1. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa. Contoh: Ayah membanting tulang dari pagi hingga petang. Berdasarkan contoh tersebut, kata sendi nama "hingga" tidak boleh berdampingan dengan kata sendi nama "ke". Oleh itu, penggunaan hingga ke secara berturutan dalam satu ayat dianggap tidak gramatis atau berbentuk lewah. 2. Sejak bermaksud mulai atau dari. Penggunaan kedua-dua perkataan tersebut secara berurutan mengandungi unsur lewah dan penggunaan salah satu daripada perkataan tersebut adalah yang gramatis. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
Assalamu'alaikum. Adakah ayat-ayat berikut gramatis? 1) Dia tidak di situ. 2) Perempuan itu adalah cantik. 3) Pelajar sekolah rendah dengan siapa saya berbicara tadi adalah sangat cerdas. 4) Orang yang memukul Ali pagi tadi adalah bukan lagi di kawasan ini. 5) penjenayah bersiri golongan Rohingya itu ialah bukan seorang pendeta. 6) Buku yang dibeli oleh ayah itu tidak untuk kamu. Terima kasih | Ayat yang gramatis ialah: 1) Dia tidak berada di situ. 2) Perempuan itu cantik. 3) Pelajar sekolah rendah yang saya berbicara dengannya tadi sangat cerdas. 4) Orang yang memukul Ali pagi tadi, tidak lagi tinggal di kawasan ini. 5) Penjenayah bersiri golongan Rohingya itu bukan seorang pendeta. 6) Buku yang dibeli oleh ayah itu bukan untuk kamu. | Tatabahasa | 10.06.2015 |
Salam sejahtera! Tajuk:Menukarkan Ayat Aktif kepada Ayat Pasif Soalan: Berikut manakah jawapan ayat pasif yang betu bagi ayat aktif yang diberikan? Ayat aktif: Angin ribut telah menerbangkan bumbung zink rumah-rumah di kampung itu malam tadi. Ayat Pasif 1: Bumbung zink rumah-rumah telah diterbangkan oleh angin ribut di kampung itu malam tadi. Ayat Pasif 2: Bumbung zink rumah-rumah di kampung itu telah diterbangkan oleh angin malam tadi. Terima kasih. | Ayat Pasif 2: Bumbung zink rumah-rumah di kampung itu telah diterbangkan oleh angin ribut malam tadi. | Tatabahasa | 17.07.2011 |
Salam 1 Malaysia 1. Perkara itu berlaku adalah disebabkan oleh salah faham antara mereka. 2. Berbagai-bagai spesies rama-rama dapat dilihat di taman itu. 3. Saya memerhatikan tingkah lakunya daripada tadi. Betulkah ketiga-tiga ayat di atas tuan. Terima kasih banyak-banyak... | Ayat pertama tidak perlu perkataan "adalah" sebelum perkataan "disebabkan". Perkara itu berlaku disebabkan oleh.... sudah mencukupi. Ayat 2 dan ayat 3 adalah betul. | Lain-lain | 21.08.2014 |
Saudara, bolehkah saudara menjelaskan kemusykilan saya tentang perkara-perkara berikut ? 1. a) Barang-barangnya kecurian malam tadi. b) Barang-barangnya dicuri malam tadi. Mana satukah yang tepat dari segi penggunaan imbuhannya ? 2. a) Hadiah itu dimenangi oleh Wei Lun. b) Hadiah itu dimenangi Wei Lun. c) Rumput-rumput itu dibasahi hujan. Saya inginkan penjelasan tentang penggunaan imbuhan 'di-....i' dan kata sendi nama 'oleh' bagi contoh ayat-ayat tersebut. 3. Antara 'berlepas ke' dan ' berlepas dari', adakah kedua-duanya tepat ? Keprihatinan daripada pihak saudara untuk menghuraikan permasalahan tersebut saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih ! | 1. Barang-barangnya dicuri malam tadi - ayat (imbuhan) yang betul 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Apitan di-...-i diterangkan bahawa apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya mempelopori - dipelopori; Gerakan menuntut kemerdakaan negara itu dipelopori oleh kaum bangsawan, mengotori - dikotori; Selepas hujan bilik darjah dikotori oleh tanah lumpur. Kata sendi nama oleh yang kedudukannya selepas kata kerja boleh digugurkan secara pilihan. Ketiga tiga ayat contoh yang diberi adalah betul. 3. Berlepas ke dengan berlepas dari, kedu-duanya adalah betul. Yang pertama menunjukkan tempat yang dituju (berlepas ke angkasa lepas) dan kedua menunjukkan tempat asalnya/punca (berlepas dari Terminal ...) | Tatabahasa | 25.05.2008 |
Selamat pagi. 1. Terima kasih diatas ucapan yang disampaikan sebentar tadi. Betulkah ayat di atas. Jika tidak, apakah kesalahannya. | Ayat yang betul ialah "Terima kasih atas ucapan yang disampaikan sebentar tadi." Atas ialah kata arah dan kata arah lazimnya hadir sebelum frasa nama atau sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Kata sendi nama 'di' hanya digunakan di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat/ lokasi contohnya '...di atas meja' dan '...di kampung'. | Tatabahasa | 03.09.2013 |
1) Guru Besar menyampaikan ucapan pada perhimpunan pagi tadi. 2) Berikut disenaraikan barang yang diperlukan semasa aktiviti perkhemahan itu nanti. bolehkah tuan jelaskan kesalahan ayat-ayat di atas can pembetulan kepadanya? | 1) Guru besar menyampaikan ucapan dalam perhimpunan pagi tadi. 2) Berikut disenaraikan barang-barang yang diperlukan semasa aktiviti perkemahan itu nanti. | Tatabahasa | 12.07.2010 |
Apakah kesalahan dalam ayat di bawah? 1) Laporan kelab itu disediakan oleh saya pagi tadi. 2) Himpunan buku-buku luar negara itu telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. | Ayat pasif diri pertama yang betul ialah "laporan kelab itu saya sediakan pagi tadi", ayat pasif dengan kata "oleh" ialah ayat pasif diri ketiga. | Tatabahasa | 09.04.2013 |