bagaimana hendak mengenal pasti kata majmuk? kemudian, adakah perkataan "sebagai",dan "ialah" juga merupakan kata majmuk? soalan kedua, perkataan "bersamanya", apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "-nya"? adakah ianya adalah kletik? dan bagaimana hendak diterangkan dalam pembentukan kata bagi perkataan "bersamanya". | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar ; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan sebagainya. Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: 1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya. 2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks. 3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas. kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 133. "Sebagai" dan "ialah" bukan kata majmuk. "Sebagai" ialah kata sendi manakala "ialah" kata pemeri. "nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga yang juga boleh berfungsi sebagai kata pembenda/penekan. Keterangan lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga , halaman 295. | Istilah | 18.02.2009 |
1) Terangkan dengan lebih jelas penggunaan perkataan kepak dan sayap dalam ayat yang tepat. 2) Berdasarkan lampiran gambar, adakah penggunaan perkataan 'kepak' pada gambar tepat? | Kepak ialah sayap, manakala sayap pula ialah bahagian tubuh binatang seperti burung, serangga, dan lain-lain untuk terbang atau juga dikenali sebagai kepak. Merujuk kepada kedua-dua makna tersebut dan ayat contoh berikut, tidak ada perbezaannya dan boleh digunakan pada serangga seperti rama-rama tersebut. Contoh ayat sayap i. Sepasang sayap serangga yang terbit daripada mesotoraks. ii.Pada kumbang dan lipas, pasangan sayap ini dikenali sebagai elitron yang tebal dan kasar, manakala contoh ayat kepak i. Ayam jantan itu mengibar-ngibarkan kepaknya. ii. Burung ialah binatang yang mempunyai paruh, dua kaki, dua kepak dan umumnya dapat terbang. | Lain-lain | 06.05.2020 |
6.Apakah perbezaan antara perkataan “kunci” dengan “anak kunci”? Mengapakah perkataan “anak” digunakan sebelum “kunci” dan apakah maksud yang dibawa olehnya? 7.”Sebahagian daripada buku di dalam kotak kepunyaan Ali”, “Sebilangan daripada buku di dalam kotak kepunyaan Ali”. Ayat manakah yang betul? Apakah perbezaan antara “sebilangan” dengan “sebahagian”. Bolehkah penggunaan kedua-dua perkataan tersebut ditukar ganti? 8.”Jemput datang ke rumah saya kerana saya akan mengadakan kenduri kesyukuran”, ”Sila datang ke rumah saya kerana saya akan mengadakan kenduri kesyukuran”. Ayat manakah yang betul? Bolehkah “jemput” dan “sila” ditukar ganti? 9. Sila betulkan kesalahan dalam ayat berikut: “Elok agak kita ke kantin untuk membeli makanan.” 10.Apakah maksud kata ganda “tepi-tepian”? Bagaimanakah penggunaannya dalam ayat? Sila berikan contoh yang sesuai. Sila berikan tunjuk ajar. Tunjuk ajar pihak dbp amat dihargai. Terima kasih. | Jawapan 1. Sila lihat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat untuk memahami maksud kunci dan anak kunci: 1. alat yg terdiri daripada mangga (ibu kunci) dan pembukanya (anak kunci) untuk mengancing sesuatu (seperti pintu, peti, beg, dan lain-lain): pintu itu tidak memakai ~; 2. = anak ~ alat pembuka yang dimasukkan ke dalam lubang mangga dan dipulaskan (diputarkan) untuk membuka atau mengancing mangga: terpaksa dipecahkannya mangga pintu kerana ~nya sudah hilang; 3. = ibu (induk) ~ mangga (pintu dan lain-lain), alat yang dikancingkan atau dipasang pada pintu dan lain-lain dan dapat dibuka dengan anak kunci. 2. Kedua-dua sebilangan dan sebahagian boleh digunakan untuk ayat tersebut. Kedua-duanya boleh ditukar ganti mengikut konteks ayat. Sebahagian bermaksud separuh atau setengah. Sebilangan bermaksud sejumlah atau sebanyak. 3. Jemput dan sila boleh bertukar ganti penggunaannya kerana mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat: Jemput bermaksud 1. menyambut, mengalu-alu, menyongsong: siapa yang pergi ~ abangmu di lapangan terbang petang ini?; jemputlah masuk; 2. mengajak atau menyilakan datang, mengundang: Sila = silalah, silakan, silakanlah minta dengan hormat supaya ..., jemputlah, sudilah: 4. Ayat yang lebih baik boleh ditulis begini: “Elok kita ke kantin untuk membeli makanan” atau “Baik kita ke kantin untuk membeli makanan”. 5. Dalam data kami tiada kata ganda tepi-tepian. Yang ada hanya tepi-tepi atau tepian sahaja. Contoh ayat: Batu-batu yang cantik ini dipungut di tepi-tepi sungai. Tepian bermaksud 1. tempat mandi di tepi sungai; tempat yang di tepi sesuatu (sungai, laut dan lain-lain) atau 2. bahagian tepi sesuatu benda: Lanset ialah pisau pembedahan yang mempunyai dua tepian tajam dan hujung yg menirus | Lain-lain | 30.10.2014 |