Frasa mana yang betul? langsung tidak atau tidak langsung | Kedua-dua frasa tersebut betul bergantung pada konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 19.08.2009 |
Kemasukan pendatang asing ke Malaysia boleh mempercepat pembangunan negara, namun secara tidak langsung telah (membawa/mengundang) gejala sosial. Perkataan "membawa/mengundang" sesuai digunakan dalam ayat di atas? Boleh berikan penjelasan?Terima kasih. | Ayat yang betul ialah; Kemasukan pendatang asing ke Malaysia boleh mempercepat pembangunan negara, namun secara tidak langsung telah membawa gejala sosial. - membawa bermaksud mendatangkan, mengakibatkan, menyebabkan. | Tatabahasa | 30.11.2010 |
1.Contoh wacana langsung dan tidak langsung 2.Ciri-ciri wacana | Sila rujuk buku-buku ini 1. Analisis Wacana | Eriyanto | 2001 Sekiranya sdr ingin meminjam buku ini di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP, sdr dikehendaki menjadi ahli Rakan Dewan. | Lain-lain | 15.02.2008 |
Tuan, apakah peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu secara langsung dan tidak langsung dalam dunia pendidikan mutakhir ini terutama di sekolah rendah dan menengah? | Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu telah melaksanakan pelbagai usaha dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan. Dalam bidang bahasa usaha pemartabatan bahasa Melayu dilaksanakan melalui kegiatan dan program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. Pelbagai kamus, contohnya kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus dalam bahasa lain diusahakan. jutaan istilah dibentuk dan disebarkan kepada masyarakat pengguna bahasa di sektor awam dan swasta. kerja-kerja penyelidikan tentang korpus bahasa dan bidang linguistik lain terus dilaksanakan untuk mencari dan menentukan rumus-rumus bahasa bagi memantapkan lagi pedoman dan hukum tatabahasa yang sedia ada. Dari segi pengembangan pula, pelbagai kegiatan dan program dilaksanakan bagi memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa di sektor awam, swasta, pendidikan dan masyarakat umum. Kegiatan seperti pidato, debat, seminar, kursus bahasa, forum dan pelbagai majlis wacana ilmu dilaksanakan di pelbagai sektor pengguna bahasa. Untuk maklumat lanjut sila rujuk makalah/buku yang berkaitan. | Lain-lain | 16.07.2010 |
1.TAKRIFAN TATABAHASA-BERAPA TOKOH BAHASA. 2.OBJEKTIF PENGAJARAN TATABAHASA. 3.PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN TATABAHASA. 4.CONTOH PENGAJARAN TATABAHASA SECARA TIDAK LANGSUNG. | Pertanyaan saudara ini berbentuk tugasan pelajar. Saudara perlu membuat kajian dan penelitian yang lebih terperinci. Kami mencadangkan beberapa tajuk buku, jurnal atau makalah yang berkaitan dengan tugasan untuk memudahkan pelajar menyiapkan tugasan tersebut. Sila klik/ layari laman web kami dan klik domain Buku atau Artikel. Saudara juga boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, Menara DBP untuk membuat rujukan akademik atau mana-mana perpustakaan lain yang berhampiran. | Lain-lain | 02.06.2013 |
Bagi perkataan "indirectness", apakah terjemahan yang terbaik bagi perkataan ini? | Padanan kata Bahasa Melayu yang betul bagi "indirectness" ialah tidak langsung. | Makna | 30.12.2009 |
Tuan, apakah peranan DBP: 1. Secara langsung kepada sekolah 2. Secara tidak langsung kepada sekolah | Assalamualaikum, Saudari Ramziah. 6 fungsi utama DBP ialah: 1. Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. 2. Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. 3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain. 4. Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. 5. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. 6. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Berdasarkan fungsi utama di atas, peranan secara langsung DBP kepada sekolah adalah yang berkaitan dengan usaha penyebaran ilmu pengetahuan melalui penerbitan buku dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia seperti berikut: 1. Menerbitkan buku teks untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah. 2. Menerbitkan majalah yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa. Majalah-majalah lain yang juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar ialah Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Ekonomi. Dewan Kosmik dan Dewan Bahasa. 