Saya ingin tahu asal usul & makna kalimah "tuan tanah kedaung". Apa sebenarnya "kedaung" itu? Pohon petai? | Makna "kedaung" dalam Kamus Dewan ialah sejenis tumbuhan (pokok) yang boleh dibuat ulam dan ubat, atau disebut jua beka, bereksa, boli, gedayang, gedayung, tulur. Untuk mengetahui asal usul perkataan sila rujuk buku atau hasil kajian yang dibuat tentang tumbuhan tersebut. | Makna | 21.06.2009 |
Tuan, kata sendi nama "terhadap", "di atas" atau "ke atas" patut digunakan dalam ayat di bawah? 1. (a) Saya menyembur baja terhadap tanah. (b) Saya menyembur baja di atas tanah. (c) Saya menyembur baja ke atas tanah. Tuan, jangan terus salahkan penggunaan kata sendi nama "terhadap", kerana di dalam buku Tatabahasa Dewan, "terhadap" boleh digunakan untuk benda konkrit. "Tanah" ialah sejenis benda konkrit, tetapi "tanah" ialah sejenis tempat", jadi "di atas" dan "ke atas" lebih sesuai pada pandangan saya. Apakah pandangan tuan? Minta sertakan penerangan tuan juga. Terima kasih. | Kami berpandangan frasa yang betul ialah "ke atas" dan "di atas". Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata arah yang didahului kata sendi nama digunakan apabila menunjukkan hala atau jurusan. | Tatabahasa | 04.12.2014 |
Saya ingin mendapat pandangan & nasihat mengenai cadangan menyedia atau menamakan suatu projek. Sebagai contoh suatu projek membina kemudahan tapak pelupusan telah dicadangkan di atas kawasan tapak ladang kelapa sawit yang telah diambil alih. Maklumat & situasi perkara ini adalah seperti berikut. Lokasi : Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan Pemilik Tanah Asal : Sime Darby Plantation Bhd. Kegunaan Tanah Asal : Ladang kelapa sawit (dinamakan sebagai Ladang Tanah Merah (Tanah Merah Plantation) Tanah Diambil Alih Bagi Tujuan : Cadangan Projek Tapak Pelupusan Sanitari Oleh itu, antara (a) & (b) dibawah, manakah cadangan nama projek/kemudahan yang lebih tepat atau sewajarnya digunakan bagi menyediakan kemudahan berkaitan tapak pelupusan sanitari? a) Projek Tapak Pelupusan Sanitari Di Ladang Tanah Merah, Port Dickson; atau b) Projek Tapak Pelupusan Sanitari Di Tanah Merah, Port Dickson. Sekian, terima kasih. | Pada pandangan kami, cadangan nama projek yang tepat ialah Projek Tapak Pelupusan Sanitari di Tanah Merah, Port Dickson. Berdasarkan penerangan tuan, Ladang Tanah Merah digunakan untuk penanaman kelapa sawit pada kegunaan asal. Bagi kegunaan pelupusan sanitari, aktiviti berbeza dengan kelapa sawit. Penggunaan perkataan Ladang Tanah Merah tidak sesuai digunakan melainkan nama tersebut merupakan nama khas yang sudah didaftarkan atau digazetkan.. | Tatabahasa | 02.09.2014 |
tuan, boleh saya tanya ada ayat ini betul? Ali mengebumikan sampah ke dalam tanah atau Ali mananamkan sampah ke dalam tanah ? | Ayat yang betul ialah Ali menanam sampah ke dalam tanah. | Tatabahasa | 18.09.2013 |
1. "Bilakah baginda akan berangkat ke tanah seberang?" ujar Laksamana Hang Tuah kepada Datuk Bendahara. 2. "Bilakah tuan hamba akan berangkat ke tanah seberang?" ujar Laksamana Hang Tuah kepada Datuk Bendahara. Adakah kedua-dua ayat ini betul? Terima kasih. | Ayat 1 " Bilakah baginda akan berangkat ke tanah seberang?" ujar Laksamana Hang Tuah kepada Datuk Bendahara. Ayat ini betul Ayat 2 "Bilakah tuan hamba akan berangkat ke tanah seberang?" Tanya Laksamana Hang Tuah kepada Datuk Bendahara. Perkataan ujar perlu ditukar kepada perkataan Tanya. | Tatabahasa | 14.08.2018 |
Salam sejahtera tuan/puan. Sukacita sekiranya pihak tuan/puan dapat memberikan terjemahan bagi istilah berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor 3.Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor 4.Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane 5.Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader 6.Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader 7.Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan adalah seperti yang berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair - Kerusi Roda Ruang Boleh Condong 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor - Konveyor Pulih Guna Paip Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 3. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor - Konveyor Tiub Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 4. Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane - Kren Gantri Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 5. Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader - Pemunggah Barj Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 6. Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader - Pemunggah Kapal Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 7. Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder - Penyuap Grizli Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat
| Istilah | 09.05.2016 |
Salam, saya sedang menulis manuskrip untuk buku BM. Saya ingin bertanya kepada tuan/puan, kata nama khas seperti Genting Highlands atau Cameron Highlands contohnya perlukah diterjemah ke dalam BM menjadi Tanah Tinggi Genting, Tanah Tinggi Cameron ataupun tidak perlu? Terima kasih. | Kata nama khas tersebut perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu bagi mengelakkan bahasa rojak dalam buku yang diterbitkan. | Tatabahasa | 17.01.2013 |
Salam sejahtera. Mana satukah ayat yang betul? a. Sekeluarga Tina bercuti ke Tanah Tinggi Cameron. b. Tina sekeluarga bercuti ke Tanah Tinggi Cameron. Tina sekeluarga ATAU sekeluarga Tina, yang mana satukah betul? | Salam sejahtera, Ayat yang betul ialah Tina sekeluarga bercuti ke Tanah Tinggi Cameron. Tuan/puan juga boleh melayari www.prpm.dbp.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut tentang bahasa Melayu. Sekian. | Pengembangan | 25.02.2020 |
Selamat Petang, Tuan/Puan. Saya Lee, orang Korea. Saya ingin bertanya mengenai BM. Dalam lagu kebangsaan Malaysia, ada ungkapan "Tanah Tumpahnya darahku". Dalam BI, ungkapan itu adalah "Tanah Tumpah darahku". Apakah fungsi '-nya' di 'tumpahnya'? Apakah ini berfungsi nominalisasi atau penunjuk urutan kata atau yang lain? Ini pertanyaan saya, Tuan/Puan. Atas perhatiannya, saya ucapkan terima kasih banyak. Salam takzim, Lee. | Untuk makluman tuan/puan -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga yang digunakan pada manusia dan kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain itu -nya juga berfungsi sebagai kata pembeda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, misalnya: lajunya, tumpahnya- Lajunya ialah 100 km sejam. Tanah tumpahnya darahku. | Tatabahasa | 09.08.2018 |
Tuan/Puan, Selamat sejahtera! Tolong betulkan ayat ini "Sekembalinya ke tanah air, cara hidup Raman lebih ke barat." Terima kasih. Choohar | Ayat yang betul ialah "Sekembalinya ke tanah air, cara hidup Raman lebih kebaratan". | Tatabahasa | 08.03.2010 |