perkataan : terus menerus adakah ada - atau tidak. Terus-menerus atau terus menerus | Perkataan "terus-menerus" ada dalam bahasa Melayu yang bermaksud tidak berhenti-henti atau tidak putus-putus. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 untuk maklumat lanjut. | Ejaan | 24.08.2009 |
assalamualaikum& salam sejahtera... apakah maksud sebenar bagi ayat 'malar segar'. Adakah ia sesuai digunakan bagi penggunaan dibawah? penggunaan: 'saksikan persembahan artis terkenal dengan lagu-lagu malar segar...' | Wa'alaikum salam. Malar segar bermaksud terus menerus segar. Maknanya sesuatu itu sentiasa segar seperti dalam lagu-lagu keroncong, asli, ghazal dsbnya yang sedap didengar oleh telinga. Ayat tersebut sesuai bergantung pada konteks lagu apa yang dinyanyikan oleh penyanyi tersebut.Apakah ia lagu seperti yang dinyatakan di atas atau sebagainya. Terima kasih. | Lain-lain | 24.11.2006 |
pada zaman mutakhir ini betul ke? atau muktahir ini? atau muktahir ? Penggunaan 'marcapada ini' betul ke? atau cuma letak 'Marcapada' je? | Encik Yu, Maksud mutakhir ialah terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu, kemas kini: membicarakan puisi Malaysia ~; A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera ~ di dunia; kajian yg dilakukan pd tahun-tahun ~ ini. Oleh itu frasa yang betul ialah 'pada zaman mutakhir ini' atau ' mutakhir ini'. Makna 'marcapada' ialah dunia sekarang ini: orang Muk-min yg tidak terpengaruh dgn ~ yg penuh dgn tipu daya. Oleh itu, perkataan 'marcapada' sudah memadai. | Tatabahasa | 18.05.2010 |
Assalamualaikum.Saya ingin mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang penggunaan beberapa jenis kata keterangan seperti 'juga' dan 'lagi'.Harap dapat dijelaskan..Sekian terima kasih | Juga: 1. (digunakan utk menyatakan keadaan yg sama atau serupa) pun: ada ~ orang yg tahu perkara itu; badannya tegap, adiknya ~ demikian; 2. (digunakan selepas kata sifat) agak: gadis itu cantik ~, tetapi tidaklah secantik emaknya; 3. (digunakan utk menunjukkan perulangan) lagi: dulu saya yg menolongnya, sekarang saya ~ yg menolongnya; 4. (digunakan utk menunjukkan perbuatan terus-menerus) terus: walaupun dilarang dia masih ketawa ~; Chia telah mati di situ ~; 5. (digunakan utk menunjukkan tolak ansur) meskipun, walaupun: sesiapa ~ yg datang, saya mengalu-alukannya; 6. (biasanya digunakan selepas kata penghubung tetapi atau atau utk menunjukkan tokokan): kamu bukan sahaja mesti belajar dgn tekun tetapi ~ mesti berbaik-baik antara satu sama lain; 7. (digunakan bersama dgn pun sbg penegas): saya berpuasa, dia pun berpuasa ~; jua. Lagi: 1. tambahan kpd yg sedia ada: lima orang ~ telah dirawat di rumah sakit; musim hujan akan datang kira-kira tengah dua bulan ~; 2. masih (berpanjangan), sedang (berbuat sesuatu dll): adapun Chau Pandan itu, ~ di benua Siam; sekarang pun ada ~ negeri itu di benua Keling; 3. dan, serta, tambahan pula: dia hartawan ~ dermawan; 4. (balik) semula, pula: janganlah ~ dicari hamzah di dunia ini; 5. lebih (baik, elok, dll): mati ~ bagus; 6. kata yg digunakan utk menguatkan atau mengeraskan kata-kata sebelumnya: sekaranglah kita amuk, bila ~!; bilal khatib ~ berdosa, ini pula kita yg jahil; ~ pula dan lagi, lebih-lebih, tambahan pula; | Lain-lain | 26.03.2009 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang penggunaan istilah penyerapan bahasa asing seperti Matematik, Geografi, Psikologi dan sebagainya. Jika kita lihat pengunaan istilah ini sangat meluas dalam bidang pendidikan,sedangkan istilah-istilah seperti yang dinyatakan mempunyai makna yang tersendiri dalam bahasa Melayu seperti Matematik sebagai ilmu hisab, Geografi sebagai ilmu alam dan Psikologi sebagai ilmu jiwa. Persoalannya mengapakah istilah-istilah seperti ilmu hisab ini tidak digunakan dan diketepikan, sebalikknya kita menggunakan istilah serapan bahasa asing seperti matematik sebagai satu perkataan yang digunakan pakai secara meluas? Diharap pihak tuan dapat memberikan sedikit ulasan berkaitan perkara di atas.Sekitan terima kasih | Semua bangsa pasti berinteraksi dengan bangsa-bangsa yang lain dalam dunia sejagat. Proses ini menggunakan bahasa sebagai alat dan wahana penyampaian fikiran dan hasrat. Dalam proses komunikasi ini, pelbagai konsep ilmu akan dipindahkan menerusi peminjaman kata dan istilah antara satu bahasa ke satu bahasa yang lain sesuai dengan ungkapan istilah jambatan ilmu. Dalam interaksi bangsa Inggeris dengan bangsa Arab, terutama dalam bidang sains, banyaklah ilmu yang ditimba mereka, dan banyaklah konsep yang dipinjam melalui istilah seperti ‘alchemy’, ‘alcohol’, dan ‘algorithm’. Semakin kuat pengaruh ilmu yang dimiliki oleh sesuatu bahasa, semakin banyaklah kosa katanya dipinjam oleh bahasa yang lain. Kerana itulah istilah perubatan Inggeris sebahagian besarnya dipinjam daripada kata Yunani dan Latin. Tiada sesiapa pun pernah mempersoalkan istilah bahasa Inggeris yang bersifat kelatinan. Tiada seorang pun sekarang yang mempertikaikan kemampuan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Sejarah telah merakamkan bahawa bahasa Melayu sudah pun berperanan sebagai bahasa perdagangan. Semenjak zaman kesultanan Melaka lagi, bahasa Melayu digunakan untuk urusan perniagaan dan perdagangan di pelabuhan di seluruh kepulauan Melayu, dari Sumatera ke Papua, di seluruh pelosok Nusantara ini. Pada masa sekarang pun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan oleh institusi kewangan, sektor insurans dan sektor peniagaan lain. Proses peminjaman kata dan istilah juga terus-menerus berlaku baik daripada bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa lain. Apabila perbankan Islam semakin banyak dilaksanakan maka banyaklah pula istilah Arab yang kita pinjam lalu timbullah nanti tanggapan bahawa istilah Melayu sudah kearaban. Dalam persaingan dan percampuran bahasa yang semula jadi sifatnya, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah untuk memastikan proses peminjaman ini berlaku mengikut peraturan dan petua bahasa Melayu agar istilah yang dipinjam itu dapat dieja, disebut dan digunakan mengikut kelaziman berbahasa Melayu yang baik, santun dan indah. Peranan ilmuwan Melayu juga harus lebih rancak menghasilkan tulisan ilmiah dalam pelbagai bidang dan genre agar bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu yang mempunyai pengaruh dan dipinjam pula oleh bangsa lain sehingga suatu hari nanti bahasa Inggeris juga bersifat kemelayuan. | Lain-lain | 12.03.2013 |