Ini ayat contoh: Ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya "tidak terhad kepada" perkataan ya atau tidak/bukan. Soalan: Adakah penggunaan frasa “tidak terhad kepada" dalam ayat ini tepat/gramatis? | Penggunaan frasa 'tidak terhad kepada' adalah laras yang sesuai dalam konteks ini. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk penjelasan lanjut. Rujuk halaman 447 - 488. | Tatabahasa | 30.10.2009 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya sama ada terdapat perbezaan penggunaan "obligasi" dan "kewajipan", contohnya "obligasi" lebih lazim digunakan dalam bidang kewangan dan "kewajipan" lebih lazim digunakan dalam konteks lain. Terima kasih. | Obligasi bermaksud sesuatu yg mesti dilaksanakan atau kewajiban. Penggunaannya tidak terhad dalam bidang kewangan semata-mata, sebaliknya turut digunakan dalam bidang yang lain seperti pentadbiran, ekonomi, pentadbiran perniagaan dan pendidikan. | Makna | 04.06.2020 |
Assalamualaikum, tuan. Saya Norol Farhana Mohd Fuzi dari Kolej Pendeta Za'ba, Universiti Putra Malaysia. Kolej kami akan mengadakan satu program Make It Right Campaign 3 (MIRC 3). Program ini sebenarnya berbentuk ilmiah, di mana aktiviti-aktivitinya berkonsepkan syariat Islam serta nilai-nilai murni, dan tidak terhad untuk mahasiswa Islam bahkan bukan Islam. Program ini akan berlangsung selama 2 bulan bermula 1 Mac hingga 30 April 2013. Jadi, pihak kami ingin memohon penajaan daripada pihak tuan untuk memberi sumbangan terhadap program ini.Jadi bagaimana kami ingin memohon sumbangan dari pihak tuan? Sekian, terima kasih. | Sila kemukakan surat permohonan tajaan kepada Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Aras 11, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 25.01.2013 |
Assalamualaikum tuan. Saya berhasrat dan bercita-cita untuk menghasilkan penulisan karya sendiri. Namun begitu, pendekatan saya ialah ingin menggunakan tulisan jawi secara total dalam karya dan terbitan saya. Hasratnya mudah, saya ingin mempelbagaikan bahan bacaan jawi dan tidak terhad kepada penulisan kitab agama sahaja. Buku buku berkaitan travelog, pemikiran, idea, fiksyen, komik dan buku-buku moden. Selain itu, hasrat saya, melalui pembacaan buku yang menarik seperti ini, masyarakat akan terdedah dengan daftar kata jawi yang luas dan juga bahasa moden yang kadang kala susah dieja dalam jawi. Kerisauan ini berlaku kerana sepanjang lawatan saya ke kedai buku, terdapat seksyen khas untuk buku mandarin, karya mandarin. Bagi saya, sekiranya karya jawi moden diperbanyakkan, sudah pasti masyarakat tidak rasa asing lagi warisan ini. Pendeknya, sekiranya saya diberikan kemudahan suatu hari nanti untuk menerbitkan buku tersebut, adakah pihak DBP sedia untuk memberi khidmat semak karya jawi saya, untuk menjamin ketulenan tulisan jawi. Dan soalan tambahan, bagaimana saya ingin mendapat kursus panduan penulisan jawi. Sekian, terima kasih. Salam hormat. | Salam tuan budiman, Tahniah dan terima kasih atas hasrat untuk menghasilkan karya sendiri, sehubungan dengan itu, bersama-sama ini dilampirkan maklumat untuk penghantaran manuskrip ke DBP untuk makluman selanjutnya. PENGHANTARAN MANSUKRIP Sebarang permohonan manuskrip dari luar seperti novel/cerpen/puisi dan lain-lain bolehlah dihantar ke: Pengarah Jabatan Penerbitan, Aras 10, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50460 Kuala Lumpur. Permohonan tersebut perlulah disertakan dengan: - Salinan lembut (soft copy) manuskrip dalam bentuk cakera padat (CDRW)
- Satu salinan keras manuskrip berserta biodata ringkas penulis yang mengandungi maklumat asas seperti nama/nombor telefon/alamat surat-menyurat terkini, untuk tindakan selanjutnya.
