salam sejahtera..saya ingin mendapatkan kepastian, adakah penggunaan frasa SESEORANG INDIVIDU dan TUBUH BADAN betul? | Frasa "seseorang individu" dan "tubuh badan" betul, seseorang dan telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 17.08.2015 |
Saya ada soalan berkaitan kata sendi dari/daripada yang bertemu dengan kata nama anggota tubuh badan. 1. Kata-kata itu keluar dari/daripada mulutnya. 2. Air matanya bertakung dan akhirnya tumpah dari/daripada tubir mataya. 3. Kata-kata itu ikhlas dari/daripada hatinya. Penggunaan anggota tubuh badan tersebut bolehkah merujuk kepada tempat atau asal kejadian sesuatu perkara? Mohon penjelasan pihak DBP. | Berikut disenaraikan ayat yang lebih tepat tatabahasanya: 1. Kata-kata itu keluar daripada mulutnya. 2. Air matanya bertakung dan akhirnya tumpah daripada tubir matanya. 3. Kata-kata itu ikhlas daripada hatinya. Penggunaan anggota tubuh badan tersebut merujuk pada sumber atau asal kejadian sesuatu benda. (Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 269-272) | Tatabahasa | 25.09.2023 |
1. Untuk memperoleh tubuh badan yang sihat serta otak yang cerdas, kita memerlukan makanan yang berzat / berkhasiat. Apakah bezanya? Berzat atau berkhasiat? 2. Murid itu melenting semasa guru sedang mengajar. Betulkah penggunaan perkataan melenting dalam ayat ini? | 1. Berzat bermaksud mempunyai pati atau inti daripada sesuatu (seperti makanan dan lain-lain), manakala berkhasiat bermaksud mengandungi kebaikan yang khas (dlm ubat, makanan dan sebagainya). Pada pandangan kami, untuk memperoleh tubuh badan yang sihat serta otak yang cerdas, kita memerlukan makanan yang berzat dan berkhasiat. 2. Melenting lazimnya diakitkan dengan makna kiasan, iaitu naik marah dengan segera (apabila disoal, dikritik, dan sebagainya). Oleh itu, perkataan melenting tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 16.11.2011 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. 1. Apa yang membezakan penggunaan 'tiub' dan juga 'tabung'? Adakah kedua-duanya padanan kepada 'tube'? 2. Adakah 'badan', 'tubuh' atau 'tubuh badan' mempunyai makna yang sinonim? Mana yang paling tepat sebagai padanan kepada 'body' dalam bidang sains perubatan? 3. 'Tanah-tanih' merupakan istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian iaitu perlu diletakkan tanda sempang sekalipun 'tanah' dan 'tanih' boleh berdiri sendiri dengan makna tersendiri. Adakah terdapat senarai lengkap istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian ini? Terima kasih. | 1. Tiub ialah 1. benda yang bulat panjang dan berlubang di tengahnya, torak: ~ kaca (getah); 2. sejenis bekas daripada plastik dll yang digunakan untuk mengisi cecair yang likat dsb: ~ ubat gigi; 3. bahagian dalam tayar basikal. Manakala tabung ialah 1. bekas ruas daripada buluh dll (untuk menyimpan sesuatu), bumbung: ~ air; 2. bekas yang berbentuk silinder: ~ gas oksigen; 3. peti atau kotak (utk surat dll); 4. tempat menyimpan wang (daripada buluh dll), celengan; 5. sesuatu yang berbentuk bulat torak (dlm enjin dll), silinder; 6. wang yang dikumpulkan (dengan mengutip derma dll) untuk maksud tertentu, dana. Dalam data kami, padanan istilah tube dalam bahasa Melayu ialah tiub, tabung dan salur. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, tubuh badan bermaksud keseluruhan jasad. Istilah yang sesuai digunakan dalam bidang perubatan ialah badan. 3. Tanah-tanih merupakan kata ganda yang bermaksud segala macam tanah. | Tatabahasa | 06.10.2013 |
