Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ting.gi] | تيڠݢي

Definisi : 1. besar jaraknya di bahagian bawah (tapaknya), jauh ke atas (di atas), lwn rendah: bangunan tersebut dibina di suatu tempat yg ~; kapal terbang pengebom jenis ini dapat terbang ~; dataran (tanah) ~ dataran (tanah) yg permukaannya jauh ke atas dr permukaan laut; 2. panjang (bkn bangun tubuh dll), lwn pendek: Hasan ~ orangnya; ~ pokok itu 20 kaki; 3. hampir sampai ke tempat yg di atas sekali; matahari telah ~ sudah hampir setengah hari; 4. luhur, mulia: kami berdoa agar tercapai cita-citanya yg ~; budi pekerti yg ~; 5. peringkat atau tingkat atas (bkn pangkat, taraf, dll), sangat baik (mutu dll): mahkamah ~; jawatan ~; martabat ~; sekolah ~; barang-barang bermutu ~; 6. sudah lanjut (umur); usia ~ sudah tua; 7. mahal (harga dll), besar (perbelanjaan dll): pd masa harga getah ~ dahulu rakyat hidup mewah; sara hidup di Eropah lebih ~ drpd di Asia; 8. sudah maju (kecerdasan, tamadun, dll), berada pd tingkatan atas (pelajaran, penge­tahuan, dll): bertamadun ~; seni yg ~; 9. angkuh, besar diri, sombong: cakapnya selalu ~; hidung ~ ki bongkak, sombong; 10. halus dan keras (suara), muluk, nyaring: lagu yg ~ hendaklah dinyanyikan dgn suara yg ~ ~ hari hampir tengah hari; ~ hati megah, sombong; ~ rezeki tidak mudah mendapat rezeki; ~ disusupi, rendah dilangkahi = ~ disigai, besar ditebang prb dicari (disiasat) sehabis upaya; ~ kelepur, rendah tikam = ~ gelepur, rendah laga prb banyak cakap tetapi tidak ada buktinya; ~ lawak-lawak prb perihal hidup melampaui kemampuannya (kuasa­nya); awak rendah sangkutan ~ prb besar belanja drpd pendapatan; hendak ~ terlalu jatuh, hendak panjang terlalu patah prb orang yg hendak terlalu meninggikan dirinya jatuh (kecewa) juga akhirnya; (yg) ~ tampak jauh, yg dekat julung bersua prb pemimpin yg bertanggungjawab (yg mendapat pujian dan celaan); meninggi 1. menjadi tinggi, naik tinggi ke atas: pokok itu tumbuh membesar dan ~ dr sehari ke sehari; 2. menjadi kuat dan nyaring (suara), muluk (suara): suara orang mengaji semakin ~; 3. angkuh, sombong: cakapnya ~ sahaja; 4. menghampiri atau hampir berada pd waktu tengah hari: hari semakin ~; ~ hari tinggi hari; setinggi 1. (hingga) sama tinggi, mencapai tinggi: air di kawasan rumah pengantin lelaki naik ~ 0.6 meter; pembangunan itu mengan-dungi sebuah bangunan pejabat ~ 28 tingkat; 2. seberapa tinggi: mereka dikatakan lebih berminat utk mendapatkan tawaran gaji ~ yg boleh; memang saya mahu mencipta nama ~ yg mungkin; setinggi-tinggi 1. seberapa banyak yg mung-kin, tidak terhingga banyaknya, se­banyak-banyaknya: baginda mengucap­kan ~ terima kasih kpd sekalian rakyat; beliau juga mengucapkan ~ tahniah dan peng­hargaan atas kejayaan sahabatnya itu; 2. seberapa tinggi yg mungkin, paling tinggi: ~ terbang bangau, hinggap ke bubungan juga; meninggikan 1. menjadikan tinggi, menam-bahkan (mutu dll): bangunan itu telah di-tinggikan lagi dua tingkat; kerajaan sedang berikhtiar ~ taraf pendidikan dan ekonomi rakyat; 2. mengangkat (menyan­jung) menjadi tinggi; ~ diri membesarkan diri; 3. mengeraskan atau menguatkan (suara); mempertinggi menjadikan lebih tinggi; ~ tempat jatuh, memperdalam tempat kena prb sengaja membesar-besarkan kesalahan sendiri sehingga mendapat hukuman (kerugi­an) yg lebih berat; ketinggian 1. perihal tinggi, taraf (keadaan dsb) yg tinggi: pendidikan dapat membawa kpd kejayaan dan ~ kedudukan seseorang dlm masyarakat; sastera yg mengagungkan ~ budi; 2. (tempat dll) yg lebih tinggi duduk­nya (letaknya): peti yg berisi jenazah itu di-letakkan di tempat yg agak ~ di tengah aula; 3. terlalu tinggi: dahan itu tidak dapat dicapai-nya kerana ~; peninggian perihal meninggikan, penam­bahan (mutu, pendapatan, dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ting.gi] | تيڠݢي

