1.Beza mengangkat dan mengangkatkan dalam ayat 2. Penggunaan harus, patut dan mesti dalam ayat 3. Beza menjadi dan menjadikan dalam ayat 4. Beza memberI Dan memberikan dalam ayat | 1. Mengangkat bermaksud menggerakkan ke atas, menaikkan, meninggikan 2. membawa pergi atau membawa dari satu tempat ke tempat lain: 3. melantik, menaikkan (kedudukan, taraf, pangkat): Perkataan mengangkatkan pula bermaksud mengangkat untuk. Contohnya tolong angkatkan saya peti itu sebentar; ~ topinya akan memberi hormat. 2. Perkataan harus bermaksud: 1. tidak boleh tidak, tidak dapat tidak, mesti, patut, wajib; 2.boleh jadi, mungkin; 3. tidak mustahil (berlaku, terjadi, dsb) atau mungkin; dan 4. boleh dilakukan dan boleh pula ditinggalkan. Manakala perkataan mesti bermaksud: 1. tidak boleh tidak, wajib; 2. tentu; dan 3. patut, wajar. Berdasarkan makna tersebut dalam keadaan tertentu perkataan harus boleh saling berganti dengan perkataan mesti seperti ayat Kita mempunyai kepentingan sendiri yang harus/mesti dijaga. Manakala dalam keadaan yang lain pula kedua-dua perkataan tersebut tidak dapat bertukar ganti, seperti Harus seorang musuh itu bertukar menjadi seorang kawan dan Apa-apa yang dilakukan Kamal mestilah Aini tahu. 3. Perkataan menjadikan bermaksud menggunakan sebagai; membuat: Mereka telah menjadikan gua itu tempat persembunyian mereka. 2 melantik atau mengangkat sbg: 3 menyebabkan; menimbulkan: 4 mencipta; mewujudkan: Perkataan menjadi pula bermaksud dipilih atau diangkat sebagai; bekerja atau bertindak sbg 2 berubah kepada rupa (keadaan, bentuk dll) yang lain. 3 hidup (tumbuh) dengan suburnya; mendatangkan hasil yang banyak: 4. Perkataan "memberi" dan "memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan "memberi" hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala "memberikan" hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa, seperti memberi adiknya sebuah buku cerita dan memberikan taklimat kepada peserta.
| Tatabahasa | 22.07.2018 |
Saya difahamkan bahawa perkataan/istilah "IANYA" adalah tidak boleh digunakan. Kalau ini betul, istilah ini kini digunakan dengan meluas dalam hasil carian PRPM. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan "nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan atau digabungkan penggunaannya. | Makna | 18.05.2019 |
Cadangan ayat 'Dokumen rahsia rasmi ini ialah hak milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh disampaikan kepada sesiapa yang tidak memiliki autoriti'. Tepatkah penggunaan perkataan 'autoriti' dalam menyampaikan maksud ayat di atas? Iaitu sesiapa yang tidak memiliki kuasa yang dibenarkan tidak boleh mengakses dokumen berkenaan. | Perkataan "autoriti" boleh digunakan dalam contoh ayat yang diberikan, iaitu "Dokumen rahsia rasmi ini ialah hak milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh disampaikan kepada sesiapa yang tidak memiliki autoriti". | Makna | 17.07.2020 |
Anak tidak boleh melupakan jasa orang tuanya sendiri. Adakah ayat ini betul ? Perlukah sendiri diletak di belakang orang tuanya? Terima kasih | Ayat "Anak tidak boleh melupakan jasa orang tuanya" sudah memadai. Tidak perlu ditambah perkataan "sendiri" kerana sudah ada perkataan "nya" pada "orang tuanya". | Lain-lain | 20.03.2016 |
Salam, Yang mana satu betul? Menurut PRPM (tatabahasa) penggunaan "ianya" tidak boleh digunakan tetapi perkataan ini terdapat dalam Kamu Dewan ke-4, contoh: dendam: "Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu". | Untuk makluman, perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan 'nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan atau digabungkan penggunaannya. | Tatabahasa | 25.03.2017 |
Salam sejahtera. Pihak tuan menyatakan bahawa kata relatif “yang” boleh menjadi sebahagian daripada predikat, tetapi tidak boleh menjadi penanda predikat. Frasa “tidak boleh menjadi penanda predikat” agak mengelirukan. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata relatif ialah perkataan yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Dengan ini, “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis. Saya mengatakan demikian kerana ayat ini bukan ayat tunggal mahupun ayat majmuk pancangan. Kalau ayat tunggal, yang mana subjek dan yang mana predikat? Kalau ayat majmuk pancangan relatif, yang mana klausa utama, yang mana klausa kecil? Sekian, terima kasih. | Penanda predikat yang dimaksudkan ialah pola ayat, iaitu Subjek + Predikat dan predikat boleh terdiri daripada Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif atau Frasa Sendi Nama. Kami bersetuju dengan pandangan tuan, frasa “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis kerana kerana tiada predikat melengkapkan ayat. Kami mohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 29.11.2018 |
Salam Sejahtera, soalan saya untuk ucapan terima kasih, perkataan jutaan/ ribuan boleh disertakan atau tidak.? Jika tidak, boleh saya mengetahui sebab. Terima kasih. | Untuk makluman, tidak ada kesalahan sekiranya meletakkan perkataan jutaan/ribuan di hadapan perkataan terima kasih. Akan tetapi, di DBP pada kebiasaan tidak meletakkan perkataan tersebut kerana perkataan terima kasih sudah memadai dan mampu difahami. | Lain-lain | 08.01.2017 |
Bagi bahagian pilihan raya persekutuan, sempadan yang dibuat tidak boleh melangkau atau merentasi sempadan negeri yang lain. Manakala bagi bahagian pilihan raya negeri pula, sempadannya tidak boleh berada di dalam dua bahagian pilihan raya Persekutuan yang berbeza. Perlukan ayat "bahagian pilihan raya persekutuan" dan "bahagian pilihan raya negeri" dimulakan dengan huruf besar? | Ya, ayat tersebut perlu dimulakan dengan huruf besar seperti di bawah: 1. Bahagian Pilihan raya Persekutuan 2. Bahagian Pilihan raya Negeri | Lain-lain | 08.09.2017 |
adakah kedua-dua ayat di bawah membawa maksud yang sama atau sebaliknya 1) saya fikir saya tidak boleh lakukan 2) saya tidak fikir saya boleh lakukan ayat asal dalam bahasa inggeris iaitu: I don't think I can do | Ayat mengikut struktur bahasa Melayu yang betul adalah seperti yang berikut: - Saya fikir saya tidak boleh melakukan
- Saya tidak fikir yang saya boleh melakukan
Namun begitu, lazimnya lebih bersahaja dalam bahasa Melayu untuk menggunakan perkataan “rasa”. - Saya rasa saya tidak boleh melakukan
- Saya tidak rasa yang saya boleh melakukan
Sekian. Terima kasih. | Tatabahasa | 04.10.2017 |
Kata Pemeri "adalah" tidak boleh berada diawalan sesuatu frasa, adakah ini betul? Kata Hubung seperti "dengan" boleh berada diawalan sesuatu frasa, adakah ini betul? Bagaimana pula kata "segala"? | 1. Kata pemeri " adalah" tidak boleh berada/hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja, contohnya " Adalah diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok" . (2) Kata hubung " dengan" boleh berada /hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja, contohnya "Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok". (3) kata "segala" ialah kata bilangan tak tentu dan boleh digunakan di hadapan frasa kerja atau kata kerja. | Tatabahasa | 13.03.2019 |