Pada pandangan kami, selagi pihak Pejabat Tanah dapat memastikan daripada rekod Tuan bahawa pihak yang memohon kepada geran dan dokumen-dokumen tersebut adalah pihak yang berhak disisi undang-undang untuk memiliki geran tersebut, maka terserahlah kepada budi bicara Tuan pendaftar untuk membenarkan geran tersebut dilepaskan kepada pihak yang berkenaan. Apakah ayat/perkataan yang sesuai untuk diganti selain dari perkataan "terserahlah" dalam ayat diatas. | Kami mencadangkan pembetulan ayat seperti di bawah dan perkataan terserahlah boleh digantikan dengan terpulanglah. Pada pandangan kami, sekiranya pihak Pejabat Tanah dapat memastikan bahawa pihak yang memohon geran dan dokumen-dokumen tersebut ialah pihak yang berhak disisi undang-undang untuk memiliki geran tersebut berdasarkan rekod tuan, maka terpulanglah kepada budi bicara tuan untuk membenarkan geran tersebut diserahkan kepada pihak yang berkenaan. | Tatabahasa | 06.09.2021 |
Perkataan belajar boleh menghasilkan kata terbitan pembelajaran dan pemelajaran. Boleh jelaskan cara kedua-dua kata itu terbentuk. | Masih banyak pengguna yang keliru tentang perkataan yang berapitan peN-..-an, terutamanya pembelajaran dan pemelajaran. Kedua-dua perkataan itu betul. Mari kita lihat pembentukan perkataan tersebut seperti yang di bawah ini:
Satu--> bersatu--> mempersatukan --> pemersatuan Oleh-> beroleh -> memperoleh ---> pemerolehan Badan--> berbadan-->memperbadankan---> pemerbadanan Ajar---> belajar--> mempelajari---> pemelajaran
Dengan berdasarkan rumus tersebut di atas, pemelajaran bermaksud aktiviti mempelajari. (Transitif)
Sekarang, marilah kita lihat pembentukan perkataan pembelajaran pula dengan mengambil contoh pembentukan perkataan lain terlebih dahulu:
Jadi --> menjadi --> kemenjadian Atur--> teratur-->keteraturan Tanggungjawab -->bertanggungjawab--> kebertanggungjawaban Ajar-->belajar-->pembelajaran
Dengan berdasarkan rumus tersebut, perkataan pembelajaran bermaksud aktivti belajar (tak transitif)
Kesimpulannya, kedua-dua perkataan tersebut betul. Oleh itu, terpulanglah kepada pengguna untuk menggunakan perkataan tersebut. | Tatabahasa | 07.12.2008 |