Definisi : 1 jauh jaraknya dr bawah ke atas; lw rendah: Hotel itu sangat ~. dataran ~ dataran yg permukaannya jauh dr permukaan laut. 2 panjang (ttg bangun tubuh); lw rendah: Suaminya lebih ~ drpdnya. 3 peringkat atas (ttg pangkat, taraf dll); sangat baik (mutunya dll): jawatan ~; Mutunya ~. 4 mulia: ~ cita-citanya. 5 mahal (ttg barang); besar (ttg perbelanjaan): Harga beras sangat ~ sekarang. 6 berada pd peringkat yg atas; sudah maju: Pengetahuannya ~. ~ hari hampir tengah hari. ~ hati sombong. ~ usia sudah tua; sudah lan­jut umurnya. meninggi 1 menjadi tinggi; naik tinggi. 2 menjadi kuat dan nyaring (ttg suara). 3 sombong: Cakapnya ~ saja. ~ hari menjadi ham­pir tengah hari. meninggikan 1 menjadikan tinggi; menaikkan: Ia ~ harga gula di kedainya. 2 mengangkat atau menyanjung menjadi tinggi. mem­pertinggi menjadikan lebih tinggi: Ia belajar bersungguh-sungguh utk ~ ilmu pengetahuannya. ketinggian 1 keadaan atau hal tinggi. 2 tempat yg tinggi. peninggian perbuatan atau hal meninggikan; peningkatan (mutu dsb); penambahan (pendapatan dsb). (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
tinggi (adjektif)
1. Dalam konteks orang
bersinonim dengan panjang, lampai, langsing, renjong, tonjeng, lonjong, agam, ampai,
Berantonim dengan pendek

2. Bersinonim dengan luhur: mulia, murni, besar, agung,
Berantonim dengan hina

3. Bersinonim dengan angkuh: bongkak, congkak, sombong, pongah,

4. Dalam konteks suara
bersinonim dengan nyaring, muluk, halus dan keras,
Berantonim dengan rendah

5. Dalam konteks harga
bersinonim dengan mahal, melambung, menjulang, meningkat, naik,
Berantonim dengan rendah

Kata Terbitan : meninggikan, ketinggian,

Puisi
 

Rumput tinggi tepi hutan,
     Bintang timur tinggi melambung;
Minta rezeki besar lautan,
     Minta umur tinggi gunung.


Lihat selanjutnya...(1000)
Peribahasa

Tinggi terbawa oleh ruasnya.

Bermaksud :

Orang yang tubuhnya saja besar, tetapi masih bodoh.

 

