Salam sejahtera. Saya ada satu kemusykilan mengenai perkataan -nya. Kenapakah buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 3 muka surat 38 ada penggunaan nya yang merujuk kepada perkara? Ayat itu berbunyi begini, Hal ini bukanlah suasana yang baharu kerana beberapa buah sekolah di luar negara telah mengamalkannya. | Ada tiga fungsi "-nya", iaitu sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, penegas dan pembenda. Perkataan "-nya" dalam konteks ayat tersebut berfungsi sebagai penegas. | Tatabahasa | 06.05.2022 |
Buku teks BM Tahun 2 KSSR Semakan terbitan DBP, m/s 125. Hutan Lipur Ulu Bendul sangat indah. Air sungainya jernih dan sejuk. DBP sering menekankan bahawa penggunaannya merujuk kepada kata ganti nama diri ketiga, iaitu manusia. Akan tetapi, kebanyakan ayat yang digunakan oleh buku teks DBP ini menggunakan nya untuk merujuk benda bukan hidup. Harap ada penjelasan supaya tidak keliru. Terima kasih. | Salam sejahtera, MAKLUM BALAS ISU PERKATAAN –NYA DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU TAHUN 2 SK Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk. Dimaklumkan bahawa, selain berfungsi sebagai Kata Ganti Nama Diri Orang Ketiga, -nya juga tergolong dalam Kata Pascakata di bawah Kata Tugas. Bentuk –nya tersebut berfungsi sebagai penekan dan pembenda. (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga: 295) Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat; - Pokok durian itu nampaknya akan berbuah lebat.
- Sesungguhnya kenyataan yang diberikan oleh saksi kedua itu benar.
Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Contoh dalam ayat; - Lajunya ialah 100km sejam.
- Bukan kepalang sakitnya.
Sekian. | Lain-lain | 27.09.2021 |
bagaimana hendak mengenal pasti kata majmuk? kemudian, adakah perkataan "sebagai",dan "ialah" juga merupakan kata majmuk? soalan kedua, perkataan "bersamanya", apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "-nya"? adakah ianya adalah kletik? dan bagaimana hendak diterangkan dalam pembentukan kata bagi perkataan "bersamanya". | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar ; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan sebagainya. Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: 1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya. 2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks. 3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas. kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 133. "Sebagai" dan "ialah" bukan kata majmuk. "Sebagai" ialah kata sendi manakala "ialah" kata pemeri. "nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga yang juga boleh berfungsi sebagai kata pembenda/penekan. Keterangan lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga , halaman 295. | Istilah | 18.02.2009 |
Soalan Bahasa Melayu Tahun 6 (UPSR) Haikal berjaya menggondol pingat emas dalam pertandingan memanah kerana semua.............panahnya menepati sasaran. a. busar b. busur c. baur d. sulur pada pandangan saya soalan ini salah sepatutnya anak panah yang menepati sasaran bukan nya busur(tempat melepaskan anak panah) atau juga baur yang mempunyai makna yang sama. Apa komen tuan.. | Saya sependapat dengan saudara. Perkara ini akan dikemukakan kepada Bahagian Buku Teks untuk perhatian mereka. | Istilah | 18.05.2011 |
Assalamualaikum dan hi, saya ingin mengajukan soalan berkenaan tatabahasa: Boleh saya tahu, adakah perkataan "ianya" dan "memperbaharui" betul daripada segi tatabahasa (sumber: Kamus Dewan Perdana)? Jika ya, apakah kaedah penggunaan kedua-dua perkataan ini? Ini kerana jika mengikut tatabahasa, "ia" dan "nya" tidak digunakan sebagai satu perkataan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama ketiga. Manakala, untuk perkataan "memperbaharui" pula, jika tidak silap, penggunaan imbuhan "memper" yang dipadankan dengan kata adjektif tidak boleh diletakkan imbuhan di belakang seperti "i", "kan". Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan, fungsi kamus ialah merakamkan perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. Perkataan "ianya" banyak ditemukan penggunaannya dalam wacana/teks bahasa Melayu dan kamus menghuraikan maksudnya. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan yang standard khususnya dalam penulisan rasmi, perlulah merujuk rumus tatabahasa. Kata "memperbaharui" pula terhasil daripada apitan memper- -i dan apitan ini tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Kata "memperbaharui" sama maksud dengan "membaharui" dan kata ini wujud hasil daripada pengembangan bahasa. Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga menghuraikan apitan memper-...-kan dengan kata kerja dan kata nama, tiada rumus yang sedemikian untuk apitan memper-...-i. | Tatabahasa | 16.01.2024 |
Dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 796), kata 'ianya' dimasukkan/dirakamkan kerana kata ini hadir dalam penggunaan masyarakat penutur bahasa Melayu, khususnya dalam karya-karya klasik. Sila lihat contoh penggunaan kata 'ianya' yang diberikan dalam kamus ini. Bandingkan juga contoh penggunaan bagi kata 'ia'. Dalam kamus dewan perdana, contoh "ianya" juga merangkumi penggunaan ayat moden yang menyatakan itu ialah kata ganti diri bukan manusia walaupun sudah terang-terangan pakar bahasa menyatakan ianya ialah betuk bahasa yang salah, mohon pencerahan. Menteri itu mencadangkan ianya diseragamkan dengan kaedah penilaian barangan import. | 1. Pemasukan kata ianya berserta takrif dan contoh perkataan adalah bertujuan perakaman penggunaan kata tersebut. 2.Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 104) tidak menyenaraikan ianya sebagai kata ganti nama diri orang ketiga. Namun buku ini menyatakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. 3. Nahu Melayu Mutakhir (DBP, 2009:91) menyatakan bahawa ianya merupakan ganti nama diri bukan manusia (kata nama abstrak) yang digunakan dalam teks-teks lama. Menurut buku ini lagi, kata ianya muncul semula dalam tahun 1960-an. 4. Analisis korpus terkini mendapati bahawa penggunaan kata ianya terdapat dalam teks moden yang ilmiah walaupun pengajaran di sekolah telah menyatakan bentuk ini adalah salah. Hasil analisis mendapati bahawa makna bagi kata ianya adalah seperti yang terkandung dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:796). | Makna | 26.08.2022 |
Saya ingin menghasilkan buku teknikal berkenaan catur yang merangkumi Undang-undang Catur, Garispanduan Menjayakan Pertandingan Catur, Sistem Pertandingan dan Penggunaan Program Didalam Penganjuran Catur. Kebanyakkan buku-buku reference adalah didalam bahasa Inggeris jadi saya bertujuan untuk mengolahnya kedalam Bahasa Malaysia/Melayu. Undang-undang Catur adalah sesuatu yang umum jadi, perlukah saya mendapat kebenaran dari mana-mana pihak untuk menerbitkannya untuk mengelak plagiarism. Juga, saya didalam usaha menerbitkan buku Belajar Bermain Catur kerana saya rasa tidak ada lagi buku sebegini didalam bahasa Malaysia/Melayu dan kalau ada pun, mungkin ia nya telah dicetak disekitar pertengahan 60an. Adakah DBP menyokong penerbitan buku-buku seperti ini dan apakah garis panduan yang perlu saya ikuti i.e. tebal buku (perlu kah ada minima/maksima muka surat), dan juga penggunaan bahasa kerana beberapa terma dan terjemahan perkataan tidak mungkin terdapat didalam Bahasa Malaysia/Melayu. Harap dapat penjelasan | Pihak kami mengalu-alukan hasrat Saudara untuk menulis buku tersebut. Pihak kami bersedia untuk mempertimbangkan penerbitan buku tersebut sekiranya Saudara menyerahkan manuskripnya nanti kepada DBP. Manuskrip sebaik-baiknya dihantar dalam bentuk bercetak, dan juga dalam bentuk digital. Manuskrip mesti lengkap dengan bahan awalan, bahan teks dan bahan akhiran. Bahan awalan termasuklah halaman judul manuskrip, senarai kandungan, senarai ilustrasi dan senarai jadual, jika berkenaan. Bahan akhiran termasuklah senarai rujukan dan lampiran jika ada. Ilustrasi atau contoh ilustrasi perlu disertakan jika berkenaan. Penulis juga perlu menyertakan surat penyerahan manuskrip yang rasmi dengan keterangan lengkap berkenaan penulis dan sipnosis buku. Tebal manuskrip bergantung kepada kandungan manuskrip yang Saudara tulis dan kepada siapa manuskrip tersebut ditujukan, dan tidak ada syarat khusus mengenainya. | Lain-lain | 09.07.2012 |