makna perkataan..MENYALANG.. | nyalang 1. terbuka (mata), celik; 2. dapat melihat, tidak buta; menyalangkan membukakan (mencelikkan) mata, membelalakkan. | Istilah | 26.12.2006 |
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai. | Istilah | 03.12.2009 |
Apakah definisi buta huruf ? | Buta huruf bermaksud tidak pandai membaca dan menulis. | Makna | 28.06.2008 |
Mana satu betul? a) "Seorang orang buta" atau "Seorang buta"? b) "Menyediakan makan kepada para tetamu" ATAU "Menyediakan makanan untuk para tetamu." c) "Membeli makanan kepada anaknya" ATAU "Membeli makanan untuk anaknya" "Menjahit sehelai baju kepada anaknya" ATAU "Menjahit sehelai baju untuk anaknya". Soalan terakhir, betulkah perkataan "mengemop" tidak wujud dalam bahasa Malaysia? Terima kasih. | A) Yang betul ialah "Seorang buta". B) "Menyediakan makan kepada para tetamu" ATAU "Menyediakan makanan untuk para tetamu." - kedua-dua ayat ini betul C) Yang betul ialah "Membeli makanan untuk anaknya". D) Yang betul ialah "Menjahit sehelai baju untuk anaknya". E) Tidak ada contoh penggunaan kata mengemop dalam sumber rujukan kami, kami cadangkan perkataan tersebut ditukar kepada mengelap lantai. | Tatabahasa | 27.09.2010 |
Assalamualaikum. Boleh pihak tuan beri padanan tepat untuk istilah "double-blind study"? Contohnya, dlm kajian "double-blind", kedua-dua pesakit dan doktor tidak mengetahui kumpulan mana pesakit itu dikelaskan. Setiap kumpulan akan menerima rawatan yang berbeza untuk penyakit yang sama. Mengikut carian saya di prpm, saya dapati istilah-istilah berikut pernah diberikan sebelum ini utk "double-blind": 1. dubel-buta 2. dwibuta 3. buta duaan 4. gelap ganda Mohon pihak tuan perjelaskan yang mana yang paling tepat. Dan juga, dari manakah datangnya istilah "dubel" itu? Dan mengapa ia dieja bersempang, padahal penggunaan sempang dalam B. Melayu begitu jarang sekali dan amat spesifik, iaitu hanya utk kata jamak dan kata awalan yang diikuti dengan kata nama khas saja. Terima kasih atas pencerahan. | Padanan bahasa Melayu untuk istilah “double-blind” dalam bidang perubatan ialah gelap ganda atau dubel-buta. Istilah dwibuta dan buta duaan boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dan bidang. Mengikut Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, akhiran -le dipadankan dengan -el. Oleh itu, perkataan double menjadi dubel. Perkataan dubel-buta dieja sempang kerana mengikut bentuk istilah bahasa sumber. | Istilah | 13.04.2021 |
Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah “mencuri” tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu “jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta”. – Utusan Msia onlne / 8/9/2009 Apakah maksud ‘jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta’ ? Terima kasih. | Frasa tersebut tiada dalam rujukan kami. | Lain-lain | 05.02.2010 |
Assalamualaikum, Is it ok to use "MEMBABI BUTA" in a formal complaint letter? If not, can you suggest another peribahasa that gives the same impact and meaning? Terima Kasih. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud "membabi buta" ialah melakukan sesuatu dengan tidak berfikir lebih dahulu (mengamuk, merambang, dan lain-lain). Walau bagaimanapun untuk konteks yang lebih rasmi dan santun, kami mencadangkan tuan menggunakan perkataan "membuta tuli". | Makna | 17.06.2021 |
Assalamualaikum Tuan, Saya ucap jazakumullahu khairan atas perkhidmatan yang baik ini. Seterusnya ada satu penambahbaikan yang penting berkaitan huraian perkataan-perkataan tertentu yang ada hubungkait yang khusus dengan junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ , contohnya perkataan UMMI sepertimana dalam lamanweb, "ummi II Ar tidak berpendidikan (orang yg buta huruf): Nabi Muhammad ialah seorang ~; " kalau guna ayat contoh tentang Nabi ﷺ maka hendaklah jaga Adab berkaitan Nabi, kerana pembaca akan merasa ada elemen merendahkan khususnya bila bagi contoh tentang nabi setelah menulis tidak berpendidikan, perlu jelaskan disitu bahawa Nabi dididikan oleh Allah ﷻ sendiri, dan bahawa sifat Ummi (buta huruf) pada orang lain adalah kekurangan tapi pada Nabi adalah kesempurnaan serta mukjizat kerana ilmu Nabi yang sempurna. | Terima kasih kerana memberikan cadangan pembaikan takrif bagi kata pinjaman, khususnya bahasa Arab. Kami mengambil maklum berkaitan hal tersebut. Sebagai tambahan maklumat, sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 17.07.2023 |
Assalamualaikum Tuan, saya mendapat pertanyaan daripada seorang kawan berkenaan kata "tunaaksara". Tuna membawa maksud kerosakan atau kecacatan. Tunaaksara pula membawa maksud buta huruf. Soalannya, adakah perkataan "tunaaksara" juga boleh membawa maksud "huruf rosak?" Memandangkan "tuna" itu kerosakan manakala "aksara" pula bermaksud huruf. Sekian, terima kasih. | “Tunaaksara” merupakan perkataan yang berasal dari Jawa yang bermaksud tidak boleh membaca dan menulis atau buta huruf. Perkataan tersebut tidak membawa maksud huruf rosak. | Makna | 14.06.2022 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Encik Leong mengetepikan keretanya untuk memberi laluan kepada kereta ambulans yang (buta) itu. (b) Televisyen yang (buta) itu terpaksa diperbaiki semula. (c) Sesiapa pun tidak dibenarkan makan buah (asli) di hutan itu kerana beracun. (d) Datuk saya merupakan orang yang (asli) sekali dalam keluarga saya. (e) Makanan yang berlebihan itu disimpan di dalam peti sejuk supaya tidak (mati). (f) Pensel yang sudah (mati) itu saya buangkan ke dalam tong sampah. (g) Gambar bintang filem itu tidak elok diletakkan di ruang tamu kerana kelihatan tidak (bahasa). | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |