Mohon pencerahan. 1. Satu rampasan dadah terbesar... atau Satu rampasan terbesar dadah... 2. Sungguh amat ayu gadis itu : Adakah ayat ini salah ? 3. Janji temu @ temu janji ? Terima kasih. | 1. Frasa yang betul ialah "rampasan dadah terbesar". 2. Frasa yang betul ialah "sungguh ayu" atau "amat ayu". 3. Janji temu. | Tatabahasa | 01.09.2015 |
Dalam beberapa minggu, Malaysia telah mencatat jumlah kumulatif terbesar jangkitan COVID-19 yang disahkan di Asia Tenggara. Betulkah susunan ayat itu? Atau.. Dalam beberapa minggu, Malaysia telah mencatat jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 yang disahkan yang terbesar di Asia Tenggara. Saya masih keliru. Wujudkah formula 1+3+2 ayat songsang seperti ayat pertama yang saya nyatakan di atas. | Kedua-dua ayat di atas boleh digunakan, mengikut susunan yang hendak ditekankan atau diberikan penegasan. | Tatabahasa | 26.12.2020 |
Apakah kata sendi nama yang sesuai untuk ayat di bawah?Pulau Dayang Bunting ialah pulau kedua terbesar di / dalam / di dalam Gugusan Pulau Langkawi. Terima kasih. | Pulau Dayang Bunting ialah pulau kedua terbesar dalam Gugusan Pulau Langkawi. | Tatabahasa | 17.01.2012 |
Assalamualaikum, selamat sejahtera.., saya mempunyai pertanyaan berkaitan kata "jentu" (dalam KD) yang bermaksud "tangkai bunga yang terbesar pada bunga yang berkarang". Adakah kata ini seerti dengan istilah botani "peduncle" atau Melayunya "pedunkel" yang merujuk pada "tangkai yang menyokong sekuntum bunga atau jambak bunga"? Pedunkel ini mempunyai cabang kecil yang disebut "pedisel" atau "tampuk". | Kata jentu tidak seerti dengan kata pedunkel. Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 895) dan Pangkalan Data Istilah DBP; jentu kata nama tangkai bunga yang terbesar atau yang utama pada gubahan bunga. manakala, pedunkel (peduncle) Bidang: Biologi, Histologi dan Sitologi 1. Tangkai infloresens. 2. Jalur gentian putih yang bersambung dengan pelbagai bahagian otak. 3. Tangkai krinoid, brakiopod dan barnakel, atau protozoon yang tetap. 4. Penghubung toraks dengan abdomen artropod. Penggunaan kedua-dua kata ini bergantung kepada makna dan konteksnya.
| Makna | 29.05.2023 |
Sime Darby Auto Performance dengan bangganya mengalu-alukan kedatangan anda ke Porsche Centre 3S yang terbesar di Malaysia. Lokasi strategik yang terletak berhampiran dengan pusat perdagangan Kuala Lumpur, Porsche Centre Sungai Besi terbaru mudah dihubungi melalui rangkaian lebuhraya utama. Bangunan ikonik ini tersergam megah di pusat Kuala Lumpur, dilengkapi dengan peralatan yang terkini, kemewahan Porsche Centre Sungai Besi jelas mencerminkan gaya Porsche. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mengalukan anda dipersonakan di dalam dunia Porsche. Kunjungi kami hari ini untuk mengalami 911 Targa 4S dan rangkaian Cayenne baharu di Porsche Centre Sungai Besi. | Sime Darby Auto Performance dengan bangganya mengalu-alukan kedatangan anda ke Porsche Centre 3S yang terbesar di Malaysia. Lokasi strategik yang terletak berhampiran dengan pusat perdagangan Kuala Lumpur. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mudah dihubungi melalui rangkaian lebuh raya utama. Bangunan ikonik ini tersergam megah di bnandar raya Kuala Lumpur dan dilengkapi dengan peralatan yang terkini. Kemewahan Porsche Centre Sungai Besi jelas mencerminkan gaya Porsche. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mengalu-alukan kedatangan anda ke dunia Porsche. Kunjungi kami hari ini untuk mengalami 911 Targa 4S dan rangkaian Cayenne baharu di Porsche Centre Sungai Besi. | Tatabahasa | 01.06.2015 |
Yang manakah antara soalan berikut gramatis (atau kedua-dua versi boleh diterima)? 1) "Negara apakah bersempadan dengan Malaysia?" ATAU "Apakah negara yang bersempadan dengan Malaysia?" 2) "Tasik di Tanzania apakah merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" ATAU "Apakah tasik di Tanzania yang merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" Bantuan dan sokongan DBP amat dihargai ramai. Terima kasih. | Cadangan jawapan yang betul adalah seperti yang berikut: 1) "Apakah negara yang bersempadan dengan Malaysia?" 2) "Apakah tasik di Tanzania yang merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" | Tatabahasa | 28.05.2019 |
