ingin saya tanyakan sama ada di kalang pelajar tahun satu atau dalam kalangan pelajar tahun satu? mana satu adalah betul. terima kasih | Yang betul ialah dalam kalangan pelajar tahun satu. | Tatabahasa | 19.04.2010 |
saya nak tanyakan tentang penggunaan perkataan berulang yang sama.cntoh " dari semasa ke masa". istilah ini adalah salah dan yang betulnya "dari semasa ke semasa". jadi saya ingain bertanyakan apakah contoh2 lain seperti yg saya berikan diatas yang seumpamanya. diharapkan pihak tuan dapat membantu. | Ungkapan yang betul ialah dari semasa ke semasa. Contoh yang lain ialah dari masa ke masa. | Tatabahasa | 19.03.2009 |
Selamat petang tuan. Ingin saya tanyakan bahawa mengapakah binaan frasa seperti "memasak banyak makanan" tidak betul? Dr. Awang Sariyan menyalahkan binaan frasa perbuatan melampau (perbuatan melampau = kata kerja transitif) demikian kerana berpendirian bahawa kata "banyak" bukan kata bilangan, tetapi kata sifat, dan kata sifat tidak boleh diletakkan di antara perbuatan melampau dengan penyambut (objek) kerana menjadi sisipan yang menghalang kelangsungan hubungan perbuatan melampau dengan penyambut. Perbuatan melampau mesti dikenakan langsung terhadap penyambut. Saya pula tidak berijtihad atau berpendapat sedemikian. Saya merasakan bahawa "banyak" kata bilangan tak tentu seperti yang tercatat dalam Tatabahasa Dewan (keterangan ini ada dalam lampiran WordPad). Frasa perbuatan melampau seperti "memasak banyak makanan" terdiri daripada perbuatan melampau "memasak" yang disambut oleh penyambut frasa nama "banyak makanan", dan frasa nama itu terbahagi kepada kata bilangan tak tentu "banyak" sebagai penentu hadapan yang diikut kata nama inti "makanan". Diperhatikan bahawa "banyak" bukan sisipan, tetapi termasuk dalam frasa nama penyambut sebagai salah satu bahagian. Untuk pemahaman lanjut, sila tuan rujuk WordPad yang telah saya lampirkan. WordPad ini berisi soal saya tentang hal ini yang saya kirim kepada Dr. Awang Sariyan melalui e-mel beliau. Pinta tuan menolong saya menyelesaikan soal ini juga. Terima kasih atas iltizam dan kesudian tuan! | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu a) kata bilangan menunujukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Pihak kami menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama.
| Lain-lain | 07.11.2016 |
Tuan, hari itu yang saya tanyakan adakah 'sebab' boleh digunakan sebagai fungsi kata hubung.Tuan telah menjawab soalan saya, tetapi yang mengelirukan ialah jawaban tuan berbeza dengan. Tatabahasa Dewan. Tuan sila merujuk ke Tatabahasa Dewan 18.3.3.1 (I)keterangan musabab. pg.515.. Harapkan tuan dapat memberikan penjelasan yang tepat dan benar kepada saya untuk menyelesaikan komplikasi tersebut.Sekian. | Jawapan yang diberikan adalah tepat dan benar serta merujuk pada Tatabahasa Dewan halaman 515, iaitu berkaitan keterangan musabab. Sangat jelas dinyatakan kata hubung keterangan musabab adalah oleh sebab bukannya sebab. Perkataan sebab ialah kata nama. Kata sebab perlu ditambah dengan oleh menjadi oleh sebab untuk digunakan sebagai kata hubung. Sila baca berulang kali untuk mendapatkan kefahaman dalam perkara ini. | Tatabahasa | 20.08.2014 |
Ada tiga soalan yang saya mahu tanyakan. a) Yang mana satukah ayat berikut yang betul? "Insiden rusuhan itu berlaku di tapak kedai dan juga kawasan sekitarnya." atau "Insiden rusuhan itu berlaku di tapak kedai dan juga di kawasan sekitarnya". Perlukah wujudkan perkataan "di" lagi untuk ayat tunggal kedua? b) Apakah terjemahan sesuai untuk istilah berikut "underlying disease/medical condition" dan "population centre"? c) Adakah 'anggota' sahaja sudah merupakan penjodoh bilangan? Cthnya, "Dua anggota polis terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di kawasan itu." atau mesti menulis penjodoh bilangan orang di hadapan anggota seperti "Dua orang anggota polis..." Saya masih tidak jelas mengenai situasi ayat berkenaan. | 1. Ayat yang betul: Insiden rusuhan itu berlaku di tapak kedai dan juga kawasan sekitarnya. 2. Padanan yang betul ialah: underlying disease - penyakit tersirat, medical condition – keadaan perubatan dan population centre – Pusat penduduk. 3. Anggota bukan penjodoh bilangan, ayat yang betul ialah: Dua orang anggota polis terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di kawasan itu. | Tatabahasa | 22.09.2020 |