Lihat selanjutnya...(90)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apakah perbezaan antara tiga yang berikut? tinggi-tinggi belaka tinggi belaka tinggi-tinggiFrasa yang betul ialah tinggi-tinggi belaka dan tinggi-tinggi bergantung pada konteks ayat yang digunakan seperti Pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka dan Pejabat kami dikelilingi bangunan yang tinggi-tinggiMakna25.02.2012
Apakah yang salah dalam ayat "Pohon-pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka"? Adakah dua kata berganda dibenarkan dalam satu ayat?Ayat yang gramatis ialah Pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka kerana belaka bermaksud semuanya (semua pokok).Tatabahasa24.02.2012
1) Apakah yang salah dalam ayat "Pohon-pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka"? Adakah dua kata berganda dibenarkan dalam satu ayat? 2) Adakah penggunaan terdapat dalam ayat berikut betul? "Kawasan rumah itu terdapat jalinan jalan raya yang sistematik." Terima kasih banyak-banyak!1. Untuk membentuk ayat yang gramatis, hanya satu kata ganda wujud dalam ayat tersebut. Penggunaan dua kata ganda menjadikannya lewah dan penggunaan kata yang lewah dalam pembinaan ayat perlu dielakkan. Ayat yang gramatis ialah Pohon-pohon di taman itu tinggi belaka atau Pohon di taman itu tinggi-tinggi.
2. Penggunaan perkataan 'terdapat' dalam ayat tersebut betul, tetapi perlu ada kata sendi nama pada frasa 'Di kawasan rumah'.
Tatabahasa27.02.2012
1.bangunan-bangunan di Kuala Lumpur tinggi belaka. ( adakah ayat ini mengandungi sebarang kesilapan ) sekian terima kasih.Ayat yang lebih gramtis ialah "Bangunan di Kuala Lumpur tinggi-tinggi belaka."Tatabahasa12.09.2013
peninju atau petinju? Konteks: sarikataBerdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, peninju bermaksud 1. tinju, penumbuk: peninjunya diangkat ke atas tinggi-tinggi 2. orang yang meninju.  Petinju pula bermaksud orang yang berlawan tinju, ahli tinju.Makna31.10.2011
apakah maksud berunsur pemulukan. contoh soalan: ungkapan yang berunsur pemulukan

Tidak ada kata contoh penggunaan kata pemulukan dalam pangkalan data kami. Contoh penggunaan yang ada ialah muluk bermaksud terbang tinggi-tinggi (burung, dan nyaring (suara) dan perkataan muluk-muluk yang bermaksud yang indah-indah atau elok-elok.


Makna31.05.2011
IPTA= Institusi Pengajian Tinggi Awam IPTS= Institusi Pengajian Tinggi Swasta (adalah kata nama khas) Soalan: Adakah institusi pengajian tinggi adalah kata nama khas? Perkataan ini "institusi pengajian tinggi" digunakan untuk merujuk kepada maktab/universiti/kolej secara am. Mohon pencerahan. Terima kasihInstitut pengajian tinggi awam dan institut pengajian tinggi swasta ialah kata nama am, tetapi lazimnya dalam menulis singkatan kedua-dua frasa nama itu dieja dengan huruf besar seperti IPTA dan IPTS.Tatabahasa29.08.2012
Dalam pasangan ayat yang berikut, perkataan bergaris yang manakah yang tergolong sebagai adjektif dan adverba? Berikan sebab. 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. 2(a) Lelaki itu orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat.1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. Ayat biasa - Bangunan tinggi itu (Subjek - Frasa nama) bangunan KLCC (Predikat - Frasa Nama)
1(b) Burung helang itu terbang tinggi. Tinggi - Adverba
2(a) Lelaki itu orang kuat. Lelaki itu (Subjek - Frasa Nama) orang kuat (Predikat - Frasa Nama)
2(b) Dia bercakap kuat. Kuat - Adverba
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan.
Tatabahasa25.10.2012
Adakah ayat ini betul? Seorang peserta lompat tinggi berjaya melepasi ketinggian lompatan yang ditetapkan.Perkataan 'acara' perlu ditambah sebelum 'lompat tinggi' untuk menunjukkan lompat tinggi merupakan salah satu acara dalam pertandingan sukan. Ayat yang lebih tepat ialah "Seorang peserta acara lompat tinggi berjaya melepasi ketinggian lompatan yang ditetapkan.Tatabahasa30.03.2012
1. bahasa pengantar atau bahasa penghantar 2. institut pegajian tinggi atau institusi pengajian tinggi1. Dalam Kamus Dewan penghantar sama maksudnya dengan pengantar, iaitu sesuatu (bahasa) yang digunakan untuk menyampaikan maklumat. Walau bagaimanapun lazimnya frasa bahasa pengantar yang digunakan.
2. Frasa yang betul ialah institusi pengajian tinggi.
Tatabahasa30.10.2012
12345678910...

Kembali ke atas