Mohon berikan terjemahan BI untuk pantun ini Hendakkan padi katakan padi, Tidaklah saya tertampi-tampi; Hendak sudi katakan sudi, Tidaklah saya ternanti-nanti. Terima kasih | Mohon maaf tuan/puan, kami tidak memberi perkhidmatan penterjemahan, tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemahan Malaysia untuk bantuan tersebut. Terima kasih. | Lain-lain | 25.09.2018 |
Assalamualaikum dan selamat pagi, Saya tidaklah ingin bertanya cuma saja nak berkongsi rasa. Daripada penelaahan saya dalam kamus Inggeris Melayu Dewan, banyak contoh yang diberi seolah-olah satu kod rahsia. (macam da Vinci Code). Sebabnya, contoh yang berkaitan politik dan keselamatan negara semacam sudah dijangka akan berlaku. Hanya yang terlibat dalam pembikinan kamus ini pasti tahu jawapannya. Sekadar rasa hati, bukanlah kepercayaan yang pasti. Sekian, terima kasih. Selamat maju jaya sidang KNDBP yang smart2, cun2, comel2, macho2 dan anggun2... Wassalam...hihihi... | Terima kasih atas pandangan saudara. Segala pandangan daripada pengguna bahasa amat dihargai bagi meningkatkan lagi mutu produk dan perkhidmatan kami. | Lain-lain | 30.05.2013 |
Meskipun dugaan yang dihadapi oleh Ayeena itu tidaklah terlalu getir, namun dia menangis semahu-mahunya. Inilah soalan PMR, bedasarkan ayat ini, perkataan "dihadapi" adalah salah diguna. Saya tidak memahami tentang jenis kesalahannya, dan ingin meminta tunjuk ajar tuan/ puan. Terima kasih. | Penggunaan kata "hadapi" dalam ayat tersebut adalah betul sama seperti ayat Masalah pencemaran udara sering dihadapi oleh negara-negara yang sedang membangun. Sila berbincang dengan Lembaga Peperiksaan yang menyediakan soalan tersebut untuk mengenal pasti kesalahan yang dimaksudkan. | Tatabahasa | 14.09.2011 |
memanfaatkan atau memberikan manfaat? | Memanfaatkan bermaksud menjadikan bermanfaat, untuk melihat perbezaan penggunaan perkataan yang tersebut sila lihat contoh ayat ini: ... tidaklah sukar untuk memanfaatkan alat-alat ini untuk kajian saintifik dan hubungan antara dua organisma yang memberikan manfaat kepada satu organisma. | Tatabahasa | 24.06.2011 |
adakah penggunaan akronim dapat digunakan secara meluas dalam bahsa melayu?? adakah akronim yang kita guna hendaklah diketahui oleh umum?? | Penggunaan akronim dalam bahasa Melayu tidaklah meluas dan kebanyakan bentuk yang ada pun hanya merujuk pertubuhan dan institusi contohnya seperti RISDA dan MARA. Antara kelebihan penggunaan akronim ialah untuk memudahkan orang ramai menyebut dan mengingati sesuatu institusi itu. | Lain-lain | 20.12.2008 |
Salam sejahtera, Dalam bahagian menyunting di kertas peperiksaan saya, ada sebuah ayat "Pusat FSC menumpukan perhatian pada isu seperti runah tangga dan hubungan." Bagi saya, perkataan "pada" tidaklah tepat penggunaannya dan harus ditukar dengan "kepada". Namun, guru saya berpendapat bahawa penggunaan perkataan "pada" adalah tepat. | Penggunaan kata sendi nama yang betul ialah ‘kepada’, iaitu "Pusat FSC menumpukan perhatian kepada isu seperti rumah tangga dan hubungan." Dalam ayat ini, kata sendi nama kepada digunakan kerana kata nama isu merupakan unsur mujarad. | Tatabahasa | 20.09.2017 |
