| Contohnya, tegasnya, kesimpulannya berfungsi sebagai penanda wacana. Contoh: Kesimpulannya, gagasan Satu Malaysia memberikan sumbangan besar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional. Perkataan “kesimpulannya” dalam ayat ini dapat digantikan dengan “sebagai kesimpulannya” tetapi kurang tepat. Mohon penjelasan. | Sebagai bermaksud untuk, bagi, bertindak, seperti atau selaku. Oleh itu, ungkapan sebagai kesimpulannya kurang tepat untuk digunakan sebagai penutup wacana tersebut, dan kata kesimpulannya lebih tepat digunakan untuk mengakhiri wacana tersebut. | Tatabahasa | 29.12.2009 |
| Kekeliruante tentang penggunaan Penanda Wacana yang kerap digabungkan dengan kata ganti nama 'nya', sedangkan 'nya' membawa maksud dia iaitu ganti nama diri ketiga. Contoh-contoh yang saya dapat melalui bahan taklimat pihak Kementerian Pelajaran iaitu, Seterusnya, Tamsilnya, Misalnya, Contohnya, Kesannya, Akhirnya, Natijahnya, Tegasnya, Sesungguhnya, Akibatnya dan Secara keseluruhannya. Bukankah penggunaan ini merupakan satu bentuk kesalahan umum dalam tatabahasa ? Sekian, terima kasih. | Puan Allison, Fungsi 'nya' dalam perkataan tersebut adalah sebagai kata pembenda. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
| Selamat sejahtera, Soalan: 1. Apakah maksud/perbezaan bagi sebelum and sebelumnya? 2. Jika saya ingin menterjemah perkataan bahasa Inggeris "Previous" dan "Next" dalam bahasa Malaysia. Apakah perkataan yang sesuai bagi kedua-dua perkataan ini? Sekain terima kasih. | 1. Penggunaan "-nya" pada perkataan "sebelumnya" membawa fungsi sebgai "kata pembenda" iaitu perkataan yang menjadikan sesuatu perkataan yang asalnya bukan kata nama sebagai nama kata nama, contohnya; Kesannya, Akhirnya, Natijahnya, Tegasnya, Sesungguhnya, Akibatnya dan Secara keseluruhannya termasuk juga Sebelumnya. 2. "Next" boleh diberikan pelbagai padanan contohnya sebelah;sesudah; selepas; berikutnya; manakala "previous" boleh diberikan padanan sebelumnya; terdahulu. Kedua-dua padanan ini boleh diberikan padanan tepat dengan mengambil kira konteks penggunaan dalam ayat. | Makna | 02.02.2014 |
| Apakah perbezaan perkataan 'dan' dan 'serta' dan bilakah waktu yang sesuai untuk digunakan.. | Kata `dan’ ialah kata hubung gabungan. Dari segi fungsi, kata ini menghubungkan dua perkataan, frasa atau ayat. Contoh: a. Ibu dan ayah akan ke Mekah pada tahun ini. b. Saya akan mencipta lagu sekolah kita dan menulis liriknya. c. Dalam majlis itu, ada orang yang menyanyi dan ada orang yang menari. Kata `serta’ ialah kata hubung gabungan juga. Walaupun berfungsi sebagai kata yang menghubungkan kata atau frasa, namun makna yang didukungnya lebih luas daripada kata `dan’. Iaitu ia juga membawa maksud: (i) dan juga atau dan (ii) bersama dengan atau dengan (iii) mengikut bersama sebagai teman atau sebagai pembantu; mengiringi; menemani (iv) ikut atau turut bersama Ayat contoh: a. Puan Salmah merupakan guru Bahasa Melayu yang baik serta rajin. b. Puan Nurlina serta 40 orang murid akan melawat ke Langkawi. c. Beberapa orang pegawai telah serta beliau ke persidangan itu. d. Pada hari tersebut, saya tidak serta kerana saya telah membuat janji temu dengan doktor. Kesimpulannya, kata `dan’ dan `serta’ berbeza dan segi fungsi dan makna. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh bertukar ganti dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kata `dan’ bermaksud serta, namun kebanyakan kata `dan’ tidak boleh digantikan dengan kata `serta’. Tegasnya, kata `serta’ bukan sahaja sebagai kata hubung gabungan, malah kata ini juga berfungsi sebagai kata lain, iaitu kata kerja dan juga kata sendi nama. | Tatabahasa | 03.08.2020 |