| kenapa frasa amat indah nian a dalah betul ? amat dan nian membawa maksud sangat. Bukankah kesalahan ini sama dengan paling indah sekali ? | Amat, sangat dan sungguh ialah kata penguat bebas yang boleh diikuti oleh “sekali”. “Paling”, “ter-“ dan “sekali” ialah penanda darjah tertinggi. Oleh itu, “amat indah nian” adalah betul kerana “amat” ialah kata penguat bebas dan “ nian” ialah kata penguat belakang. “Paling indah sekali” adalah bentuk lewah, kerana . kedua-dua “paling” dan “sekali” ialah penanda darjah tertinggi, maka bentuk ini salah. | Tatabahasa | 27.07.2007 |
| amat terindah, amat tercantik dan sebagainya. tatabahasa betul? | Penggunaan yang betul ialah teramat indah atau teramat cantik, ter + amat + kata adjektif. | Tatabahasa | 10.05.2011 |
| SAYA MENGHADAPI MASALAH BAGAIMANA HENDAK MENERANGKAN KEPADA PELAJAR SAYA TENTANG PENGGUNAAN AWALAN TER DIGABUNG DENGAN KATA PENGUAT AMAT DAN SANGAT. CONTOH TERAMAT SANGAT.HARAP DAPAT MEMBANTU. TERIMA KASIH | Lihat Buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 244: Ter + amat, sangat + kata adjektif seperti teramat cantik dan tersangat indah. Penggunaan yang tak dibenarkan ialah ter + amat, sangat + kata adjektif + sekali seperti teramat cantik sekali. Untuk maklumat lanjut, semak halaman berkenaan dalam buku Tatabahasa. | Tatabahasa | 12.02.2012 |
| Bagi pendapat pihak tuan adakah penggunaan kata penguat dalam ayat berikut adalah betul? Amat terindah pemandangan pulau peranginan itu. Sungguh amat indah pemandangan pulau peranginan itu. Amat sungguh terindah pemandangan pulau peranginan itu. Sungguh amat terindah pemandangan puau peranginan itu. | Ayat yang betul ialah Sungguh amat indah pemandangan pulau peranginan itu. Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut: i. se + kata adjektif + gandaan + kata nama : sepandai-pandai tupai, setinggi-tinggi gunung ii. ter + kata adjektif : terbaik, tercantik iii. paling + kata adjektif : paling lazat, paling pandai iv. kata adjektif + sekali : besar sekali, cantik sekali v. ter + amat/sungguh + kata adjektif : teramat baik, teramat cantik vi. amat/sungguh/sangat + kata adjektif + sekali : sungguh tinggi sekali, Untuk makluman saudara, dua unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif, contohnya: sungguh amat indah, sangat kurang sopan, terlalu amat pedih. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244 dan 410 . | Tatabahasa | 09.12.2010 |
| Meminta kepastian penggunaan frasa "teramat cantik sekali" betul atau salah kerana frasa ini terdapat dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5. | Dalam buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 244, penggunaan darjah penghabisan ter + amat, sangat + kata adjektif seperti teramat cantik dan tersangat indah adalah betul. Penanda darjah penghabiasan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan. Mohon pihak puan, nyatakan tajuk buku teks dan tahun terbitan serta muka surat buku tersebut untuk penyemakan kami.
| Tatabahasa | 04.12.2014 |
| Salam sejahtera, saya ingin bertanya tentang jawapan yang diberi untuk pertanyaan yang ditanya dalam Khidmat Nasihat baru-baru ini: Sila pilih frasa yang betul dari aspek tatabahasa. Terima kasih. 1. sangat amat tinggi 2. sangat tinggi amat 3. sangat sungguh tinggi 4. sangat tinggi sungguh 5. sungguh tinggi sangat 6. terkenal sekali 7. paling popular sekali 8. amat indah nian 9. sungguh indah sekali Jawapan yang diberikan ialah: Frasa yang betul ialah "Terkenal sekali". Bukankah Kata Penguat "ter" dan "paling" tidak boleh digunakan secara serentak dengan "sekali"? Jawapan yang diberikan agak mengelirukan... | Pola darjah penghabisan yang betul ialah: (i) se- + kata adjektif + gadaan + kata nama (sepandai-pandai tupai) (ii) ter- + kata adjektif (terpandai) (iii) paling + kata adjektif (paling pandai) (iv) kata adjektif + sekali (pandai sekali) (v) ter- amat/sangat + kata adjektif (teramat pandai) (vi) amat/sangat/sungguh + kata adjektif + sekali (amat pandai sekali) Tiada contoh frasa yang diberikan menepati cara-cara di atas. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 08.03.2022 |
