Apakah penggunaan kata sendi yang betul bagi ayat di bawah? 1. Dia taat pada suami. 2. Dia taat akan suami. Mohon penjelasan. Terima kasih. | Kedua-dua contoh ayat yang diberikan tidak sesuai penggunaan kata sendinya. Penggunaan kata sendi yang lebih tepat ialah "Dia taat kepada suami". | Tatabahasa | 28.02.2015 |
APA PENGERTIAN DAN PERBEZAAN DIANTARA "MUTLAK" DAN "SEJATI" | Saudara, Makna perkataan mutlak : 1. tidak terbatas (hak, kuasa, dll), tidak bersyarat (tidak ada kecualinya), tidak berbelah bagi (taat setia dll), lengkap, penuh, umum: Belanda bersetuju utk memberi pengakuan segera dan ~ serta tanpa syarat terhadap kedaulatan Republik; perhubungan mereka adalah berasaskan taat setia yg ~ kpd perintah tinggi; hak ~ hak penuh; syarat ~ yg mesti ada (tidak boleh tidak); wakil ~ wakil penuh; 2. suci; air ~ air yg suci dan boleh menyucikan (spt air hujan dll); Makna perkataan sejati: asli, murni, tulen, tidak bercampur, yg sebenarnya: Encik Hasan ini bukan ~ Johor, dia kacukan Kelantan dan Melaka; Hamidah seorang wanita ~; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 01.12.2009 |
Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? | Soalan: Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? Jawapan: Boleh. | Lain-lain | 10.07.2014 |
saya Fateenee Sa-mae, belajar di Universiti fatoni kelas dasar ,ingin bertanya DBP perkataan taat atau taah dalam bahasa Melayu, perkataan ini berasal dari bahasa apa? dan apa maknanya? | Data tentang etimologi kata tidak ada dalam sumber rujukan kami kecuali sebahagian kecil kata yang diberikan maklumat tentang asal kata dalam Kamus Dewan. Untuk makluman puan, secara umumnya kebanyakan kata yang mempunyai kaitan dengan laras agama berasal daripada bahasa Arab, begitulah juga dengan kata taat. | Tatabahasa | 22.09.2014 |
Merujuk kepada soalan yang ditanya pada 10/07/2014 dan jawapan yang diberi pada hari yang sama. Soalan: Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? Jawapan: Boleh. Ini ialah soalan nilai murni yang keluar dalam peperiksaan percubaan Bahasa Melayu (SJKC) pada 8/7/2014, jawapan yang diberi oleh cikgu sekolah ialah bertimbang rasa, Walaupun saya menyuarakan pendapat saya dan jawapan yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dia tidak menerima jawapan taat kepada ibubapa. Apakah cara yang ada untuk saya rujuk kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang mengenai jawapan kepada soalan ini ? Apakah sumber atau personel yang boleh menolong saya dalam hal ini ? | Untuk makluman, dalam hal peperiksaan pihak yang menganjurkan peperiksaan dalam hal ini ialah pihak sekolah merupakan pihak yang berhak dalam hal ehwal peperiksaan termasuklah jawapan kerana sudah pasti pihak sekolah menyediakan soalan bersama dengan jawapan/ skema jawapan yang telah dipersetujui oleh pihak panitia. Jawapan kami sekadar pandangan kami, namun jawapan guru berdasarkan skema yang telah dipersetujui. Perlu diingat bahasa ialah sesuatu yang subjektif dan berkemungkinan boleh menerima pelbagai jawapan daripada satu soalan. Namun pihak penganjur mempunyai kuasa untuk memilih jawapan terbaik yang dirasakan betul berasaskan kewajaran tertentu. | Lain-lain | 15.07.2014 |
Yang mana ayat yang betul antara "Sebab itu semenjak mereka masih kecil lagi kedua-dua adik-beradik itu telah diajar supaya taat beragama" atau "Sebab itu semenjak mereka masih kecil lagi kedua-dua beradik itu telah diajar supaya taat beragama" | Kedua-dua ayat contoh yang diberikan itu tidak tepat dari segi tatabahasa. Ayat tersebut tergantung, tiada subjek dan tidak lengkap. | Tatabahasa | 29.10.2009 |
Saya merupakan pelajar PhD, setelah VIVA, didapati perkataan religiositi tidak dapat dikenal pasti. Tajuk kajian saya adalah PENGARUH PEMANTAUAN IBU BAPA, KOMUNIKASI IBU BAPA, RELIGIOSITI DAN PERSONALITI TERHADAP TINGKAH LAKU DEVIAN REMAJA DI MALAYSIA. Selain itu, sebelum ini saya telah memberi cadangan Saran Kata berkaitan perkataan "religiositi" , pada tarikh 10 Mac 2022. | Religiosity diterjemahkan kepada keagamaan, iaitu yang berkaitan dengan perihal agama. Walau bagaimanapun, dalam konteks penggunaan yang dinyatakan "kewarakan/sifat warak" sesuai digunakan, iaitu sifat yang dikaitkan dengan orang yang taat beragama. Tiada perkataan relegiositi dalam bahasa Melayu kerana keagamaan/kewarakan/sifat warak telah mencakup makna tersebut. | Istilah | 20.05.2022 |
Soalan saya yang bertarikh pada bulan 9 masih belum terjawab, izinkan saya bertanyakan soalan tersebut semula. Selamat pagi, Adakah perkatan "maka" boleh dijadikan sebagai penanda wacana? Jika ya, adakah ia disertai tanda koma selepasnya? Cth: Maka perempuan-perempuan yang solehah itu adalah yang taat (kepada Allah dan suaminya) ... Terima kasih. | "Maka" merupakan penanda wacana bagi penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Ia tidak perlu disertakan tanda koma. | Tatabahasa | 02.10.2020 |
Salam Tuan/Puan Bolehkah pihak DBP memberi komen kepada hasil nukilan saya seperti di bawah. Untuk pengetahuan pihak DBP saya tidak berapa pasti apakah hasil nukilan saya ini puisi atau sebaliknya. Saya juga ingin mendapatkan komen daripada pihak DBP sama ada hasil nukilan ini layak untuk di siarkan di mana-mana majalah atau surat khabar. Terima kasih dengan komen yang akan diberikan. Anak-anakku kau umpama cahaya matahari Yang tidak pernah jemu menyinari bumi Begitu juga kalian menyinari kehidupan ayah dan umi Anak-anakku Kecerian terpancar di wajah dan senyum di bibir kalian Sungguh mendamaikan dan menyejukkan umpama air sungai yang mengalir tenang Anak-anaku Kaulah harta yang paling bernilai di dunia ini Diri kalian tidak boleh di jual beli Jika hilang tidak akan muncul kembali Anak-anakku tanpamu kalian di sisi umpama langit yang gelap yang tidak berbintang penuh diselubungi awan hitam Anak-anakku Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian Agar menjadi anak-anak yang soleh dan taat Dengan perintah Tuhan | Waalaikumsalam puan, Bagi mendapatkan sebarang ulasan entang hasil nukilan puan, sebaik-baiknya puan hantarkan puisi tersebut mengikut format puisi yang sebenar kepada e ditor Dewan Sastera di Bahagian Majalah DBP, atau fadhli@dbp.gov.my. Setiap puisi yang dihantar perlu dinilai terlebih dahulu oleh editor bagi memastikan bahawa puisi tersebut menepati kriteria yang ditetapkan dan sesuai untuk diterbitkan.Terima kasih. | Lain-lain | 30.11.2013 |