3. Menerbitkan Kamus untuk kegunaan pelajar misalnya KAMUS MELAYU-INGGERIS (EDISI PELAJAR), KAMUS ARAB-MELAYU RENDAH DEWAN, KAMUS MELAYU-INGGERIS DEWAN, KAMUS TAMIL-MELAYU DEWAN, KAMUS MANDARIN-MELAYU DEWAN dan banyak lagi. Kesemua kamus ini masih dalam proses penerbitan dan ada yang dijangka terbit dalam tahun 2010 dan 2011. Manakala peranan secara tidak langsung adalah yang berkaitan dengan usaha mengembangkan minat pelajar serta guru dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi serta memupuk minat dan bakat dalam bidang kesusasteraan seperti penulisan, pembacaan, penghasilan karya, kebudayaan dan sebagainya melalui pelaksanaan aktiviti yang melibatkan pelajar dan guru seperti berikut: 1.Program Kebahasaan: -Pertandingan Forum Pelajar (untuk pelajar sekolaj jenis kebangsaan) -Pertandingan Forum Remaja - Peraduan Mengarang Esei -Pertandingan Koir -Pertandingan Deklamasi Puisi -Pertandingan Pidato -Pertandingan Bercerita 2.Program pengembangan kesusasteraan : 1. Sesi bercerita. 2. Program 'Seronoknya Membaca'. 3. Minggu Penulis Remaja. 4.Bengkel Penulisan Hadiah Tunas Remaja. 5. Program Kelab Tunas Renaja. 6. Kuiz Sastera Perdana 7. Bengkel Penghayatan Sastera KOMSAS untuk Guru. 8. Bengkel Teknik Bercerita Untuk Jurulatih(Guru) 9. Ceramah Sastera di sekolah. 10. Bengkel Penulisan untuk Pelajar Sekolah dan lain-lain lagi. Selain aktiviti yang dinyatakan di atas, sebenarnya ada banyak lagi yang tidak disebutkan. Terdapat program atau aktiviti yang berlainan dilaksanakan oleh DBP di peringkat cawangan seperti Sabah dan Sarawak dan di pejabat Wilayah DBP di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. Namun kesemuanya menjurus ke arah matlamat meningkatkan kecintaan dan kemahiran penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar dan guru. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan oleh DBP melalui kerjasama dengan pihak lain seperti sekolah, Jabatan Pelajaran Malaysia di peringkat negeri serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain. Sekian terima kasih. AZHAR MOHD. DORA Bhg. Dasar dan Pembangunan Korporat DBP azhar@dbp.gov.my | Lain-lain | 12.07.2010 |
kepentingan bahasa eufemisme dalam kehidupan manusia? | Eufemisme bermaksud ungkapan yang lebih lembut (sopan, manis, dan sebagainya) untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar. Secara tidak langsung ungkapan ini menggambarkan ketinggian budi pekerti penuturnya dalam pertuturan harian, contohnya Ali meminta diri untuk keluar membuang air kecil. | Lain-lain | 01.08.2009 |
Soalan : Mohon semak ayat - tatabahasa. Walaubagaimanapun, pihak Kementerian dan pihak-pihak lain yang terlibat dengan penyediaan dan penerbitan Kod ini tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian, kerosakan atau kecederaan yang berbangkit secara langsung atau tidak langsung akibat sebarang Akta atau Peraturan-peraturan dengan penerimaaanpakai Kod ini. | Puan Rozita, Ayat yang betul ialah - Walau bagaimanapun, pihak kementerian dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam penyediaan dan penerbitan kod ini tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian, kerosakan atau kecederaan yang berlaku secara langsung atau tidak langsung mengikut akta atau peraturan jika kod ini diterima pakai. | Tatabahasa | 04.10.2010 |
Mohon nasihat tentang ayat ini sama ada salah dari tatabahasa atau membawa maksud yang salah "Secara amnya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak merupakan satu dokumen yang mengandungi pernyataan secara umum mengenai prinsip, piawaian dan prosedur yang menjadi amalan organisasi dan individu semasa berurusan, secara langsung atau tidak langsung, dengan knak-kanak." | Secara amnya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak merupakan satu dasar yang menyatakan prinsip, paiwaian dan prosedur secara umum yang menjadi amalan organisasi dan individu semasa berurusan secara langsung atau tidak langsung dengan kanak-kanak. | Tatabahasa | 12.05.2008 |