Tuan, sila periksa konklusi saya sama ada konklusi saya adalah betul atau salah. Berikut merupakan konklusi pertama saya. Sebentar lagi ada beberapa konklusi lagi. Tolong bantu saya. Terima Kasih! 1. negara Malaysia (betul) Negara Malaysia (salah) 2. negeri Pahang (betul) Negeri Pahang (salah) 3. sungai Tigris (betul) Sungai Tigris (salah) 4. tamadun Mesopotamia (betul) Tamadun Mesopotamia (salah) 5. hospital Pakar Malaysia (betul) Hospital Pakar Malaysia (salah) 6. program Kecemerlangan Pelajar (betul) Program Kecemerlangan Pelajar (salah) | Salam Sejahtera. Secara umumnya, jika contoh-contoh frasa yang diberikan merupakan permulaan ayat, maka semua huruf pertama pada pangkal ayat perlu menggunakan "huruf besar". Bagi kata nama khas, seperti nama negara, nama negeri, nama tamadun dan nama lengkap yang khusus bagi program atau aktiviti perlu digunakan "huruf besar". Berdasarkan contoh frasa saudara, saya perlu membuat penentuan awal, iaitu semua contoh merupakan frasa di tengah-tengah ayat bukan di permulaan ayat. Oleh itu, 1.negara Malaysia 2.negeri Pahang 3. Sungai Tigris 4.Tamadun Mesopotamia 5.hospital pakar Malaysia 6.program kecemerlangan pelajar. | Ejaan | 29.04.2014 |
Tuan yang saya hormati, salam sejahtera saya ucapkan. Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa contoh yang akan saya berikan ini, frasa-frasanya terdapat di TENGAH-TENGAH ayat. Tetapi saya tidak faham, mengapakah apabila frasa terdapat di tengah-tengah ayat, huruf "S" dalam perkataan"Sungai Tigris" dan huruf "T" dalam perkataan "Tamadun Mesopotamia" hendaklah meletakkan huruf besar sedangkan huruf "n" dalam perkataan "negara Malaysia" dan "negara Pahang" dan huruf "p" dalam perkataan "program kecemerlangan pelajar" serta huruf "h" dalam perkataan "hospital pakar Malaysia" ialah huruf kecil? Sekian sahaja pertanyaan saya. Saya mengaku bahawa saya memang berminat dalam pengkajian tatabahasa. :) | Bagi kata nama khas, seperti nama negara, nama sungai, nama tamadun dan nama lengkap yang khusus bagi program atau aktiviti perlu digunakan "huruf besar". Berdasarkan contoh frasa di tengah-tengah ayat yang diberikan, maka penggunaan yang betul ialah, Sungai Tigris dan Tamadun Mesopotamia. Manakala selebihnya … negara Malaysia, negeri Pahang, hospital pakar Malaysia dan program kecemerlangan pelajar. Bagi pihak DBP, saya menyarankan peminat dan pengkaji tatabahasa seperti tuan wajib memiliki dan memahami Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 30.04.2014 |
[ Membalas surat tuan yang seperti berikut ] "Bagi kata nama khas, seperti nama negara, nama sungai, nama tamadun dan nama lengkap yang khusus bagi program atau aktiviti perlu digunakan "huruf besar". Berdasarkan contoh frasa di tengah-tengah ayat yang diberikan, maka penggunaan yang betul ialah, Sungai Tigris dan Tamadun Mesopotamia. Manakala selebihnya … negara Malaysia, negeri Pahang, hospital pakar Malaysia dan program kecemerlangan pelajar. Bagi pihak DBP, saya menyarankan peminat dan pengkaji tatabahasa seperti tuan wajib memiliki dan memahami Tatabahasa Dewan." Balasan: Tuan, sebenarnya saya telah memiliki sebuah buku Tatabahasa Dewan dan saya sangat suka akan buku tersebut kerana buku tersebut terdapat banyak maklumat. Jadi semasa tuan menjelaskan pertanyaan saya, bolehkah tuan nyatakan halaman atau muka surat buku Tatabahasa Dewan tersebut untuk saya membuat rujukan tentang pertanyaan saya? Seperti soalan "huruf besar" dan "huruf kecil" inilah. Halaman(muka surat) berapakah yang harus saya rujuk? | Berkaitan dengan penggunaan huruf besar dan huruf kecil, tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Bab 6: Kata Nama pada halaman 95 – 141. Sekiranya tuan perlukan maklumat tambahan, boleh dapatkan pula buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, halaman 10-15: Penulisan Huruf dan buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, Bab II:Huruf Besar dan Huruf Condong pada halaman 80. | Tatabahasa | 05.05.2014 |