Berkaitan dengan Kursus Panduan Penulisan Jawi, pihak tuan bolehlah mendapatkan maklumat senarai Kursus Akademi DBP 2020 melalui: Laman sesawang: http://akademi.dbp.my/ Nombor telefon: 03-2147 0220/0230 Faksimile: 03-2147-0231 | Lain-lain | 04.01.2020 |
makna terbuka | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, terbuka ialah tidak tertutup (bertutup), terdedah; 2. terlepas, terurai, tertetas (ikatan, jahitan); 3. terkembang, terbentang (layar, payung); 4. terluang, ada (peluang pekerjaan), tersedia: peluang pekerjaan terbuka luas kepada anak-anak muda di kawasan perusahaan luar bandar; 5. telah dilihat (diketahui) orang (rahsia), terdedah, terbongkar: rahsianya telah terbuka; 6. tidak terhad (tersekat) kepada orang tertentu sahaja. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=terbuka untuk lebih lanjut. | Tatabahasa | 07.03.2013 |
Salam dan terima kasih kerana sudi membantu. Istilah "primer" dalam Bahasa Inggeris merujuk kepada sebuah buku pengenalan kecil yang mengandungi fakta asas mengenai sesuatu subjek, yang digunakan terutamanya apabila seseorang mula belajar tentang subjek itu. Bolehkah "buku pengenalan" atau "buku teks" diterima sebagai terjemahan untuk "primer", memandangkan penggunaan buku tersebut tidak terhad kepada murid sekolah? | Untuk makluman, dalam pangkalan data kami tidak terdapat padanan maksud bagi perkataan primer yang merujuk kepada buku pengenalan atau buku teks. Walau bagaimanapun, Kamus Dewan merakamkan maksud primer sebagai yang pertama, yang terpenting atau yang utama. Manakala, introductory school textbook menjurus maksud yang khusus, iaitu buku teks peringkat permulaan (khusus untuk buku teks sahaja). | Penyemakan dan penterjemahan | 26.08.2019 |
dendam: Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu; (Kamus Dewan Edisi Ke-4) 1) Bolehkah saya bertanya tentang penggunaan perkataan "ia" dan "ianya"? 2) Rumah itu selesa. Bolehkah perkataan "selesa" digantikan dengan "enak" (maksud perkataan ini tidak terhad pada makanan sahaja berdasarkan kamus) dan "menyenangkan"? Terima kasih. | 1. Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan "nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh digabungkan penggunaannya. 2. Perkataan enak tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 11.06.2020 |
saya ingin bertanya berkaitan: 1) definisi bahasa penulis tempatan dan luar negara? 2) definisi melayu penulis tempatan dan luar negara? 3) jika saya menggunakan definisi bahasa oleh Edward Sapir 1921 adakah masih boleh digunakan ataupun definisi tersebut tidak diguna pakai lagi? 4) definisi bahasa melayu penulis tempatan dan luar negara? | Jawapan kami merujuk Kamus Dewan, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yg dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya); dan Melayu merujuk kepada nama suatu bangsa dan bahasa (terutama di Semenanjung Malaysia. Tuan boleh menggunakan takrifan yang diberi oleh mana-mana sarjana asalkan bersesuaian dengan konteks penggunaannya kerana sumber ilmu tidak terhad kepada sarjana tempatan sahaja. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku/makalah yang berkaitan. | Lain-lain | 02.03.2012 |
Adakah perkataan 'usang' hanya boleh diguna pakai dalam ayat berkaitan benda-denda konkrit seperti rumah, bangunan, jambatan dan sebagainya tetapi bolehkah "usang" diguna untuk pakaian atau kain? | Mengikut kamus usang bermaksud 1. kering dan tidak berisi (padi), kersang (rambut, tembakau, dll); 2. sudah lama benar, lama terpakai atau tersimpan: tikar mengkuang yg sudah begitu ~; 3. sudah tidak biasa lagi dipakai (perkataan, barang, dll), kuno. Oleh itu tidak terhad makna usang untuk benda konkrit sahaja. | Makna | 13.08.2008 |
Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak DBP mengenai perkataan 'menurun'. Menurut PRPM, 'menurun' bersinonim dengan 1) menjunam: jatuh; 2) susut: berkurang; 3) berpindah kepada: mewarisi; 4) konteks bomoh - bersawai; Adakah salah jika saya menggunakan 'menurun' untuk menggambarkan kadar yang semakin berkurangan bagi penulisan bidang ekonomi/perniagaan/kewangan? Maklum balas daripada pihak Institut Terjemahan Negara mengatakan menurun tidak sesuai digunakan kerana lebih digunakan untuk konteks 'bomoh yang sedang menurun'. | Untuk makluman perkataan menurun telah diterima dalam Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan terbitan DBP (2001) sebagai padanan untuk istilah yang berikut: 1. declines - menurun (Pelaburan) 2. decline rate - kadar menurun (Ekonomi) 3. descending order - susunan menurun (Ekonomi) 4. descending power - kuasa menurun (Ekonomi) 5. falling market - pasaran menurun (Perakaunan, Ekonomi, Perniagaan) Berdasarkan contoh yang diberikan, DBP memang telah menerima istilah menurun dalam bidang ekonomi, perniagaan dan kewangan dan tidak terhad dalam konteks "bomoh yang sedang menurun". | Istilah | 29.08.2012 |