Assalamualaikum. Di sini ada soalan yang ingin saya tanyakan mengenai salah atau betul penggunaannya. Diharap pihak DBP dapat membantu. Dia baru sedar '"dari" lena. ATAU Dia baru sedar "daripada" lena. Terima kasih atas perhatian dan bantuan pihak DBP. | Ayat yang betul ialah 'Dia baru sedar daripada lena' - kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama yang menunjukkan arah, tempat dan masa. | Tatabahasa | 11.04.2011 |
Assalamualaikum. Di sini terdapat beberapa soalan yang ingin saya tanyakan mengenai salah atau betul penggunaannya. Diharap pihak DBP dapat membantu. 1. hari ini hari (ke-40) ... @ keempat puluh... 2. pada usia (sepuluh) tahun... @ 10 tahun... 3. setiap (10, 15) hari... @ sepuluh, lima belas hari... 4. dia beri Amir (RM 20)... @ dua puluh ringgit... 5. harga sekeping kuih, (40 sen)... @ empat puluh sen... 6. hari (ke-29 April)... @ hari kedua puluh sembilan April.. 7. umurnya (1200) tahun @... seribu dua ratus.. 8. 20 sungai... @ dua puluh 9. siang kelabu dalam gerimis (Enam Mei)..@ 6 Mei... 10. hari ini hari ke dua puluh tiga Jun, musim 1895 @ hari ini 23 Jun, musim 1895. Terima kasih atas perhatian dan bantuan pihak DBP. | Nombor yang kurang daripada sepuluh hendaklah dieja sepenuhnya (kecuali dalam ayat matematik atau teknik), manakala nombor 10 ke atas boleh dicetak dengan angka. Cara penulisan yang betul ialah: 1. hari ini hari ke-40; 2. pada usia 10 tahun; 3. setiap 10, 15 hari; 4. dia beri Amir RM20; 5. harga sekeping kuih, 40 sen; 6. hari ke-29 dalam bulan April/29 April; 7. umurnya 1200 tahun; 9. siang kelabu dalam gerimis 6 Mei (tarikh); 10. hari ini hari ke-23 dalam bulan Jun, tahun 1895/hari ini 23 Jun, tahun 1895. | Tatabahasa | 07.04.2011 |
Salam DBP, Saya ada beberapa kekeliruan yang ingin saya tanyakan pada pihak DBP. 1. Sekiranya dua, tua dan yang berkenaan adalah satu suku kata, bagaimana pula dengan perkataan buah, riak, kuang, riang dan juga semua perkataan yang berkaitan? 2. Penjelasan yang bagaimana yang dapat menjelaskan perkara ini kepada orang yang bertanya kepada saya (contohnya suami dan anak saya sendiri?) Harapnya pihak DBP dapat membantu saya dalam hal ini. Terima kasih. | Sebutan buah ialah -buah-, -dua-, -riang-, -riak-. Untuk menyemak sebutan dan suku kata, sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi kedua. | Tatabahasa | 29.07.2010 |
Tajuk: "Dari segi" atau "daripada segi"? Tuan DBP, izinkan saya tanyakan bahawa "dari segi" atau "daripada segi" bentuk frasa yang betul menurut logika bahasa? Kemusykilan saya tentang hal ini timbul kerana dalam buku Tertib Mengarang, pejuang bahasa yang ulung yang juga mantan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Awang Sariyan menggunakan bentuk "daripada segi", "daripada sudut". Saya menerima frasa ini kerana saya menganalisis bahawa "daripada segi" bermaksud meninjau satu punca. Sendi "daripada" membawa maksud sumber, melainkan kekeliruan saya bangkit sekali lagi kerana bentuk "dari segi" atau "dari sudut" juga tepat kerana "segi" dan "sudut" arah. Sendi "dari" memang digunakan untuk tempat dan arah, tetapi saya lebih merasakan bahawa "dari segi" betul kerana menunjukkan arah. Apakah ulasan tuan? | Untuk makluman tuan, kami menyedari adanya pandangan lain yang menerima "daripada sudut" sebagai bentuk yang gramatis. Walau bagaimanapun kami berpegang pada Tatabahasa Dewan, dan menerima frasa "dari sudut". | Tatabahasa | 05.08.2016 |
Salam DBP, Saya ingin mengemukakan beberapa kekeliruan yang ingin saya tanyakan pada pihak DBP. 1. Sekiranya dua, tua dan yang berkenaan adalah satu suku kata, bagaimana pula dengan perkataan buah, riak, kuang, riang dan juga semua perkataan yang berkaitan? 2. Penjelasan yang bagaimana yang dapat menjelaskan perkara ini kepada orang yang bertanya kepada saya (contohnya suami dan anak saya sendiri?) Harapnya pihak DBP dapat membantu saya dalam hal ini. Terima kasih. | Perkataan dua, tua, buah, riak, kuang, riang tergolong dalam satu suku kata. Semua perkataan tersebut dipenggal mengikut bunyi - dua (bukan du.a), tua (bukan tu.a), buah (bukan bu.ah), riak (bukan ri.ak), kuang (bukan ku.ang) dan riang (bukan ri.ang). | Tatabahasa | 29.07.2010 |