| Salam sejahtera, saya menghadapi beberapa kekeliruan; 1. Berkenaan ucapan salam terutamanya pada waktu tengah hari, petang dan malam. Sila rujuk keterangan di bawah. a) 12.00- 12.59 minit tengah hari - "selamat tengah hari" b) 1.00- 6.59 petang - "selamat petang" c) 7.00 - 12.00 - "selamat malam"(Bahasa Inggeris disebut Good Evening" d) 12.01 - 11.59 pagi - "selamat pagi" Adakah keterangan di atas benar atau sebaliknya. Tolong jelaskan. 2. Tolong berikan jawapan untuk soalan ini, Sungguh amat terindah pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A. Amat terindah B. Sungguh amat indah C. Amat sungguh terindah D. Sungguh amat terindah Soalan tentang tajuk ini pernah saya kemukakan sebelum ini namun saya masih lagi keliru. Sekian, terima kasih. | Saudara, Menurut maklumat yang dikemukakan bagi (a) ucapannya ialah "selamat tengah hari", (b) ucapannya ialah "selamat petang", (c) ucapannya ialah "selamat malam" dan (d) ucapannya ialah "selamat pagi". Kata amat, sangat dan sungguh merupakan kata penguat bebas yang letaknya boleh di hadapan atau di belakang kata adjektif. Dalam hal ini salah satu kata sudah memadai digunakan dalam ayat. Contohnya, sungguh indah; amat indah. Awalan "ter-" ialah penanda darjah penghabisan dan digabungkan dengan kata penguat bebas . Contohnya, teramat indah; tersangat indah. | Tatabahasa | 28.11.2010 |
| saya ingin merujuk kepada pihak tuan berkaitan soalan PMR 2010 baru-baru ini iaitu : Tandakan sama ada A,B atau C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan D jika tiada kesalahan. Sungguh amat terindah pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A. amat terindah B. sungguh amat indah C. amat sungguh terindah D. sungguh amat terindah saya dan rakan-rakan sudah merujuk kepada buku Tatabahasa Dewan namun tiada jawapan yang memuaskan dapat diberikan. pohon kerjasama pihak tuan untuk menyelesaikan masalah ini. Cikgu Amir Azha | Berdasarkan rujukan kami, tidak ada jawapan untuk soalan yang tersebut. Jawapan B, C dan D adalah salah kerana darjah penguat tidak boleh hadir beriringan. Jawapan A juga salah kerana tidak ada bentuk amat/sungguh + ter + adjektif (amat terindah), yang ada ialah ter + amat/sungguh + adjektif (teramat indah). | Tatabahasa | 20.10.2010 |
| Anak saya akan mengambil PMR pada oct ini, tetapi dia masih keliru dengan tatabahasa seperti berikut: 1. sungguh amat cantik sungguh kurang sopan terlalu amat kencang Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan? 2. amat nyaring betul amat sukar sekali sungguh indah nian sungguh besar sekali sungguh kuat benar Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan/ belakang? 3. (i) Ali dianugerahi pingat oleh sultan (ii) Ali dianugerahkan sultan pingat (iii) pingat dianugerahkan oleh sultan kepada Ali Adakah ayat (i) , (ii) (iii) semuanya betul? Mana yang salah. Harap tuan dapat menolong saya. Sekian terima kasih | 1. Contoh yang diberikan adalah salah. Yang betul: Sungguh cantik, amat cantik, teramat cantik, terlalu kencang, amat kencang, teramat kencang. 2. Dalam bahasa Melayu, imbuhan teR- dan kata penguat sekali dan paling sudah menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan teR- atau sekali atau paling. Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak. Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan teR-, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi. Begitu juga sebaliknya. 3. Ketiga-tiga jawapan adalah betul. | Lain-lain | 01.10.2009 |
| Tn.Munsyi,mohon penjelasan frasa berikut : 1."kesakitan yang teramat sangat " adakah frasa ini tepat dalam ayat Ali mengalami kesakitan yang teramat sangat setelah terjatuh dari basikal. 2.Frasa "teramat sangat" adakah betul dan tepat daripada " tersangat amat" 3.Pemandangan di Langkawi "sungguh amat terindah" Frasa sungguh amat terindah adakah tepat daripada "amat sungguh terindah" 4.Bagaimanakah tatacara kita menyusun amat,sangat dalam frasa adjektif...amat didahulukan disusuli sangat atau sangat didahulukan disusuli oleh amat? Ulasan Tn.Sangat saya hargai didahului dengan ucapan terima kasih.... | Menurut data kami, kata penguat boleh hadir berderetan, seperti contoh ayat; sungguh amat sakit. Begitu juga dengan kata penguat amat sangat yang bermaksud terlampau, boleh hadir secara berturutan. Binaan ayat daripada pola ter + amat + sangat adalah tidak gramatis, yang betul ialah daripada binaan ter + amat + kata adjektif seperti teramat sakit dan teramat cantik. Ayat yang betul ialah pemandangan di Langkawi teramat indah. Selain itu, kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (muka surat 259 - 261). | Tatabahasa | 30.03.2020 |