makna konservetif | Konservetif tiada makna. Namun demikian, jika kata yang dimaksudkan konservatif, maksudnya menurut Kamus Dewan ialah bersikap mempertahankan adat, nilai, dll yg telah menjadi kelaziman atau tradisi, tidak mudah menerima perubahan. Contoh ayatnya ialah: Usul supaya sistem pelajaran dirombak telah ditentang hebat oleh pihak konservatif. Kata konservatif juga dapat digunakan untuk makna bagi kata kolot atau tidak moden. | Makna | 13.11.2006 |
1) Apakah definisi kampung tradisional dan ciri-ciri kampung tradisional 2) Apakah definisi bandar metropolitan | 1. Tidak ada definisi khusus untuk kampung tradisional dan ciri kampung tradisional dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat definisi "kampung" dan "tradisional" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. iaitu: i. kampung bermaksud 1. kawasan kediaman (terdiri daripada sekumpulan rumah dll) di luar bandar, desa, dusun 2. kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok 3. (kiasan) tidak moden, agak kolot 4. bukan dihasilkan (dipelihara dll) dengan cara pengurusan moden, terpelihara (terhasil, terjaga, dll) cara kampung ii. tradisional bermaksud berkaitan dengan, bersifat, atau mengikut tradisi, 2. Dalam bidang Geografi, istilah bandar metropolitan bermaksud sesebuah bandar yang terlalu besar atau sebuah kawasan bandar yang diperluas. | Makna | 29.11.2012 |
jelaskan maksud dan teori asas kesusasteraan secara teperinci. | Teori asas kesusasteraan kebiasaannya merujuk kepada bidang sastera tertentu. Ini tidak termasuk teori kesusasteraan moden yang disesuaikan dengan teori Barat. Contoh yang paling mudah ialah tentang senario kesusasteraan di Malaysia. Sebagai contoh, apakah titik tolak yang memisahkan antara sastera tradisi dengan moden di Malaysia. Ada pendapat (teori) mengatakan bahawa kesusasteraan Melayu moden bermula sekitar tahun 1800-an apabila mesin cetak diperkenalkan di Tanah Melayu seperti tersebarnya akhbar dan percetakan novel, seperti novel Faridah Hanum, Hikayat Asyik kepada Maksyuknya ketika itu. Sungguhpun begitu, pendapat Syed Naquib al-Attas melalui teori yang mengatakan bahawa kesusasteraan Melayu moden bermula dengan karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri yang memenuhi sifat-sifat karya moden seperti terdapat dalam karya beliau, Syair Burung Pingai, Syair Perahu dan sebagainya, yang sarat dengan unsur-unsur intelektualisme, saintifik, dan internasional sifatnya. | Makna | 16.07.2006 |
saya pelajar tingkatan enam bawah. sekolah saya tidak menyediakan pinjaman buku teks dan saya kekurangan buku rujukan. saya ingin tahu fungsi bahasa melayu moden | Bahasa Melayu moden bermula pada abad ke-19 iaitu setelah kedatangan penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Untuk maklumat lanjut tentang bahasa Melayu moden termasuklah fungsi sila rujuk buku/artikel yang berkaitan kerana tajuk ini memerlukan kajian dan pembacaan lanjut. | Lain-lain | 04.06.2009 |
Saya ingin bertanya tentang definisi istilah moden klasik,kerana kini definisi sedemikian banyak diketengahkan dalam pelbagai aspek.Terima kasih | Dalam data kami, tiada istilah moden klasik. Hanya terdapat perkataan moden dan klasik. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, moden ialah dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru, cara (kaedah) baru, mutakhir. Manakala, klasik pula ialah serius dan abadi nilainya; dia tidak gemar kepada muzik klasik; 2. tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain: sajak-sajak yang demikianlah suatu ciptaan seni yang sempurna, berhak disebut sebagai sesuatu yang klasik; 3. (pakaian, reka bentuk) yang mempunyai gaya yang sederhana dan tidak berubah mengikut masa: mereka mementingkan gaya baru tetapi klasik; 4. mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat yang lazim (tipikal): satu contoh klasik ialah Persidangan Undang-Undang Laut. | Tatabahasa | 02.04.2013 |
