Saya ingin mendapat kepastian samada menerimapakai atau menerima pakai Terima kasih | Istilah yang betul ialah menerima pakai yang ditulis terpisah sebagai dua perkataan. | Istilah | 18.08.2009 |
tuan/puan bagi perkataan kuat kuasa dan guna pakai jika ditambah imbuhan awalan , apitan ejaan bagi perkataan tersebut adakah terpisah atau tidak? contoh: dikuatkuasakan berkuatkuasa, diguna pakai, menggunapakai. terima kasih. | Pada asalnya kata majmuk dieja dua perkataan seperti kuat kuasa dan kemas kini. Apabila menerima awalan atau akhiran kata majmuk masih deja dua perkataan seperti berkuat kuasa dan dikemas kini. Namun apabila kata majmuk menerima apitan sama ada apitan ke-...-an atau pe-...-an barulah dieja satu perkataan seperti dikuatkuasakan dan pengemaskinian. | Ejaan | 06.06.2012 |
Assalamualaikum... Saya ingin bertanya tentang surat kiriman rasmi. Kenapakah surat kiriman rasmi tidak mencatatkan nombor 1 dalam kandungan surat? Sebaliknya diteruskan kepada nombor 2. Terima kasih | Format penulisan surat rasmi yang bermula dengan perenggan pertama (tanpa nombor) dan perenggan seterusnya bermula dengan nombor 2 dan seterusnya telah lama diterima pakai. Format yang hampir sama juga diterima pakai dalam penulisan esei, perenggan pertama bermula dari tepi dan menginden (mengesot sedikit ke dalam) pada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun tiada maklumat tentang penyusunan format penulisan yang sedemikian dalam pangkalan data kami. Sedikit maklumat tambahan, format penulisan surat rasmi ini menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007 yang dikeluarkan oleh JPA. | Tatabahasa | 07.11.2015 |
Salam sejahtera. Tuan/Puan, Saya telah melampirkan soalan saya. Terima kasih. | Kecinaan bermaksud mempunyai sifat atau ciri-ciri orang Cina, kearaban bermaksud mempunyai sifat atau ciri-ciri orang Arab, kemelayuan juga bermaksud mempunyai sifat atau ciri-ciri orang Melayu. Maka ketiga-tiga kata ini ialah kata adjektif. Jika ada pandangan lain yang menolak pandangan ini, kami akan kemukakan kepada mereka yang ahli khususnya penyusun buku Tatabahasa Dewan. Kami menerima pakai rumus yang termaktub dalam buku Tatabahasa Dewan tentang apitan ke...an dan jenis kata yang terhasil daripadanya. | Tatabahasa | 29.01.2014 |
Assalamualaikum, Terima kasih atas jawapan pihak tuan berkaitan ayat meniup lilin dan menghembus lilin. Dalam satu buku latihan UPSR terdapat soalan berkenaan yang memerlukan murid memilih meniup lilin atau menghembus lilin. Buku tersebut dinilai oleh Panel Penilai Guru Cemerlang Malaysia. Apakah pandangan pihak tuan jika murid diminta memilih antara meniup lilin dengan menghembus lilin.Yang mana satukah lebih tepat dan betul dari segi bahasa? | Kamus Dewan menakrifkam meniup sebagai perbuatan mengenakan nafas (yang kuat pada); sama makna dengan menghembus. Berdasarkan makna yang tersebut, kedua-dua pilihan jawapan yang diberikan (meniup lilin dan menghembus lilin) adalah betul. Dalam hal ini kami mencadangkan saudara merujuk terus dan berbincang dengan penulis/penerbit buku berkenaan kerana kami menerima pakai makna yang dirakam dalam Kamus Dewan. | Tatabahasa | 21.02.2011 |
