Saya ingin mencari buku sastera lama...sekitar 70an dan tidak ingat penulisnya serta terbitannya....Tajuk Buku itu ialah "Juara Yang Tewas" | Salam. Buku Juara yang Tewas, terbitan DBP, 1985 adalah karya Aripin Said. Sdr. boleh membuat rujukan kepada buku tersebut dengan datang sendiri ke perpustakaan atau Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, atau di mana-mana perpustakaan yang berhampiran dengan tempat tinggal sdr. Sekian dan wassalam. | Lain-lain | 06.08.2009 |
apakah beza sedar, prasedar dan tidak sedar? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat makna sedar ialah 1. tahu dan ingat (akan keadaan yang sebenarnya), insaf,mengerti.2. ingat kembali, bangun atau jaga(drp. tidur),siuman semula. Pra- bermaksud sebelum. Oleh itu prasedar bermaksud sebelum sedar. Tidak sedar pula mempunyai maksud yang berlawanan dengan maksud di atas. Oleh itu tidak sedar bermaksud antaranya tidak tahu dan tidak ingat. | Makna | 10.01.2008 |
Apa beza HAFAL dengan INGAT? Adakah bezanya spt memorize dan remember? | Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, ingat ditakrifkan sebagai masih ada dalam fikiran, tidak lupa:2. timbul lagi dalam fikiran, tahu, sedar 3. (dalam keadaan) sedar, siuman. Manakala hafal ialah sudah masuk betul dalam ingatan (tentang pelajaran) tanpa perlu melihat buku atau catatan; | Tatabahasa | 12.10.2013 |
kenapa perkataan mengecamkan dipilih dan bukan mengecam sedangkan kedua-duanya sama maksud? | Merujuk Kamus Dewan Edisi keempat, mengecam ialah kenal atau ingat kembali rupa dsb seseorang atau sesuatu yg telah dilihat atau didengar sebelumnya. Mengecamkan pula ialah memerhatikan (seseorang atau sesuatu) dgn sungguh-sungguh (supaya dapat mengenalinya atau ingat akannya kemudian), mengamat-amati (supaya tidak lupa kelak). Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi keempat. harap maklum. | Makna | 02.07.2008 |
Salam semua,tolong saya untuk memahami pelajaran kesusasteraan dengan pendekatan@pembelajaran ini secara mudah agar senang di ingat dan di pelajari. | Waalaikumusalam wbk. Berhubung dengan pertanyaan sdr itu, sebenarnya tidak ada kaedah khusus untuk mudah menguasai pelajaran kesusasteraan. Dalam hal ini yang teramat penting ialah bergantung kepada minat yang timbul dalam diri individu dan rajin membaca bahan kesusasteraan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 01.12.2008 |
apa makna hemat | Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, hemat ialah tidak boros atau membazir (dlm membelanjakan wang atau menggunakan sesuatu), cermat, jimat: kalau ingin kaya kita harus berbelanja dgn ~; 2. dgn penuh perhatian (minat dll), dgn teliti, cermat, hati-hati, berhati-hati, berwas-was, beringat-ingat, berjaga-jaga. Harap maklum. | Makna | 07.01.2008 |
Kami menerima dua jawapan yang berbeza daripada pihak tuan. Mohon pencerahan, yang manakah yang paling tepat antara ayat di bawah (kedua-dua ini adalah jawapan yang diberikan oleh pihak DBP: a) Soalan : Mohon tuan yang bijaksana semak ayat yang manakah menggunakan tanda baca yang betul?: (1) a) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "mungkin dia diperangkap." b) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung. "Mungkin dia diperangkap." Jawapan : Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." -24 Nov 2011 b) Soalan : Mohon penjelasan pihak tuan/puan. Ayat berikut adalah ayat yang diucapkan secara putus-putus. Yang manakah lebih tepat? a) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." b) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "Kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." Jawapan : Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku."-27 Januari 2012 | Sila rujuk petikan di bawah yang diambil daripada novel Kuntum Tulip Biru, karya SN Arena Wati, terbitan DBP dan bandingkan dengan ayat contoh yang saudara sertakan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. "Mariani rindu makanan Asia," kata David sambil ketawa. "Kami harap segera dapatkan rumah, biar saya rasamasakannya sebelum saya pulang ke Amerika." "Kalau tidak kuat, hentikan. Macam saya. Kaulihat. Kerja saya banyak. Saya tinggalkan!" Ninik kembali merenung Pamela. "Kau akan kemukakan supaya kejadian hari ini dibincang?" Berdasarkan petikan tersebut setiap ayat dalam pengikat kata dimulakan dengan huruf besar, namun tanda baca yang sebelum pengikat itu juga perlu jelas, iaitu noktah bukan tanda koma (walaupun ayatnya pendek). Maka huruf dalam pengikat tersebut dimulakan dengan huruf besar besar. Pada masa akan datang kami cadangkan saudara merujuk buku Gaya Dewan dan juga buku terbitan DBP yang banyak menggunakan tanda baca seperti buku teks dan novel. | Ejaan | 31.01.2012 |
Adakah imbuhan apitan memper..... i hanya boleh digunakan untuk empat perkataan sahaja iaitu 'suami' , 'isteri', 'ingat', 'kawan' ? Bagaimanana dengan perkataan 'memperkebuni', adakah betul ataupun salah? Terima kasih | Kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Apitan memper... i ini wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk berikut yang wajar dianggap sebagai jeis kata kerja yang terbentuk dengan apitan ini, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami, memperisteri. Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper....i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 211-212. Harap maklum. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Pihak DBP yang dihormati, kuih ialah ejaan baharu bagi kueh. bolehkah saya mendapatkan penjelasan mengapakah ejaannya tidak seperti sebutannya iaitu 'kueh'? Terima kasih DBP | Ejaan kuih dieja mengikut sistem ejaan Rumi sekarang. Dalam sistem ejaan Rumi sekarang, terdapat 18 pola keselarasan huruf vokal yang utama seperti yang berikut: 1. a-a (asah, balak) 2.a-i (alih, balik) 3. a-u (asuh, datuk) 4. e pepet - a (emas,kelam) 5.e pepet -i (lebih, betik) 6. e pepet - u (telur, tempuh) 7. e taling - a (elak, dewan) 8. e taling - e taling (leceh, gelek) 9. e taling - o (esok, telor) 10. i - a (ingat, kilang) 11. i - i (intip, sisih) 12. i - u (riuh, tidur) 13. O - a (otak, borang) 14. O - e taling (oleh, boleh) 15. O - o (obor, borong) 16. u - a (ubat, tumpang) 17. u - i (usik, kuih) 18. u - u (untuk, tunduk) Maklumat lanjut, sila rujuk buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu, penyusun Encik Ismail Dahaman. | Ejaan | 21.05.2010 |
Hal ini demikian kerana apabila seseorang guru...Soalan 1 : Bolehkah kata 'kerana + apabila' dalam sesuatu ayat? Soalan 2 : 'kerana' dalam ayat tersebut kata keterangan atau kata hubung? | Kerana dan apabila ialah kata hubung keterangan dan kita harus ingat kedua-dua perkataan tersebut mempunyai maksud yang berbeza dan sudah pastilah penggunaannya pun tidak sama. Oleh itu, kata keterangan kerana dan apabila boleh hadir dalam satu ayat. Contoh ayat: "Tentulahlah sajak ini tidak baik kerana apabila dibaca bunyinya berbeza" dan "Dia tetap berdolak-dalik apabila disoal kerana takut keadaan yang sebenar tentang dirinya diketahui orang". | Tatabahasa | 29.05.2011 |