ibarat melukut di tepi gantang ialah peribahasa atau simile? peribahasa seperti aur dengan tebing hanya boleh digunakan utk hub kekeluargaan sahaja ke? cth :Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan dapat dikurangkan. betul ke? | Peribahasa seperti aur dengan tebing bukan sahaja untuk hubungan kekeluargaan tetapi boleh digunakan seperti contoh yang diberikan, iaitu yang membawa maksud sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Seperti melukut di tepi gantang ialah peribahasa dan yang lengkapnya "Seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi', bermaksud tidak berharga dalam masyarakat; tidak dapat menolong dan sebagainya. | Lain-lain | 25.03.2010 |
"bagai aur dengan tebing" bermaksud hubungan yang sangat erat. Apa cerita di belakang peribahasa ini kerana maksud harfiahnya sukar dikaitikan dengan maksud kiasannya. | Berdasarkan sumber rujukan kami peribahasa ini menakrifkan hubungan antara suami dan isteri atau antara sahabat sejati yang sangat rapat seperti bandingan aur yang bergantung pada tebing. | Tatabahasa | 28.01.2011 |
Salam 1 Malaysia, Saya ingin bertanya tentang pengiraan jumlah patah perkataan peribahasa dalam penulisan karangan. Contohnya ialah "Bagai aur dengan tebing". Adakah dikira satu patah perkataan atau empat patah perkataan? Sekian, terima kasih. | Bilangan perkataan dalam peribahasa "Bagai aur dengan tebing" dikira sebagai empat patah perkataan. | Istilah | 21.05.2010 |
apakah maksud bagai isi dengan kuku,bagai kacang lupakan kulit,bagai aur dengan tebing,bagai dakwat dengan kertas,seperti embun di hujung rumput, dan seperti lipas kudung? | Isi dengan kuku-persahabatan yang sangat karib; bagai kacang lupakan kulit- orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan; bagai aur dengan tebing- orang yang suka tolong-tolongan; bagai dakwat dengan kertas- tidak pernah bercerai; seperti embun di hujung rumput- tidak kekal dan segera hilang; lipas kudung- selalu bergerak dengan cepat. | Lain-lain | 29.03.2008 |
Adakah ayat di bawah betul? Semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan rakyat Malaysia hidup secara sihat. | Semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan rakyat Malaysia hidup secara sihat - ayat ini betul. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
Salam sejahtera tuan. Apakah perbezaan antara peribahasa yang berikut? Bolehkah tuan menjelaskan penggunaannya? -bagai lesung dengan antan -bagai aur dengan tebing -bagai kapur dengan kunyit -bagai cincin dengan permata Penjelasan dan maklum balas tuan amat dihargai dan didahulukan dengan ucapan terima kasih. | Bagai lesung dengan antan bermaksud sangat karib (tentang orang yang bersahabat atau orang yang berkasih-kasihan). Penggunaan peribahasa dalam ayat haruslah sesuai antara makn peribahasa dengan konteks ayat tersebut, contohnya "persahabatan antara Ahmad dan Ali boleh diumpamakan bagai lesung dengan antan". Untuk melihat makna peribahasa yang lain, sila rujuk laman web kami, contohnya tebing&d=11">http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=aur+dengan+tebing&d=11, saudara dapat melihat maksudnya dan contoh penggunaan peribahasa tersebut (jika ada). | Makna | 29.07.2013 |
Adaka peribahasa/slogan/kata-kata hikmat dll perlu ditulis dengan tanda baca pengikat atau petik. Contohnya "seperti aur dengan tebing" atau tidak semestinya begitu? Minta penjelasan. terima kasih | Contoh yang diberi ialah peribahasa dan tidak memerlukan tanda pengikat kata/petik melainkan jika mahu diserlahkan frasa tersebut. Bagi slogan seperti "Bahasa Jiwa Bangsa" dalam teks tidak perlu diletak tanda petik melainkan pada penutup surat dan setiap awalan hurufnya ditulis dengan huruf besar . | Tatabahasa | 24.04.2012 |
Perumpamaan | Perumpamaan ialah peribahasa yang berupa perbandingan dengan sesuatu yang lain (umumnya mengandungi ajaran). Contoh : Bagai aur dengan tebing. | Makna | 06.10.2008 |
Apakah makna Intifada? | Intifadah (perkataan Arab) bermaksud kebangkitan penduduk Palestin untuk menentang orang Israel yang menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, yang bermula pada tahun 1987. | Makna | 28.07.2006 |
1. Apakah penggunan yang betul untuk "sebagai contoh" atau "sebagai contohnya" di permulaan ayat? Sebagai contohnya, kawasan dalam jarak sepuluh meter dari tebing sungai dijadikan kawasan rizab. 2. Ayat yang sesuai untuk penggunaan "contoh" dan "contohnya". 3. Adakah senarai sesuatu perkara perlu dimulakan dengan huruf besar dan diakhiri dengan noktah. Contoh: Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Sekian. Terima kasih. | 1. Penggunaan frasa "sebagai contoh" lebih tepat kerana "nya" ialah kata ganti nama dan tidak perlu hadir dalam frasa tersebut. Dan begitu juga dalam perkataan contoh, tidak perlu contohnya. 3. Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Penggunaan tanda baca dalam ayat contoh yang diberikan, betul. | Tatabahasa | 19.11.2012 |