Cikgu, tolong tentukan ejaan kata yang betul untuk saya. (1) Acheh / Aceh, (2) Srivijaya / Sriwijaya, (3) Teluk Chempedak / Teluk Cempedak. | Mengikut data DBP, ejaan yang diguna pakai ialah Aceh dan Sriwijaya, manakala bagi ejaan nama Teluk Chempedak atau Teluk Cempedak sila rujuk pihak berkuasa tempatan di tempat yang berkenaan. | Ejaan | 09.01.2015 |
Bagaimana menulis Perang Teluk? Perlukah ditulis dengan huruf besar? (Yang mana paling tepat?): 1. Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 2. Ketika perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 3. Ketika perang teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. | Salam sejahtera, Perang Teluk merupakan kata nama khas dan perlu ditulis dengan huruf besar pada permulaan perkataan. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Contoh kata nama khas ialah seperti Amelia, Raja Zakuan, Jibrail, Kancil, Melayu, Singapura, Piala Thomas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Honda, dan lain-lain. Jadi ayat 'Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku' merupakan ayat penulisan yang tepat. | Tatabahasa | 19.11.2012 |
Tuan, ejaan manakah yang betul? 1. Teluk Chempedak; 2. Teluk Cempedak; 3. Telok Chempedak; 4. Telok Cempedak. | Penamaan tempat adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di tempat berkenaan. Dalam konteks ini sila rujuk Majlis Perbandaran Kuantan untuk mendapatkan ejaan yang telah diwartakan. Dalam data kami ejaan yang digunakan ialah Teluk Cempedak. | Lain-lain | 09.06.2015 |
Adakah ayat-ayat ini betul ? 1. Kita mesti bersikap kasih sayang dengan seperti menziarahi nenek di kampung. 2. Kami sekeluarga berkelah di pantai Teluk Cempedak. 3. Saya dan keluarga berkelah di Pantai Teluk Cempedak. | 1. Ayat pertama dibetulkan menjadi "Kita mesti menyayangi dan sering menziarahi nenek di kampong". 2. Kami sekeluarga berkelah di pantai Teluk Cempedak. 3. Saya dan keluarga berkelah di Pantai Teluk Cempedak. | Tatabahasa | 03.02.2015 |
Harap jelaskan penggunaan "di" dan "ke" dengan betul. Yang manakah yang lebih tepat penggunaannya: Kami sekeluarga telah pergi berkelah "di" sebuah teluk yang terletak di Lumut. atau Kami sekeluarga telah pergi berkelah "ke" sebuah teluk yang terletak di Lumut. Terima kasih | Ayat yang lebih tepat ialah 'Kami sekeluarga telah pergi berkelah ke sebuah teluk yang terletak di Lumut.' Kata sendi nama 'ke' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, arah atau masa. Dalam konteks ini, 'ke' menunjukkan tempat atau arah. | Tatabahasa | 16.01.2012 |
Assalamualaikum...tuan, saya ingin bertanya tentang tatabahasa. Apa yang menjadi kekeliruan adalah pada kata nama khas. "pantai Teluk Kemang" huruf "p" perlu ditulis dengan huruf besar atau kecil? atau kedua-dua boleh diterima.sekian soalan saya | Ejaan yang betul ialah pantai Teluk Kemang. | Tatabahasa | 09.05.2013 |
1.Di pantai Teluk Cempedak,angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. 11.Kanako berminat untuk mempelajari bahasa di Jabatan Bahasa dan Linguistik. 111.Sahadah dikenali sebagai seorang gadis mempunyai budi bahasa. 1v.Bahasa melambangkan budaya sesuatu kaum. jawapan:1 & 11 mengapa 111 & iv salah? | Untuk makluman ayat i, ii dan iv. adalah betul. Ayat iii. adalah salah. Ayat yang betul ialah: Sahadah dikenali sebagai seorang gadis yang mempunyai budi bahasa. | Tatabahasa | 23.11.2012 |
Tuan, saya ingin mendapat kepastian tentang sesuatu kesalahan bahasa. Semasa saya berkereta ke Teluk Cempedak, saya ternampak ayat "Kurangkan laju". Ayat ini ayat perintah, dan kata ganti nama orang kedua dalam ayat ini telah digugurkan untuk membentuk ayat yang lebih bersifat memberikan perintah. Tetapi, ayat ini salah tuan. Teliti bahawa 'laju' ialah kata adverba, bukan kata nama, jadi tidak dapat berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif ayat perintah "kurangkan". Hanya frasa nama sahaja yang dapat berperanan sebagai objek, golongan perkataan yang lain tidak boleh. Oleh itu, pada saya, saya berpendapat bahawa dengan penambahan apitan ke-...-an pada kata dasar 'laju' ini, terhasillah kata nama 'kelajuan' yang dapat berperanan sebagai penyambut kata kerja. Jadi, ayat yang betul sepatutnya "Kurangkan kelajuan". Kata nama 'kelajuan' berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif 'kurangkan'. Betulkah pembetulan saya ini? Saya hendak mendapat kepastian. Minta tuan jelaskan pandangan saya ini. | Frasa yang gramatis ialah "kurangkan kelajuan", kurangkan laju ialah terjemahan reduced speed dan penggunaannya khusus dalam konteks tertentu. Dalam penggunaan umum frasa "kurangkan kelajuan" yang digunakan. | Tatabahasa | 21.11.2014 |
Salam...terima kasih atas jawapan yang diberikan.mohon tuan berikan pencerahan tentang huruf "p" pada kata nama khas yang ditulis dengan huruf kecil untuk perkataan "pantai Teluk Kemang" bagaimana dengan Pantai Cahaya Bulan, Pantai Chenang?harap tuan dapat membantu. | Kedua-dua perkataan pantai dieja dengan huruf kecil, pantai Cahaya Bulan dan pantai Chenang. Perkataan pantai merupakan kata nama am. | Tatabahasa | 13.05.2013 |
Apakah perbezaan antara perkataan 'berpengkalan' dan 'berpangkalan'? | Dalam bahasa Melayu hanya terdapat perkataan berpangkalan sahaja yang bermaksud mempunyai pangkalan (di): penempatan tentera Amerika Syarikat yang ~ di Teluk Subic telah pun berakhir pada 24 November 1992. | Makna | 16.02.2017 |