Adakah ayat berikut betul? 1. Dua orang murid lelaki menggantungkan kain rentang yang tertulis " Majlis Anugerah Kecemerlangan " pada dinding pentas. | Ayat ini salah, yang betul ialah 1. Dua orang murid lelaki menggantungkan kain rentang yang tertulis "Majlis Anugerah Kecemerlangan" di dinding pentas. | Tatabahasa | 13.08.2014 |
Saya perhatikan ada satu iklan papan tanda di Bangsar mengiklankan kereta jenama BMW yang didalamnya tertulis dengan huruf terang ayat seperti ini " Joy is BMW" dan diatasnya tertera terjemahan bahasa Melayu dengan huruh pudar dan tak kelihatan dari jauh seperti ini "Keriangan ialah BMW". Selain itu, ada juga iklan lain di Kampung Keramat tertulis ayat ini "life is beutiful" dan terjemahan bahasa Melayunya berbunyi begini "hidup ialah indah". Benarkah semua terjemahan ini pada pandangan DBP? Dalam bahasa Melayu, padanan yang sering kita ungkap untuk kalimat 'life is beutiful' ialah "hidup itu indah". Pada pandangan saya, mungkin terjemahan sesuai untuk ayat "joy is BMW" ialah 'riang itu BMW'. Jadi, apa yang boleh saya lakukan untuk membantu DBP menangani masalah ini? | Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Pihak kami akan menyemak padanan terjemahan pada papan iklan yang disebutkan itu. Sumbangan yang boleh tuan berikan ialah menghantar kepada kami gambar foto iklan berkenaan supaya pihak kami boleh mengambil tindakan susulan. Alamatkan kiriman tuan kepada Ketua Bahagian Dasar Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Tingkat 25, Jalan Dewan bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Tatabahasa | 09.02.2010 |
Antara jawapan berikut yang manakah betul. 1. Pada batu bersurat itu --------- undang-undang dan peraturan masyarakat zaman dahulu. A. bertulis B. tertulis 2. Encik Nordin menasihati anaknya agar tidak memakai pakaian yang ----------- A. menjolok mata B. mencolok mata | 1. Pada batu bersurat itu tertulis undang-undang dan peraturan masyarakat zaman dahulu. 2. Encik Nordin menasihati anaknya agar tidak memakai pakaian yang mencolok mata. | Tatabahasa | 29.10.2013 |
Saya rujuk di PRPM tertulis, "Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagu" Persoalan saya, apakah maksud 'mencapat?' Kenapa perkataan itu tiada dalam kamus dewan ataupun PRPM? | Peribahasa yang betul ialah "Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu". Kami memohon maaf atas kesilapan ejaan tersebut. | Tatabahasa | 26.11.2013 |
Mengapa pada dinding bas tertulis 'BAS PEKERJA' dan bukannya 'BAS KILANG' padahal itu pada saya sudah betul. Sama juga dengan 'BAS SEKOLAH', mengapa tidak ditukar kepada 'BAS PELAJAR' sebagai padanan kepada 'BAS PEKERJA'. Sekian Terima Kasih! | Kedua-duanya boleh diterima mengikut konteks yang berbeza. | Lain-lain | 07.06.2010 |
Tuan yang bijaksana. Dalam buku tatabahasa ada tertulis, kata sendi "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Frasa yang mengikuti kata sendi "tentang" menjadi hal yang diperlakukan. Kata sendi "terhadap" pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu seperti manusia, haiwan, atau benda. Oleh hal yang demikian, adakah penggunaan kata sendi "tentang" dalam ayat di bawah ini salah: 1. Kami sudah menguji orang yang terdahulu daripada mereka. Nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta. | Penggunaan "tentang" dalam ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
SALAM TUAN, Saya nak tanya iaitu ada satu papan tanda tertulis : PARKIR PERCUMA FREE PARKING Soalan saya : Ejaan yang digunakan "PARKIR" betul ke? | Parkir ialah perkataan Indonesia. Dalam bahasa Melayu kita menggunakan istilah "Tempat Letak Kereta" dan jika Free Parking ialah Tempat Letak Kereta Percuma. | Tatabahasa | 17.10.2011 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya apakah terjemahan untuk Bay Leaf. Dalam PRPM tertulis takrif dalam BM ialah Daun Bay. Namun bila saya buat carian Bay Leave, saya berjumap istilah sasar BM adalah Daun Salam. Jadi, apakah termajan sebenar untuk Bay Leaf? kita kekalkan Daun Bay atau Daun Salam. Terima kasih. | Daun bay dan daun salam merujuk herba yang sama, iaitu bay leaf, kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 10.04.2015 |
ADAKAH TERDAPAT KESALAHAN BAHASA PADA PAPAN TANDA IKLAN DI KEDAI SAYA YANG TERTULIS " KEDAI ALAT TELEKOMUNIKASI"? | Tiada | Tatabahasa | 11.06.2014 |
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan 'hentar' (هنتر). Saya kurang jelas dengan penjelasan yang tertulis di dalam kamus dewan edisi keempat. | Untuk makluman puan, pihak kami hanya mempunyai maklumat seperti yang terakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut. Perkataan 'hentar' tersebut daripada bahasa Indonesia. Berdasarkan carian kami melalui internet, 'hentar' bermaksud iman. | Makna | 01.10.2018 |