Salam sejahtera, 1.Ayat aktif: Cikgu Tan menyemak buku latihan murid-muridnya. Ayat pasif: Buku latihan murid-muridnya disemak oleh Cikgu Tan. /Buku latihan murid-murid Cikgu Tan disemak olehnya. (Ganti Ganti Nama Diri Ketiga -nya perlu ditukar kepada Cikgu Tan?) 2. i)Kami dengan nenek selalu saling membantu. ii) Kami selalu saling membantu dengan jiran. (ayat i dan ii merupakan susunan perkataan untuk membetuk ayat yang betul yang dibuat oleh seorang guru. Beliau menyatakan ayat ii betul tetapi saya berpendapat ayat i betul.Sebenarnya yang mana satu betul) Sekian, terima kasih. | 1. Ayat pasif yang betul ialah "Buku latihan murid-muridnya disemak oleh Cikgu Tan." 2. Ayat yang betul ialah "Kami dengan nenek saling membantu." dan "Kami selalu membantu jiran." | Tatabahasa | 02.03.2020 |
Adakan pemenggalan perkataan-perkataan di bawah betul? air a-ir buah bu-ah daun da-un luar lu-ar biola bi-o-la beruang be-ru-ang makanan ma-kan-an (sebutan sebagai ma ka nan?) rambutan ram-bu-tan sayuran sa-yur-an (subutan sebagai sa-yu-ran?) Sekian terima kasih. Tracy Chan | Saudara Tracy, Yang betul adalah seperti yang berikut: i. air ii. buah iii. daun iv. luar v. bio.la vi. be.ruang vii. ma.ka.nan viii. ram.bu.tan ix. sa.yu.ran Sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu, Rumi-Sebutan-Jawi | Tatabahasa | 28.06.2010 |
Tuan/ Puan Apakah bezanya antara Cabaran, halangan dan masalah? Contoh soalan Apakah cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam mengatasi kebanjiran pekerja asing di negara ini? (Yang manakah berikut merupakan cabaran dan bukan masalah atau halangan?) i. Kekurangan kewangan ii. Rakyat negara yang terlalu memilih pekerjaan iii. Gaji rakyat tempatan yang tinggi iv. Kekurangan pegawai penguatkuasaan v. Kes Jenayah yang meningkat vi. Peningkatan pengangguran rakyat tempatan vii. aliran keluar wang negara terima kasih cikgu tan | Cabaran bermaksud sesuatu unsur/faktor yang menguji kemampuan seseorang atau sesuatu organisasi, halangan bermaksud gangguan atau rintangan dan masalah bermaksud perkara atau keadaan yang menimbulkan kesukaran. Oleh itu, penggunaan perkataan tersebut mesti disesuaikan dengan konteks ayat tersebut. Contohnya ayat Apakah cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam mengatasi kebanjiran pekerja asing di negara ini? Penggunaan perkataan cabaran dalam ayat ini betul kerana kebanjiran pekerja asing merupakan faktor yang menguji kemampuan Malaysia menanganinya. | Tatabahasa | 04.06.2012 |
Soalan: Assalamualaikum. Tuan DBP. Saya Encik Hisham Bin Othman @ Mohd bertugas di Unit Keselamatan, Bahagian Keselamatan Dan Pasport, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor. Saya ingin bertanya berhubung penggunaan kata nama am dan kata nama khas serta penggunaan symbol / dan & di dalam tulisan. 1. Ejaan yang betul bagi pegawai imigresen adakah ditulis dengan Pegawai Imigresen? 2. Ejaan yang betul bagi pegawai imigresen kanan adakah ditulis dengan Pegawai Imigresen Kanan? 3. Ejaan yang betul bagi pegawai imigresen tinggi adakah ditulis dengan Pegawai Imigresen Tinggi? 4. Ejaan yang betul bagi pegawai kanan imigresen adakah ditulis dengan Pegawai Kanan Imigresen? Terima kasih di atas respons dan maklumbala dari pihak Tuan DBP. Hisham Bin Othman @ Mohd. 08.04.2019 | 1. Nama khas, contohnya nama jawatan ditulis dengan huruf besar untuk huruf permulaan setiap perkataan seperti yang berikut: - Pegawai Imigresen
- Pegawai Imigresen Kanan
- Pegawai Imigresen Tinggi
2. Nama am pula ditulis dengan semua huruf kecil seperti contoh ayat di bawah: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu termasuk seorang pegawai kanan imigresen. 3. Penulisan dalam bahasa Melayu tidak menggunakan simbol & untuk menggantikan perkataan “dan” seperti yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh dalam frasa: ikan, sayur dan minyak masak tidak dibenarkan ditulis “ikan, sayur & minyak masak”. 4. Tanda garis miring(/) digunakan untuk rujukan surat rasmi dan sebagai pengganti kata “atau” dan “per” atau dipakai semasa menulis nombor alamat seperti contoh di bawah: i. rujukan surat: DBP/173/14/4/K.3 (68) ii. pengganti “atau”, “per” dan “nombor alamat” a) Tun/Tan Sri/Datuk/Tuan/Puan b) Kos cetak RM3.00/naskhah c) 22, Jalan AU 1A/3H, Taman Keramat Permai | Tatabahasa | 08.04.2019 |