Soalan...kenapa sistem pemenggalan waktu tidak sekata cthnya: 12-1.59 tengah hari dan 12-12.59 tengah malam? Sepatutnya diselaraskan kepada 12-12.59 untuk tengah hari dan 12-12.59 untuk tengah malam supaya sistem ini tidak mengelirukan. Terima kasih. | Penetapan ini telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Istilah Semasa pada suatu ketika dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek. Sehingga kini tidak ada usaha untuk meminda penetapan yang telah dibuat. Pihak media juga telah menerima pakai pemenggalan waktu yang dibuat dan kita berharap perkara ini dapat diuar-uarkan kepada orang ramai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. | Tatabahasa | 23.08.2015 |
Huruf PKTS akan digugurkan apabila bertemu dengan imbuhan peN.... Contoh: sapu> penyapu, pakai> pemakai, tarik> penarik, kawal> pengawal. Mengapa hal ini tidak berlaku pada perkataan pentadbir, pentafsir, penterjemahan adakah kerana perkataan tersebut kata pinjaman? terima kasih | Awalan huruf pkts tidak akan gugur apabila menerima imbuhan bagi kata pinjaman bertujuan mempertahankan etimologi kata asalnya. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
1- Adakah bahasa melayu dan bahasa indonesia disifatkan merupakan bahasa yang sama di peringkat antarabangsa? 2- Bagaimanakah cara terselamat untuk bertutur bahasa melayu/indonesia tanpa menyisihkan warga asing yang hanya belajar antara bahasa melayu atau bahasa indonesia sahaja? 3-Bolehkah kita bertukar-tukar istilah antara bahasa melayu dan bahasa indonesia selagi istilah tersebut mempunyai rekod didalam kamu dbp? Kerana, industri yang menekankan pasaran seperti muzik telah menerima pakai perkataan indonesia seperti coba, meski, ujung, dll. Terima kasih. | 1. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia termasuk dalam kumpulan bahasa Nusantara. 2. Tidak timbul isu menyisihkan warga asing yang hanya belajar dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia kerana kedua-duanya serumpun. 3. Dalam pembentukan istilah, telah ditubuhkan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) menjadi tapak langsung kerjasama kebahasaan pada peringkat ASEAN, khasnya dalam bidang penyelarasan peristilahan antara ketiga-tiga negara. Tidak ada konsep ‘bertukar-tukar istilah’ sebaliknya penyelarasan istilah diputuskan oleh MABBIM ini.
| Penyelidikan | 26.02.2017 |
Tuan, 1. Mengapakah kata kerja 'memperoleh' bukannya 'memperolehi' diguna pakai dalam bahasa Melayu sedangkan ada kata kerja 'menghadiahi' atau 'menerangi'? 2. Terjemahan tepat "Take Home Exam" dalam bahasa Melayu apa? Terima kasih. | 1. Awalan memper-... ditambah dengan kata dasar oleh membentuk kata kerja memperoleh, tidak ada kata dasar olehi untuk membentuk kata kerja memperolehi. Manakala perkataan menghadiahi wujud apabila kata dasar hadiah menerima apitan meN-...-i. 2. Terjemahan 'Take Home Exam' belum ada dalam bahasa Melayu, terdapat istilah 'take-home pay' yang diterjemahkan kepada gaji bawa pulang dalam bahasa Melayu. Berdasarkan contoh tersebut, kami mencadangkan 'Take Home Pay' diterjemahkan kepada 'Peperiksaan Bawa Pulang' dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 08.11.2010 |
Dalam penulisan minit mesyuarat, adakah perlu mencatat nama orang yang mencadangkan/melapor/menyatakan sesuatu perkara. Contoh : 1) Mesyuarat menerima maklum bahawa ... atau 2) Mesyuarat dimaklumkan bahawa ... atau 3) Mesyuarat dimaklumkan oleh En. Abdullah bin Kassim... Yang mana satu boleh diterima pakai? Atau perlu menyatakan nama individu tersebut sebagaimana contoh 3. Terima kasih. | Lazimnya mesyuarat hanya mencatatkan perkara yang telah dimaklumkan dan diputuskan dalam mesyuarat. Tidak perlu ditulis siapa yang memaklumkan atau yang memutuskan perkara itu kerana hanya perkara pemakluman dan keputusannya sahaja diminitkan. | Tatabahasa | 02.07.2012 |