| Tolong lah selesai masalah saya | Permohonan pengesahan papan premis tuan telah selesai. Status: LULUS | Lain-lain | 16.02.2022 |
| Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai penambahan imbuhan (atau kata sambungan yang lain) kepada perkataan bukan Bahasa Melayu. Contoh yang kerap muncul dalam penulisan ialah: -Best-nya cerita ni! -Ter-over pulak! -Try-lah yang lain. -Tolong print-kan -Dia meng-italik-kan perkataan Jerman itu (dan lain-lain) Adakah wujud peraturan tatabahasa untuk kategori ini? Bagaimana sepatutnya ia ditulis? Adakah dengan meletakkan sengkang seperti di atas, atau perkataan itu dicondongkan dan disambung sahaja seperti perkataan Bahasa Melayu? Terima kasih atas maklum balas. | Untuk makluman perkataan yang menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak diterima sebagai bentuk yang rasmi dalam bahasa Melayu. Bentuk ini biasanya digunakan dalam bahasa percakapan seharian yang tidak mempunyai kaedah rasmi yang khusus untuk menulis perkataan tersebut. Perkataan seperti "best, over, try dan print" telah ada padanan bahasa Melayunya dan tidak perlu ditulis dalam bahasa Inggeris. | Tatabahasa | 28.01.2016 |
| 1."Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2."Tahukah kamu siapakah yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. Kemusykilan.... Mana yang lebih tepat penggunaan partikel 'lah' pada kata tanya dalam ayat? "Tolong letakkan barang itu di.............",tunjuk ibu kepada Salmah. A.mana B.sini C.sana D.situ Apakah jawapan yang tepat atau soalan yang dikemukakan tidak betul. | 1. Ayat yang paling tepat - "Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2. Tolong letakkan barang itu di sini/sana/situ - ketiga-tiga perkataan tersebut boleh menjadi jawapan kepada ayat tersebut asalkan bersesuaian dengan tempat yang dimaksudkan oleh penuturnya. | Tatabahasa | 27.01.2011 |
| 1. Bolehkah kata 'dimohon' digunakan? 2. Bolehkah kata 'dipohon' digunakan? 3. minta tolong berikan 2 contoh ayat yang menggunakan kata 'dimohon'. 4. yang mana satu ayat yang berikut betul; 4.1 Kerjasama tuan dipohon... atau 4.2 Kerjasama tuan dimohon... 5. diminta tunjukkan tempat atau rujukan yang lebih terperinci berkaitan kata 'dimohon dan dipohon'. | | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna mohon : 1. bh minta, minta izin: setelah itu maka sahaya ~lah pulang; 2. sl ampunilah (kerana menolak, mengingkari, dll), maaflah: maka titah baginda, "Mahukah akan Tun Rakna Sandari, saudara Paduka Raja itu?" maka sembahnya, "~ patik, tuanku"; Perkataan pohon juga bermaksud memohon meminta dengan halus. Walau bagaimanapun bagi penggunaan dalam ayat yang lebih tepat dan sesuai digunakan ialah dimohon. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1040 dan 1220 untuk maklumat lanjut. | | Tatabahasa | 03.04.2014 |
| 1. penggunaan perkataan 'ia' adakah untuk manusia sahaja (kata ganti nama diri ke-3) atau boleh juga diguna untuk ganti nama merujuk kepada benda seperti maksud yang terdapat dalam kamus dewan edisi ke-4. Contoh ayat: Kereta itu Baharu. Ia berwarna biru. salah atau betul sila berikan ulasan. bolehkan ia disamakan dengan 'it' dalam bahasa inggeris. 2.Apakah penjelasan bagi penjodoh bilangan 'keping' dan 'papan'. 3. perbezaan penggunaan kata seru 'wah' dan 'amboi" tolong berikan ulasan. 4. Partikel 'lah' dan'tah' apakah ulasan dan penggunaannya. | 1. Kata "ia" boleh digunakan untuk orang, perkara dan benda, tidak boleh digunakan untuk binatang. "ia" boleh disamakan dengan "it" dalam bahasa Inggeris. 2. Penjodoh bilangan keping digunakan untuk benda yang pipih atau nipis seperti papan, roti, gambar, tiket, duit, kertas/syiling, getah. Penjodoh bilangan papan pula digunakan untuk benda-benda seperti mercun, asam jawa, petai, kerdas. 3. Kata seru "wah" ialah kata seru utk menyatakan kehairanan (terkejut, kagum, dll): Wah, dahsyat sungguh!; 'Amboi' ialah kata seruan utk menyatakan rasa hairan (kasihan dll) atau utk mengusik seseorang: Amboi, lajunya kereta ini! Amboi cantik sungguh awak hari ini! Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. 4. Partikel -lah dan -tah digunakan untuk memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Kehadiran -lah dan -tah sebagai kata penegas frasa predikat hanya berlaku apabila frasa predikat atau bahagian-bahagian yang ditegaskan itu mengalami proses pendepanan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 261. | Tatabahasa | 03.08.2009 |