Maksud tikaman bahasa dan contoh-contoh yang sesuai. Senaraikan contoh - contoh tikaman bahasa untuk tujuan pertandingan bulan bahasa. Maksud perbahasan dan debat . Juga contoh format untuk pertandingan dan bentuk penulisan esei. | Perbahasan bermaksud pertukaran fikiran mengenai sesuatu perkara; perbuatan atau hal berbahas; perdebatan: Majlis ~ itu telah ditangguhkan ke minggu hadapan. | Lain-lain | 04.08.2010 |
saling bertikam-tikaman..adakah frasa ini betul? tuan, TQ | Bertikam-tikaman bermaksud saling menusuk dgn senjata. Oleh itu, tidak perlu lagi didahului oleh kata saling. | Tatabahasa | 01.02.2012 |
Mohon bantuan tuan, apakah maksud peribahasa berikut : 1. Bagai dagu melebihi hidung 2. Bagai lintah naik ke darat 3. Bagai muka bantal, berliur basi 4. Bagai murai tercabut ekor 5. Bagaikan empedu bersalut madu, pahitnya tiada terbilang 6. Bagaikan gading gajah betina, panjangnya tak sejengkal mana 7. bagaikan racun di dalam cawan, air di ceret ditumpahkan | Peribahasa bagai murai dicabut ekor bermaksud perempuan yang suka bercakap banyak (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Bagi mendapatkan maksud sesuatu peribahasa, sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kitab Kiliran Budi, Tikaman Bahasa, Mestika Bahasa dan Peribahasa Bertema. | Sastera | 04.09.2024 |
Mohon bantuan tuan, apakah maksud peribahasa berikut 1. Belum dicakap, sudah tahu 2. Dapat emas ditempat gelap 3. Di laut jadi buaya, di darat jadi harimau 4. Elok dicontohi, buruk diketepi 5. Gulai sedap, nasi basi terima kasih | Peribahasa Gulai sedap, nasi basi (Gulai sedap nasi mentah, nasi sedap gulai mentah) bermaksud "perbuatan yang tidak sempurna" (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu : halaman 76). Bagi mendapatkan maksud sesuatu peribahasa, sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kitab Kiliran Budi, Tikaman Bahasa, Mestika Bahasa dan Peribahasa Bertema. | Sastera | 04.09.2024 |
Adalah dengan rendah hati kami memohon jasa baik dan khidmat nasihat daripada pihak Tuan untuk memberikan maklumat bagi maksud peribahasa atau kiasan berikut:- "Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.". | Berdasarkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (halaman 164), ada peribahasa yang berbunyi Penyu bertelur beratus-ratus banyaknya, senyap; ayam bertelur sebutir saja hingar sekampung yang bermaksud, keuntungan yang diperoleh orang kaya sedikit pun tidak menjadi sebutan orang, tetapi keuntungan yang diperoleh orang miskin walaupun sedikit riuhlah orang memperkatakannya, manakala Disergah biawak digadai reban merupakan kiasan yang harus ditafsirkan berdasarkan maksud penulis atau penuturnya. Bagi mendapatkan maksud sesuatu peribahasa, sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kitab Kiliran Budi, Tikaman Bahasa, Mestika Bahasa dan Peribahasa Bertema. | Sastera | 17.02.2025 |
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih | Jawapan 1 Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan. Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan. Penggunaan yang betul ialah “memerhatikan” yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata “memperhatikan” tidak digunakan kerana awalan 'Memper -' lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh). Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas. Jawapan 2 Memakan Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang) Memakankan Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang. Makan Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit). | Makna | 25.02.2014 |