| munsyi, menurut soalan percubaan JPTerengganu 2009 Polis memerhatikan______penjenayah sebelum menyerbu tempat persembunyian mereka. A tingkah laku B gembar-gembur C gerak-geri D tindak-tindak apakah jawaban yangsesuia, apakah perbezaan antara A,C, dan D? TK | Merujuk Kamus Dewan tingkah laku sama maksudnya dengan gerak-geri ataupun kelakuan. Berdasarkan makna tersebut jawapan yang betul ialah A dan C. Untuk melihat makna dan beza antara perkataan tersebut sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my.
| Tatabahasa | 07.01.2013 |
| Assalam wbt & salam sejahtera tuan / puan, Mohon pencerahan, adakah ayat "tindak / maklum balas" digunakan atau perlu "tindak balas / maklum balas?" Misalnya penggunaan ayat: "Sekian, semoga mendapat tindak / maklum balas" atau "Sekian, semoga mendapat tindak balas / maklum balas"? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maklum balas bermaksud maklumat yang diterima kembali sebagai menjawab pertanyaan (soal selidik dan sebagainya atau sebagai reaksi dan sebagainya sesuatu tindakan). Tindak balas pula bermaksud tindakan yang diakibatkan oleh suatu tindakan lain. | Tatabahasa | 29.11.2017 |
| Saya inginkan kepastian mengenai istilah terjemahan 'coping'. Mengapa apabila kita terjemahkan ke dalam Bahasa ia adalah 'daya tindak'? Kenapa tidak 'berdaya tindak'. Mohon penjelasan mengenainya. Terima kasih. :) | Istilah dibina oleh Jawatankuasa Istilah yang terdiri daripada kalangan pakar dalam bidang berkenaan. Contohnya istilah coping mechanism walaupun boleh diterjemahkan kepada mekanisme berdaya tindak tetapi istilah yang dibina ialah mekanisme daya tindak. Tambahan maklumat, kebanyakan istilah yang dibina dalam bentuk kata nama. | Istilah | 29.06.2012 |
| Assalamualaikum. sy Nor Idayu Azmi pelajar Universiti Putra Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya ingin bertanya tentang kata seerti untuk "enakmen" di dalam konteks Bahasa Melayu. Bolehkah ia diertikan sebagai "tindak balas" terhadap persekitaran? Sy telah menerima maklum balas seperti berikut Enakmen menurut Kamus Dewan Perdana ialah undang-undang bertulis yang diluluskan oleh parlimen atau badan lain yang berkuasa membuat undang-undang. Selain undang-undang, enakmen juga boleh membawa maksud statut (Kamus Dewan). Mohon juga penerangan mengapa “tindak balas” terhadap persekitaran dipilih sebagai cadangan perkataan seerti? Bolehkah sy mentafsirkan ia seperti berikut? Maksudnya enactment adalah tindak balas terhadap perkara penting yang berlaku dalam kehidupan (persekitaran). Enakmen merupakan tindak balas sebagai cadangan perkataan yang diambil daripada kamus psikologi. Ini merupakan link yang dirujuk dan makna yang dijumpai : https://dictionary.apa.org/enactment enactment APA Dictionary of Psychology A trusted reference in the field of psychology, offering more than 25,000 clear and authoritative entries. n. 1. the acting out of an important life event rather than expressing it in words. See psychodrama. Sekian, Terima ksih | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “enakmen” dalam konteks psikologi ialah pelakonan atau perbuatan melakonkan semula. | Lain-lain | 02.12.2021 |
| Saya ingin membuat semakan bagi perkara-perkara berikut: 1. Ejaan maklumbalas atau maklum balas soal selidik 2. istilah faculty developer dan antecedent dalam Bahasa Malaysia 3. ejaan tindakbalas atau tindak balas | 1. Ejaan yang betul ialah maklum balas. 2. Sila nyatakan dalam bidang apa dan konteks penggunaan istilah ini dengan lebih terperinci bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam mencari padanannya dalam bahasa Melayu. 3. Ejaan yang betul ialah tindak balas | Istilah | 20.03.2010 |
| interaksi | Menurut Kamus Dewan perkataan interaksi ialah tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain, tindak balas antara dua atau beberapa pihak: kaunseling ialah satu proses yg melibatkan ~ antara seorang kaunselor dgn kliennya; komunikasi massa sering diertikan sbg proses perhubungan atau ~ antara individu dlm sesuatu kelompok masyarakat; | Lain-lain | 05.08.2007 |
| Assalamualaikum. sy Nor Idayu Azmi pelajar Universiti Putra Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya ingin bertanya tentang kata seerti untuk "enakmen" di dalam konteks Bahasa Melayu. Bolehkah ia diertikan sebagai "tindak balas" terhadap persekitaran? Saya berharap, pihak DBP dapat membantu saya dalam menggunaan istilah yang betul dan sesuai. Segala kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih | Enakmen menurut Kamus Dewan Perdana ialah undang-undang bertulis yang diluluskan oleh parlimen atau badan lain yang berkuasa membuat undang-undang. Selain undang-undang, enakmen juga boleh membawa maksud statut (Kamus Dewan). Mohon juga penerangan mengapa “tindak balas” terhadap persekitaran dipilih sebagai cadangan perkataan seerti?
| Lain-lain | 11.10.2021 |
| harap anak-anak sekalian jangan bermain di sini , ada kesalahan tak ?tq | Kata perintah yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan hadir sekali sahaja dalam suatu ayat, seperti Jangan buang sampah di sini dan Harap jelaskan hutangmu secepat mungkin. Ayat tersebut boleh dibetulkan menjadi Harap anak-anak sekalian tidak bermain di sini atau Jangan bermain di sini. | Tatabahasa | 06.07.2012 |
| ejaan agen /ejen? | Kedua-dua ejaan betul tetapi membawa maksud yang berlainan. Agen bermaksud sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas dan ejen bermaksud orang (syarikat dsb) yang menjalankan perniagaan untuk orang lain. | Makna | 24.06.2011 |
| apa perbezaan personafikasi dan hiperbola ? | Personafikasi bermaksud memberikan sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang atau benda-benda yang abstrak. Hiperbola bermaksud gaya bahasa yang berlebih-lebihan dengan menggunakan metafora atau kiasan yang melampau. Hiperbola digunakan untuk melahirkan kesan kelucuan atau menegaskan sesuatu fakta dalam sesuatu situasi. Biasanya hiperbola terdapat dalam puisi dan drama cinta. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk https://prpm.dbp.gov.my/ | Lain-lain | 19.08.2022 |