apakah maksud diskriminasi? | Kamus Dewan mendefinisikan diskriminasi sebagai perlakuan membeza-bezakan warna kulit, keturunan, dsb: ~ terhadap bangsa berkulit hitam telah mulai luput sekarang; perkara ~ yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa itu tidaklah patut didiamkan sahaja; ~ harga pengenaan harga yang berbeza-beza bagi barang atau perkhidmatan yang sama kepada pembeli yang berlainan; ~ kaum layanan yang berbeza-beza terhadap kaum yang berlainan kerana prasangka terhadap kemahiran, kebolehan, keistimewaan hak dsb; ~ ras diskriminasi kaum; ~ sosial perihal membeza-bezakan seseorang dari segi kedudukannya dalam masyarakat; berdiskriminasi berbeza tindakan atau layanan terhadap sesama anggota masyarakat kerana berlainan warna kulit, agama, dan lain-lain: para pengarang meramalkan bahawa pengguna media massa ~ dalam membuat pilihan tentang media; mendiskriminasikan membeza-bezakan (dari segi layanan): golongan ini telah didiskriminasikan oleh golongan manusia yang lebih beruntung daripada mereka. | Tatabahasa | 01.02.2013 |
Bolehkan perkataan tetas digunakan untuk maksud "memutuskan tali". Jika tidak, apakah cadangan perkataan yang sesuai untuk digunakan? | Antara maksud tetas, menetas ialah memotong benang pada jahitan dan lain-lain supaya terbuka dan tali tidaklah digunakan dalam kerja jahit-menjahit atau seumpamanya, oleh itu perkataan tetas tidak sesuai digunakan untuk maksud memutuskan tali. Saya cadangkan saudara menggunakan perkataan yang lebih umum maksudnya seperti potong. | Tatabahasa | 15.12.2009 |
Saya inginkan kepastian tentang kedudukan huruf Hamzah dalam tulisan Jawi. Bagaimanakah yang dimaksudkan kedudukan Hamzah 3/4 dari huruf Alif. Bagaimanakah cara skala kedudkannnya dikira. Sila Lihat attachement untuk maksud kepada soalan saya ini. | Kedudukan Hamzah 3/4 sebenarnya tidaklah perlu terlalu terperinci sangat dari sudut kedudukannya. Penamaan diberikan 'tiga suku' diberikan hanya untuk membezakan fungsinya dengan Hamzah yang lain (kedudukannya). Sekiranya ukuran ini perlu untuk keperluan teknikal, kedudukan yang tepat ialah Hamzah 3/4 dalam rajah yang kedua (bawah). Kedudukan ini telah dibincangkan dalam jawatankuasa khusus bersama MOSTI (melalui MyNic) untuk diusulkan ke 'Unicode'. | Lain-lain | 11.09.2009 |
Assalamualaikum wbt Apakah maksud perkataan memperjudiskan? Contoh ayat : 1. sebaliknya hakim bicara telah mengambilkira keterangan-keterangan yang 'memperjudiskan' perayu-perayu. 2.Kedua, perayu-perayu mempunyai peluang untuk menyangkal (to rebut) anggapan dibawah s.37(d) ADB 1952 dan oleh itu perayu-perayu tidaklah 'terperjudis'. Kedua-dua contoh ini saya dapati di alamat url berikut: (http://www.kehakiman.gov.my/directory/judgment/file/K-05-8-2011.pdf) 3. AMER HAMZAH: Sejak kamu mendapat maklumat yang boleh 'memperjudiskan' tertuduh, keterangan kamu pada hari ini (semalam) memihak kepada pendakwaan. Contoh ketiga boleh didapati di alamat url berikut :(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Saksinafimemihakpendakwa/Article) Mohon nasihat daripada pihak tuan/puan Terima kasih -Mohd Habib bin Abdul Halim- | Perkataan memperjudiskan tiada dalam data kami. Perkataan yang paling hampir ialah prejudis yang bermaksud rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama, dan sebagainya. Manakala padanan bahasa Melayu bagi istilah prejudice ialah prasangka. | Tatabahasa | 19.06.2013 |