Hello. Apakah perbezaan antara "jantung" dan "hati"? Adakah jantung utk konteks biologi sains tubuh badan manakala hati utk konteks cinta dan kasih? Di samping itu, sanubari dan kalbu? | Jantung dan hati ialah dua organ yang berbeza. Dari aspek bahasa, kedua-dua perkataan merujuk kedua-dua organ tersebut kecuali apabila dirangkaikan dengan perkataan lain maka akan wujudlah makna lain seperti jantung hati yang bermaksud orang yang dikasihi. | Tatabahasa | 19.06.2013 |
saya ingin menterjemah perkataan FEEDER kepada istilah BM dalam konteks ujian penilaian pemakanan dan penilaian yang dilakukan di hospital. ayat berbunyi FEEDER menggunakan bahasa tubuh badan dan suara yang boleh menarik perhatian kanak-kanak | Dalam data rujukan kami, padanan bahasa Melayu bagi perkataan feeder ialah penghantar, pembekal, penyuap, penghubung, pengantara, pemakan dan penyumbang. Pemilihan perkataan berdasarkan konteks penggunaan. | Makna | 02.07.2020 |
selamat malam.boleh berikan contoh-contoh perbendaharaan kata? | Perbendaharaan kata ialah khazanah kata dalam sesuatu bahasa atau sesuatu bidang (leksikon). Antara contohnya ialah nama tubuh badan seperti bahu, kepala, muka dan rupa; barang perdagagan seperti neraca, laba, dan kedai; alat perkakas seperti jala, bajan, dan pili; tumbuh-tumbuhan seperti cempaka, cendana dan delima. | Makna | 06.03.2008 |
Apakah perbezaan antara sendiri dan diri? | Sendiri dan diri membawa maksud yang sama atau hampir sama makananya dengan kata lain. Sendiri atau diri membawa maksud tubuh badan atau orang sebenarnya (bukan wakil, diri yang sebenarnya). Contoh ayat, Diri sendiri. | Lain-lain | 25.10.2021 |
Assalamualaikum, salam sejahtera, sebelum ini saya ada bertanya berkaitan perkataan "jentu" dan "pedunkel". Saya sedia maklum yang "pedunkel" tidak merujuk khusus pada tangkai bunga tetapi juga anatomi pada tubuh badan. Tapi adakah "jentu" di sini boleh merujuk pada "pedunkel" yang ada pada tumbuhan berdasarkan huraiannya iaitu, "jentu" merujuk pada "tangkai yang terbesar pada gubahan bunga" (di mana "gubahan bunga" boleh merujuk pada "infloresens"), sedangkan "pedunkel" pula adalah "tangkai induk yang menyokong infloresens"? | Penggunaan kata "jentu" bagi makna "pedunkel" pada tumbuhan perlu dipersetujui dan disepakati oleh pakar bidang tersebut dan pakar bahasa. Walaupun, makna kata ini mempunyai persamaan namun penerimaan dan perakamannya dalam sesebuah kamus perlu mendapat pengesahan pakar. Cadangan untuk menggunakan kata "jentu" ini dalam penulisan ilmiah atau dalam penyebaran ilmu dan sebagainya adalah baik, namun maknanya perlu diberikan takrifan baharu seperti "pedunkel" yang berbeza daripada makna "jentu" sekarang (terhad kepada makna untuk gubahan bunga; bukan tumbuhan yang asli). | Makna | 29.05.2023 |
Faedah-Faedah bersukan dalam kalangan murid IALAH DAPAT....... atau Faedah-faedah bersukan dalam kalangan murid ADALAH DAPAT...... yang mana betul? | Faedah bersukan dalam kalangan murid dapat menyihatkan tubuh badan. Kata pemeri ialah/adalah tidak perlu hadir dalam ayat ini. | Tatabahasa | 17.05.2021 |