Tuan, Ayat dalam petikan. Keistimewaan pulau ini ialah terumbu karang yang terbesar di Asia yang mampu menggamit pengunjung dengan batu karangnya yang tumbuh mengelilingi pulau ini serta kawasan pantai yang cantik. Soalannya: Perkataan menggamit dalam petikan bermaksud ? A. memanggil B. memerhati C. menarik D. mencuit Yang manakah jawapannya? | Menggamit sama maksudnya dengan mencuit, layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=menggamit. | Tatabahasa | 26.06.2012 |
Tuan/Puan yang dihormati, Syarikat kami telah memiliki sebuah kapal FPSO yg terbesar di rantau Asia yang bernama "ARMADA PERKASA". Pihak syarikat kami bercadang membina sebuah lagi kapal FPSO atas permintaan yang baik di rantau Asia untuk perkhidmatan itu. Pihak syarikat ingin menamakan kapal yang memiliki ciri-ciri berikut: 1) Di dahulukan dengan “Armada” 2) Nama dalam Bahasa Melayu 3) Sejajar dengan nama “Perkasa”, bermula dengan huruf “P” 4) “Perkasa” bermaksud gagah berani dan nama baru hendaklah bercirikan sepertimana nama tersebut supaya senang diingat, dikenali dan bakal mencipta nama di arena/persada marin baik di rantau Asia mahupun bakal gah di dunia. Jasa baik tuan/puan teramat kami hargai. Sekian. Terima kasih | Cadangan : 'Armada Buana'. Buana bermaksud dunia, jagat, bumi. Atau 'Armada Betara Kala'. Nama pahlawan agung mitos Sannskrit. | Lain-lain | 26.02.2008 |
saya ingin bertanya tentang maklumat lanjut tiga bahasa utama yang digunakan oleh tiga kaum terbesar di malaysia.saya inginkan penghuraian yang jelas | Saudara pertanyaan saudara ini memerlukan satu pembacaan yang meluas namun untuk pengetahuan saudara 3 bahasa utama di Malaysia ialah bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini, bahasa Inggeris yang digunakan untuk tujuan sosial dan hubungan antarabangsa dan bahasa ibunda bagi masyarakat Cina dan bahasa ibunda bagi masyarakat India. | Lain-lain | 15.02.2007 |
Salam Pihak DBP. Saya ingin tahu akan sejarah DBP. Bagaimana ia ditubuhkan dan apakah sumbangan-sumbangan yang terbesar ataupun yang telah memberi impak yang kuat kepada masyarakat yang berbahasa Melayu? Sekian, terima kasih. | Sila layari laman web www.dbp.gov.my, pelbagai maklumat tentang DBP ada dimuatkan dalam laman tersebut. Untuk makluman puan, sumbangan DBP dalam bidang termasuklah bahasa, sastera, penerbitan dan budaya bermula semenjak awal penubuhan. Dalam ruang yang terhad ini sedikit maklumat dapat diberikan, contohnya, sumbangan DBP telah membina kosa kata untuk kamus dan istilah dalam pelbagai bidang, membuat penyelidikan bahasa Melayu, membuat perancangan bahasa seperti sistem ejaan dan tatabahasa, sebutan baku, dan menerbitkan buku dalam pelbagai bidang ilmu bagi menyebarluaskan bahasa Melayu. DBP sebagai badan pembina dan perancang bahasa, sastera dan penerbitan menyumbang bagi menggerakkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan. Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan, pemupukan, penataran, pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia. Pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh DBP melalui program pembinaan dan pengembangan bahasa . Antaranya Pertandingan Forum, Peraduan Esei, Anugerah dan Hadiah Galakan untuk sektor swasta, Pertandingan pidato, Baca Puisi, Pertandingan Pantun dsb. Dalam bidang penerbitan pula buku dalam pelbagai bidang,kamus, kamus istilah, daftar dan glosari istilah diterbitkan. Selain itu, DBP menganggotai pelbagai jawatankuasa di peringkat kebangsaan,negeri, kementerian dan agensi awam dan swasta untuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. | Lain-lain | 04.10.2015 |