bersopan santun mempunyai sengkang di antara atau tidak? perlu tulis berspan santun atau bersopan-santun?? Terima kasih.... | Perkataan bersopan santun dieja tanpa tanda sengkang. | Tatabahasa | 03.07.2013 |
tidak gelojoh ketika makan. apakah nilai murni yang sesuai bagi ayat berikut sama ada berbudi bahasa atau bersopan santun. terima kasih | Kedua-duanya boleh digunakan. Yang paling hampir ialah bersopan santun. | Tatabahasa | 20.01.2013 |
Adakah "dalam kata lain" sesuai digunakan dalam penulisan rasmi? | Pada pandangan kami, frasa tersebut tidak sesuai digunakan kerana frasa tersebut tidak objektif dan tidak jelas. Surat rasmi mempunyai format khusus, penggunaan bahasa yang betul, mengandungi rujukan dan tarikh, pengolahan idea yang tepat dan santun. | Lain-lain | 14.02.2019 |
APAKAH MAKSUD BAHASA??? | Saudara Suraya, Perkataan bahasa bermaksud 1. sistem lambang bunyi suara yg dipakai sbg alat perhubungan dlm lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dgn individu yg lain dsb): ~ Melayu; ~ Tagalog; 2. percakapan yg baik, tingkah laku yg baik, sopan santun; kurang ~ kurang sopan; tidak tahu ~ tidak sopan santun; ~ alamiah = ~ tabii bahasa yg digunakan oleh manusia dlm keadaan semula jadi; ~ asing bahasa selain bahasa ibunda, yg biasanya dipelajari secara formal atau sebaliknya. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 106. | Makna | 12.02.2010 |
Apakah bahasa istana bagi perbendaharaan kata 'bercadang'? Terima kasih. | Tidak ada maklumat tentang perkara berkenaan, bagaimanapun dalam menzahirkan sesuatu lazimnya digunakan perkataan berhasrat yang kelihatan lebih santun. | Tatabahasa | 01.06.2016 |
"Aku mohon maaf jika terdapat kesilapan semasa mangacarakan majlis ini," kata juruacara itu. 1) Perlukah imbuhan 'me-' dibubuh pada perkataan 'mohon'? 2) Adakah penggunaan perkataan 'mengacarakan' betul dalam ayat ini? Jika tidak, apakah perkataan yang sesuai dalam situasi sebegitu? Terima kasih. | 1) "Memohon" boleh juga digunakan kerana penggunaan perkataan itu lebih santun. 2) Penggunaan perkataan "mengacarakan" betul kerana ia bermaksud menjadikannya sebagai salah satu acara atau memasukkannya ke dalam susunan rancangan. Dalam contoh ayat yang diberi, sebaik-baiknya kata ganti nama diri pertama "aku" ditukar kepada "saya" bagi menjadikan ayat lebih santun. | Tatabahasa | 03.04.2009 |
Soalan 1. Apakah yang dimaksudkan bahasa tidak sopan atau kasar? 2. Apakah jenis-jenis bahasa tidak sopan atau kasar? 3. Apakah sebab-sebab timbulnya bahasa tidak sopan atau kasar ini? Terima kasih. | Bahasa kasar ialah bahasa yang digunakan apabila berhubung dengan teman-teman karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga. Untuk lebih memahami tentang tajuk tersebut, rujuk buku yang berkaitan dengan santun bahasa, artikel atau kertas kerja yang berkaitan dengan tajuk berkenaan. | Lain-lain | 25.09.2011 |
Salam, saya ini tahu takrif dan perbezaan maksud 'kesopanan dan kesantunan' berserta contoh. Saya ada membaca aktikel menulis tajuk kesopanan di dalam masyarakat Melayu. Kenapa tidak di tulis kesantunan di dalam masyarakat Melayu. Diharap pihak tuan dapat membantu saya | Merujuk Kamus Dewan sopan dan santun sama maknanya, iaitu halus budi bahasa dan tingkah lakunya. Oleh itu, penggunaan salah satu daripada perkataan tersebut sudah memadai. | Tatabahasa | 05.10.2011 |
salam. ingin mengetahui maksud perkataan MORAT-MARIT, COMOT-MOMOT,CORENG-MORENG, BEJANA, BASA-BASI dan perkataan berlawan MELABUHKAN | Morat-marit ialah tidak teratur. Comot-momot pula ialah sangat kotor, manakala coreng- moreng bermaksud penuh dengan coreng. Bejana bermakna bekas (air dll), balang, jambang. Basa-basi ialah adat istiadat, sopan santun. Untuk mengetahui maksud sesuatu perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Harap maklum. | Makna | 17.06.2008 |
boleh tolong respons terhadap surat pembaca ini? saya yakin pihak dbp tidak harus dipersalahkan seperti yang dinyatakan oleh penulis ini. http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140627/fo_02/DBP-Ramadan-dan-Ramadhan terima kasih | Terima kasih atas maklumat yang diberikan. Maklumat awal dan ringkas yang dapat diberikan, dalam bahasa Melayu, terdapat kata serapan daripada bahasa-bahasa asing berdasarkan kaedah penyerapan. Dengan kaedah ini kata asing diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaannya supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan Melayu. Penyerapan berlaku sepanjang masa dan kita dapat lihat bahawa kata yang diambil daripada sesuatu bahasa tertentu sesuai dengan aspek peradaban atau butir budaya oleh komuniti bahasa berkenaan ke alam Melayu. Misalnya, kata yang diambil daripada bahasa Arab sebahagian besarnya merupakan kata dalam leksikon agama Islam, seperti zamalah, tazkirah, mesyuarat, wuduk, solat dan Ramadan. Di sinilah peranan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah untuk memastikan proses peminjaman ini berlaku mengikut peraturan dan petua bahasa Melayu agar perkataan yang dipinjam itu dapat dieja, disebut dan digunakan mengikut kelaziman berbahasa Melayu yang baik, santun dan indah. | Lain-lain | 01.07.2014 |