| Salam tuan,adakah penggunaan -nya di bawah ialah ayat yang gramatis? 1. Semuanya …… ringgit. Ayat tersebut biasa saya dengar apabila beli sesuatu. Saya telah semak Tatabahasa Dewan -nya ialah kata pembenda ataupun kata penekan. Saya rasa “semuanya” di sini memberikan penekanan kepada harga sahaja,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? 2. Suaminya di mana? Ayat tersebut telah saya dengar semasa tonton video. Seorang wanita berkata sedemikian dengan marah apabila ditanya ada suami ke tidak. Dia seorang yang belum ada jodoh. Saya rasa “suaminya” di sini,cuma memberikan penekanan kepada realiti bahawa dia tidak ada suami,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? | 1 “Semuanya … ringgit.” Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Dalam ayat di atas, kata ganti nama –nya berfungsi sebagai penekan. 2. 2. “Suaminya di mana?” Dalam ayat di atas, -nya berfungsi sebagai kata ganti nama orang ketiga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 103 dan 296. | Tatabahasa | 23.04.2024 |
| Yang manakah betul - 'beriman dengan' atau 'beriman kepada'? Mereka akhirnya mengakui kebesaran Allah dan beriman dengan-Nya. Mereka akhirnya mengakui kebesaran Allah dan beriman kepada-Nya. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul ialah 'Mereka mengakui kebesaran Allah dan beriman kepada-Nya'. | Tatabahasa | 05.01.2012 |
| Selamat Petang, Tuan/Puan. Saya Lee, orang Korea. Saya ingin bertanya mengenai BM. Dalam lagu kebangsaan Malaysia, ada ungkapan "Tanah Tumpahnya darahku". Dalam BI, ungkapan itu adalah "Tanah Tumpah darahku". Apakah fungsi '-nya' di 'tumpahnya'? Apakah ini berfungsi nominalisasi atau penunjuk urutan kata atau yang lain? Ini pertanyaan saya, Tuan/Puan. Atas perhatiannya, saya ucapkan terima kasih banyak. Salam takzim, Lee. | Untuk makluman tuan/puan -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga yang digunakan pada manusia dan kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain itu -nya juga berfungsi sebagai kata pembeda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, misalnya: lajunya, tumpahnya- Lajunya ialah 100 km sejam. Tanah tumpahnya darahku. | Tatabahasa | 09.08.2018 |
| Salam sejahtera tuan, saya ingin bertanya, bolehkah kata ganti nama diri -nya wujud sebelum perkataan dia dalam sesebuah ayat? Contoh: Pegawai itu memberitahunya bahawa dia didapati bersalah kerana dia telah melanggar peraturan yang ditetapkan. (Kata ganti “-nya” wujud sebelum kata ganti “dia”) Adakah ayat tersebut betul? | Ayat tersebut betul. Kata ganti “-nya” boleh wujud sebelum kata ganti “dia”. Namun “-nya” perlu merujuk kepada seseorang. Ayat tersebut perlu ada ayat sebelumnya yang merujuk kepada siapa “-nya”. | Tatabahasa | 24.01.2023 |
| Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
| Salam sejahtera, Bolehkah Tuan/Puan menyatakan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat berikut adalah betul? Jika tidak, apakah cadangan ayat yang lebih gramatis? 1) Burung dapat mengekalkan suhu badannya kerana burung berdarah panas. 2) Objek itu stabil kerana tapaknya yang besar. 3) Ikan menggunakan siripnya untuk berenang dalam air. Sekian, terima kasih. CK | Nya ialah kata ganti diri orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" dalam ayat contoh yang diberikan adalah tidak gramatis. Berdasarkan ayat tersebut kata "nya" boleh digugurkan seperti Burung dapat mengekalkan suhu badan kerana burung berdarah panas. | Tatabahasa | 19.01.2012 |
| Tuan/Puan, Sila rujuk lampiran fail. Harap tuan/puan boleh menjawab seawal yang mungkin. Sekian terima kasih. | 1. Frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Contoh FA: kacak sungguh. Contoh ayat FN + FA : Orang muda itu + kacak sungguh.2. Burung pucung ialah burung yang tinggi, lemah-lembut dan panjang kakinya. Sebelum menangkap ikan ataupun katak dengan paruhnya yang panjang, burung pucung akan menunggu dengan sabar untuk haiwan itu berenang di depannya. Nya berfungsi sebagai pembenda. Contoh: ...perkataan yang mengikutinya; Ejaannya ialah...3. Ialah untuk kata nama.4. Dalam buku Tatabahasa Dewan, ia ialah kata ganti nama orang ketiga. 5. Rusa itu berlari ke dalam hutan tetapi tanduk rusa tersangkut pada dahan-dahan pokok. Rusa bertambah takut apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Rusa cuba melepaskan tanduknya daripada dahan-dahan itu. Akhirnya, kaki rusa yang kuat itu dapat menolong rusa melepaskan diri.Rusa itu berlari ke dalam hutan tetapi tanduk rusa tersangkut pada dahan-dahan pokok. Rusa bertambah takut apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Rusa cuba melepaskan tanduk‘nya’ daripada dahan-dahan itu. Akhirnya, kaki rusa yang kuat itu dapat menolong rusa melepaskan diri. 6. Ya. 7. Ayat yang betul adalah seperti berikut:(h) Budak itu pelukis yang handal. (i) Singa haiwan yang memakan daging.(j) Perkara itu menjadi buah mulut orang ramai. | Tatabahasa | 30.07.2011 |
| Tuan, minta lihat di bawah terlebih dahulu. 1. Bas ini bergerak dengan lajunya. Dalam ayat (1), frasa sendi nama "dengan lajunya" bertugas sebagai keterangan cara dalam frasa kerja "bergerak dengan lajunya". Soalan saya jika kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" digugurkan, adakah ayat di atas masih betul? Setelah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" berlaku, ayat akan berubah menjadi berikut: 1. (a) Bas ini bergerak dengan laju. Adakah ayat 1. (a) betul? Adakah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat akan menjejaskan ayat? | Kata –nya dalam ayat Bas ini bergerak dengan lajunya berfungsi sebagai kata penekan. Ayat Bas ini bergerak dengan laju betul. | Tatabahasa | 29.12.2014 |
| Muhamad Hafizullah Muda Jun 1st, 10:10am Assalamualaikum. Saya ada soalan. Bagaimana ejaan yang betul untuk 'nya' yang dirujuk kepada Allah ? A- kepadanya B- kepadaNya C- kepada-Nya Muhamad Hafizullah Muda Jun 1st, 10:11am Mohon jawapan daripada pihak tuan | Ejaan yang betul dalam konteks yang tersebut ialah kepada-Nya. | Ejaan | 01.06.2015 |
| Sila nyatakan adakah ayat di bawah betul atau salah, nyatakan sebabnya. I Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. II Majlis yang amat meriah itu dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok negara. III "Minta tuan-tuan bertenang seketika kerana sistem pembesar suara mengalami masalah teknikal," kata pengacara majlis. IV Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang. | I. Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. - Ayat ini tidak gramatis kerana nya (terdapatnya) ialah kata ganti nama diri ketiga dan tidak gramatis untuk aayat ini. II. Majlis yang amat meriah itu dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok negara. - Ayat ini gramatis. III. "Minta tuan-tuan bertenang seketika kerana sistem pembesar suara mengalami masalah teknikal," kata pengacara majlis. - Ayat ini boleh digunakan dalam konteks arahan. IV. Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang. - Ayat ini betul kerana tetapi ialah kata hubung untuk menyatakan kata-kata yang berlawanan. | Tatabahasa | 28.05.2012 |