Salam sejahtera... Saya berasa hairan dan musykil tentang beberapa perkara. Lain yang tertera dalam Kamus Dewan, lain pula yang tertera dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Yang berikut ialah senarai jawapan yang saya terima daripada pihak DBP 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. Namun sekiranya merujuk kepada Tatabahasa Dewan 1) perkataan memperakui dianggap sebagai salah 2) memperakukan ialah certify = mengesahkan mana satu yang betul? Adakah maksud memperkawani ialah berkawan dengan? Adakah istilah memperkawankan wujud? manakah yang harus saya ikuti? Kamus Dewan ataupun Tatabahasa Dewan? | Pertanyaan saudara akan kami rujuk kepada panel buku Tatabahasa Dewan. Cadangan kami dalam hal pengajaran, silalah merujuk Tatabahasa Dewan dan Kamus Pelajar kerana Kamus Dewan ialah kamus umum yang merakamkan segala bentuk kata yang terdapat dalam kalangan masyarakat. Kamus Dewan penting untuk mengetahui makna kata yang terakam. Jawapan pertanyaan saudara akan di-e-melkan kepada tuan dengan kadar segera. | Tatabahasa | 04.10.2012 |
Apakah maksud 'ketaksiman' sebagaimana tertera di halaman 39 Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga? Perkataan tersebut terkandung dalam ayat yang berbunyi "Kata beliau digunakan dalam sebutan ketaksiman". | Perkataan ketaksiman sepatutunya dieja ketakseman, iatu daripada perkataan taksem yang mengikut Kamus Besar bahasa Indonesia bermaksud 1. unit gramatikal terkecil dari seleksi 2. urutan,tekanan,titi nada, modifikasi fonetik. Mohan maaf atas kesilapan menaip. | Tatabahasa | 04.03.2008 |
Terima kasih atas maklum balas sebelum ini.Sebenarnya pertanyaan saya merujuk kepada nota 1 SEN MALAYA 1941 yang dikeluarkan oleh kerajaan British pada masa itu. Tertera pada nota-nota itu tulisan Jawi SIN WAU ALIF TA dan bukannya SIN ALIF TA WAU. Adakah ini bermakna pihak British telah salah menggunakan perkataan SATU dalam nota-nota tersebut memandangkan beberapa pihak termasuk Za'ba telah menerbitkan buku-buku berkenaan tulisan Jawi sebelum nota-nota itu dikeluarkan pada tahun 1941.(gambar nota 1 SEN MALAYA 1941 dapat dirujuk di internet). Saya benar-benar berharap mendapat jawapan bagi persoalan ini memandangkan ia berkaitan dengan sejarah negara kita. Terima kasih. | Tidak ada maklumat tentang peristiwa sejarah ini dalam sumber rujukan kami. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini kami hanya dapat memberikan kedua-dua ejaan sahaja dan rujukan yang kami ada, iaitu buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi tidak menukilkan etimologi entri ejaan Jawi. Kami cadangkan tuan berhubung dengan pihak Arkib Negara bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. | Lain-lain | 10.10.2012 |
1) Wadah manakah yang sesuai bagi saya menghantar karya saya seperti cerpen atau sajak yang bertemakan remaja dan kanak-kanak? 2) Bagaimana caranya atau syarat-syarat untuk saya menghantar hasil tulisan saya. | Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Kami amat berbesar hati atas minat puan untuk menghantar karya bertemakan kanak-kanak dan remaja. Sekiranya karya tersebut berupa novel atau koleksi cerpen, puan boleh menghantarnya ke Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja (PURNAMA), Tingkat 21, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50460 Kuala Lumpur. Sekiranya karya puan dalam bentuk sebuah cerpen atau sajak, maka puan boleh menghantarnya ke DBP untuk disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar, Dewan Siswa atau Tunas Cipta mengikut kesesuaian. Sekiranya puan berhajat untuk menghantar kepada penerbit selaian DBP, puan boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak editorial majalah seperti Bintang Kecil, Anis dan sebagainya. 2. Untuk mengetahui tentang cara atau syarat-syarat menghantar karya tersebut, sila hubungi alamat seperti yang tertera di bawah, iaitu bagi penerbitan DBP: Editor Tunas Cipta, Bahagian Majalah, Aras 20, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Editor Dewan Siswa, Bahagian Majalah, Tingkat 20, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Editor Dewan Pelajar, Bahagian Majalah, Tingkat 20, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 08.07.2010 |
Saya ingin membuat pertanyaan berikut: 1) Penggunaan huruf besar atau huruf kecil Contoh ayat: Di Sarawak, tarian ngajat merupakan tarian bersuka ria dalam kalangan orang Ibanda dan tarian datun julut sebagai tarian menjemput tetamu dari suku kaum Orang Ulu. Soalan: ejaan tarian ngajat adakah dieja Tarian Ngajat - huruf besar kerana nama khas. Ejaan tarian datun julut adakah dieja Tarian Datun Julut kerana nama khas? 2) Ejaan nama-nama tarian yang ada di Malaysia seperti tarian asyik, tarian payung, tarian piring, tarian mak yong dan sebagainya adakah dieja dengan huruf besar? Kekeliruan berlaku kerana ada editor saya yang mengatakan ia adalah nama khas untuk tarian tersebut. Setelah saya rujuk kepada KD ke3 dalam sub tarian, ejaan adalah huruf kecil Sila beri jawapan selengkapnya dengan segera. Kerjasama pihak anda sangat diperlukan kerana saya telah cuba menelefon talian tertera tetapi tiada jawapan walaupun 10 minit deringan berbunyi. Terima kasih. | Setiap kata nama khas mestilah dieja dengan huruf besar. Contohnya, Tarian Ngajat, Datun Julut, Tarian Payung, Tarian Asyik, Tarian Piring, Tarian Mak Yong dan sebagainya. | Tatabahasa | 10.09.2008 |