apa maksud suruhanjaya secara tepatnya? | Suruhanjaya ialah badan yg terdiri drpd beberapa orang (yg dilantik oleh kerajaan dll) utk melakukan tugas tertentu. | Makna | 22.12.2009 |
Mohon semakan; Buakan atau Buakkan? yang mana tepatnya | Ejaan yang betul ialah buakan. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 326. | Tatabahasa | 02.12.2024 |
Salam Khidmat Nasihat DBP, Saya ingin mengetahui maksud yang setepat-tepatnya peribahasa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' dan saya juga ingin mengetahui kegunaan 'maksud' dan 'makna' Adakah betul 'maksud' untuk frasa/ayat 'makna' untuk kata/perkataan? Terima kasih | Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan bermaksud seseorang itu mesti berusaha dengan gigih semasa melakukan sesuatu dan segala kesukaran yang dihadapi perlu ditempuhi agar segala keinginan dapat diperoleh. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna didefinisikan sebagai erti atau maksud (sesuatu perkataan dll). Maksud didefinisikan sebagai 1. tujuan, hajat, kehendak, niat 2. erti yang tersimpul dalam sesuatu ayat (perbuatan dll). | Lain-lain | 27.10.2011 |
Assalamualaikum Mohon perhatian dan DBP,penggunaan Norma Baharu atau Normal Baharu yang lebih tepatnya dalam situasi sekarang.Kerana kalau di dalam Bahasa Inggerisnya di sebut NEW NORMAL bukannya NEW NORM. Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi new normal ialah kebiasaan baharu manakala new norm pula ialah norma baharu. Kebiasaan baharu merupakan tindakan atau tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangki, dalam usaha mengadaptasi keadaan baharu. Norma baharu pula merupakan peraturan yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit. Puan boleh rujuk laman FB Dewan Bahasa dan Pustaka untuk istilah semasa. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.06.2020 |
Salam Sejahtera. 1. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. 2. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. 3. Melentur biarlah waktu rebung. No 1 banyak digunakan oleh masyarakat. Tapi kamus menyatakan yang tepatnya no 3. Mohon penjelasan. | Dalam buku Kamus Istimewa Peribahasa Bahasa Melayu tercatat peribahasa "Melentur biarlah waktu rebung". Jika peribahasa "Melentur buluh biarlah dari/daripada rebungnya" tercatat dalam mana-mana sumber yang sah seperti buku yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia juga boleh diterima pakai khususnya untuk tujuan peperiksaan. | Tatabahasa | 08.01.2017 |
Rujuk kepada tajuk berikut: "Program projek anak angkat dan kempen penanaman pokok". Untuk makluman, sebenarnya program ini berkaitan dengan hal landskap fizikal sahaja, maka apakah betul atau salah penggunaan istilah "projek anak angkat" itu atau istilah tepatnya sekadar "projek angkat" digunakan? Apakah ini pendekatan ini boleh diambil dalam semua hal yang tidak melibat anak (manusia)?. Sila nasihat dan terima kasih. Wassalam. | Nama yang sesuai ialah 'Projek Angkat dan Kempen Penanaman Pokok'. Dalam hal ini hanya konsep anak angkat digunakan dalam menamai projek tersebut dan tidak melibatkan pengambilan anak(manusia). | Tatabahasa | 22.04.2009 |
Maaf cuma ingin tahu. Sering saya dengar di corong-corong stesen radio berebahasa Melayu di Malaysia "mengimbau" (imbau) digunakan deejay untuk mengenang kembali sesuatu. Di saluran tv Indonesia pula pemimpinnya "mengimbau" segenap masyarakatnya untuk memajukan negara. Sebenarnya di mana tepatnya "imbau" ini duduknya? Lagi satu, "justeru". Di media Indonesia tak diertikan sebagai "oleh itu", malah lebih daripada tindakan positif untuk mengatasi hasil yang negatif. Akan tetapi di media Singapura dan Malaysia duduknya seakan-akan "oleh sebab itu". Harap pihak Tuan dapat memberi pandangan. Maaf sekali lagi kerana saya bertanya. Terima kasih, Tuan-Tuan. | Untuk makluman saudara, perkataan dalam bahasa Melayu mempunyai makna yang cukup luas sama ada di Malaysia atau Indonesia. Oleh itu, kedua-dua perkataan tersebut memang mempunyai makna yang berbeza seperti yang saudara nyatakan. | Makna | 14.08.2007 |
Adakah imbuhan mempeR- mempunyai objek tepat dan objek sipi seperti imbuhan apitan meN-..-kan seperti contoh dalam ayat "majikan itu memperalat pekerja syarikatnya". Adakah pekerja objek merupakan tepat dan syarikatnya merupakan objek sipi? | Awalan imbuhan memper-, apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nama, membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya: alat - memperalat daya - memperdaya kacang - memperkacang Objek tepat dan objek sipi pula merupakan dua objek yang terdapat dalam satu ayat . Binaan ayat ialah seperti yang berikut : subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2 Contoh ayat: Hasnah membelikan Asri sebuah buku (subjek) (kata kerja) (objek 1) (objek 2) Objek 1 ialah objek yang mengikuti secara langsung kata kerja dan disebut objek tepat, sementara objek 2 yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi. Dalam ayat contoh, Asri ialah objek tepat manakala sebuah buku ialah objek sipi. Satu ukuran untuk menentukan yang mana satukah antara kedua-dua objek itu objek tepat atau objek sipi ialah proses pasif. Dalam bahasa Melayu, hanya objek tepat yang boleh mengalami proses pasif, iaitu proses yang mengedepankan objek asal menjadi subjek terbitan ayat pasif, atau unsur yang diterangkan. Bentuk pasif bagi ayat contoh ialah: Asri dibelikan sebuah buku oleh Hasnah Untuk mengetahui sama ada ayat contoh yang mengandungi imbuhan memper- yang saudara berikan itu, mempunyai objek tepat dan objek sipi atau tidak, kita boleh cuba dengan mengubah ayat tersebut menjadi ayat pasif dengan menjadikan objek tepatnya sebagai subjek: Ayat contoh: Majikan itu memperalat pekerja syarikatnya. Apabila dipasifkan: Pekerja diperalatkan syarikatnya oleh majikan itu. Apabila dipasifkan, maksud ayat tidak sama dengan ayat asal dan susunan ayat juga tidak gramatis. Jadi, ini membawa maksud bahawa imbuhan memper_ tidak mengandungi objek tepat dan objek sipi.
| Tatabahasa | 19.02.2014 |