kebanyakan kanak-kanak tidak betapa berminat dalam membaca kerana banyak infrastruktur moden telah diciptakan. ayat ini betul?? | Kebanyakan kanak-kanak kurang minat membaca kerana ciptaan pelbagai alatan moden. | Tatabahasa | 26.07.2013 |
selamat sejahtera. apakah perbezaan diantara puisi dan sajak? bolehkah diterangkan perbezaan susunan antara kedua-dua tersebut? sekian,terima kasih. | SAJAK ialah sebuah hasil puisi moden yang tidak terikat dengan ciri-ciri puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan seumpamanya. Manakala puisi ialah semua jenis karangan berangkap termasuklah sajak. | Lain-lain | 19.04.2007 |
Apakah yang boleh diperkatakan tentang kesusasteraan, sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden, termasuk bentuk-bentuk serta aliran-aliran dalam penulisan sastera. | Saudara yang dihormati, Penyelidikan dan penulisan sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden sebagaimana lazim dilakukan ialah secara pengtarikhan, termasuklah tahun, dekad dan dilaksanakan juga secara generik. Penulisan sejarah sastera kesusasteraan Melayu tradisional yang sering dilakukan ialah pertama menjelaskan konsep dan pendekatan, latar belakang sejarah, perbincangan mengikut genre seperti sastera rakyat, sastera hikayat, sastera panji, sastera epik, sastera sejarah, cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam, sastera kitab, sastera undang-undang dan ketatanegaraan, serta kepustakaan ilmu tradisional. Penulisan sejarah kesusasteraan Melayu moden juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu latar belakang sejarah, dikuti dengan kajian dan penulisan mengikut genre seperti cerpen, puisi, , novel, drama dan esei kritikan mengikut dekad kemunculannya. Perbincangan setiap genre secara tidak langsung meliputi latar belakang perkembangan, bentuk, teknik, bahasa, tema, pendekatan, aliran pemikiran dan sebagainya. Saudara boleh menentukan cakupan dan batasan kajian mengikut keperluan dan objektif kajian sejarah yang akan dilaksanakan. Buku sejarah kesusasteraan Melayu tradisional dan moden yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dapat dijadikan bahan rujukan yang berguna, antaranya ialah buku Kesusasteraan Melayu Tradisional (1993, 2000) dan Sejarah Kesusasteraan Melayu jilid 1 dan jilid 2 (2006). Buku-buku lain yang dihasilkan oleh A. samad Ahmad, Liaw Yock Fang , Wilkinson dan Winstedt juga bermanfaat sebagai bahan rujukan. Salam takzim. | Lain-lain | 15.10.2010 |
Integrity(bahasa ingeris)=integriti(bahasa Malaysia moden)=ketulusan hati\kejujuran\keutuhan(bahasa Malaysia sebenar). Diragukan BM moden ini tanpa disedari akan menggalakkan rakyat Malaysia bertutur dalam bahasa 'rojak' dan berbahaya jika kita ingin mempertabatkan Bahasa Malaysia. | Saudara Mohd. Hafiz, Perkataan 'integriti' diterima dalam bahasa Melayu sebagai variasi kepada perkataan ketulusan, kejujuran, keutuhan dalam usaha mempelbagaikan dan memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu bagi memberi pengguna lebih banyak pilihan kata. Penyerapan kata ini ke dalam bahasa Melayu tidak akan menggalakkan bahasa rojak kerana proses penyerapannya dibuat mengikut tatacara penyerapan kata daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu seperti yang ditentukan dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah, manakala bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dalam ayat, frasa atau wacana. | Lain-lain | 22.03.2010 |
bagaimanakah bahasa asing mempengaruhi perkembagan bahasa melayu, khususnya di sekolah-sekolah di malaysia? | Bahasa Melayu seperti bahasa moden yang lain tidak terlepas menerima pengaruh daripada bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu dututurkan oleh ratusan juta manusia daripada pelbagai etnik dan bangsa sudah pasti pesat berkembang dan dalam proses tersebut sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh bahasa-bahasa lain. Soalan saudara sebenarnya terlalu luas untuk dibincangkan dalam wahana yang sebegini dan memerlukan kajian dan pembacaan yang banyak. Oleh itu, kami sarankan saudara merujuk makalah atau buku yang berkaitan dengan tajuk tersebut. | Lain-lain | 28.11.2009 |