Apakah kesalahannya? 1) Pengunjung yang ke 1000 pasar raya itu layak menerima hadiah. 2) Jangan cerobohi rumput-rumput yang baru ditanam di taman ini. 3) Wajah Mak Usu mengingatkan saya kepada arwah ibu yang saling tak tumpah seiras. 4) Promosi barangan murah oleh pasaraya menarik perhatian. 5) Haji Khalid gemar cerita mengenai zaman bujangnya kepada anak-anak. | Ayat yang saudara kemukakan terdapat kesalahan dan telah kami perbetulkan. 1) Pengunjung yang ke-1000 pasar raya itu layak menerima hadiah. 2) Jangan pijak rumput-rumput yang baru ditanam di taman ini. 3) Wajah Mak Usu salin tak tumpah arwah ibu dan mengingatkan saya kepadanya. 4) Promosi barangan murah oleh pasar raya menarik perhatian orang ramai. 5) Haji Khalid gemar bercerita mengenai zaman bujangnya kepada anak-anak | Tatabahasa | 05.04.2013 |
Baru-baru ini, saya mendapat info tentang peperibahasa yang ramai tidak sedari di WhatsApp. Ingin saya pastikan kebenarannya. 1. HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI atau HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI? 2. MELEPASKAN BATUK DI TANGGA atau MELEPASKAN BATOK DI TANGGA? 3. MATA KERANJANG atau MATA KE RANJANG? 4. MERAH PADAM atau MERAH PADMA? 5. MENJOLOK MATA atau MENCOLOK MATA? 6. SALING TAK TUMPAH atau SALIN TAK TUMPAH? | Pendapat baharu tentang peribahasa yang banyak dibincangkan dalam ruang maya belum dapat dipastikan kesahihannya kerana sehingga kini belum ada dapatan/kajian yang dapat mengesahkan kebenarannya. Buku peribahasa masih mengekalkan bentuk yang sedia ada, iaitu (1) harapkan pagar, pagar makan padi; (2) melepaskan batuk di tangga; (3) mata keranjang; (4) merah padam; (5) mencolok mata; dan (6) saling tak tumpah. | Lain-lain | 30.03.2017 |
Selamat Petang, Tuan/Puan. Saya Lee, orang Korea. Saya ingin bertanya mengenai BM. Dalam lagu kebangsaan Malaysia, ada ungkapan "Tanah Tumpahnya darahku". Dalam BI, ungkapan itu adalah "Tanah Tumpah darahku". Apakah fungsi '-nya' di 'tumpahnya'? Apakah ini berfungsi nominalisasi atau penunjuk urutan kata atau yang lain? Ini pertanyaan saya, Tuan/Puan. Atas perhatiannya, saya ucapkan terima kasih banyak. Salam takzim, Lee. | Untuk makluman tuan/puan -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga yang digunakan pada manusia dan kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain itu -nya juga berfungsi sebagai kata pembeda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, misalnya: lajunya, tumpahnya- Lajunya ialah 100 km sejam. Tanah tumpahnya darahku. | Tatabahasa | 09.08.2018 |
Kata dasar “pengebumian” ialah “ke bumi”. Dengan berdasarkan makna yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ke bumi bukanlah bermakna “masuk ke dalam bumi” melainkan berada di bumi (angkasawan kembali ke bumi) dan kena pada tanah (jatuh ke bumi, tumpah ke bumi). Dapatkah kita katakan “ke bumi” dalam konteks “pengebumian” ialah kiasan yang maksud sebenarnya ialah “dimasukkan ke dalam lubang kubur”? | Sdr. miarmgu, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Pertanyaan sdr. (soalan yang ditanyakan), dimasukkan ke dalam lubang kubur, jika melihat makna yang diberikan dalam kamus pelajar ke bumi; mengebumikan menanam mayat ke dlm kubur; menguburkan. pengebumian perbuatan atau hal mengebumikan. Kata-kata tersebut boleh memberi makna yang sdr. maksudkan. | Makna | 23.02.2009 |
assalammualaikum saya mohon bertanya boleh berikan maksud ayat di bawah Sepakat Ihsan, Persada Gemilang terima kasih | Berikut makna bagi setiap perkataan: SEPAKAT - setuju, sependirian dan seia sekata IHSAN - perbuatan yang baik, kemurahan hati dan kebaikan PERSADA - tempat Tanah tumpah darah dan taman tempat bersuka-sukaan/berehat-rehat GEMILANG - bercahaya terang-benderang DAN cemerlang
| Lain-lain | 10.01.2017 |
kesalahan penggunaan kata sendi akan dan imbuhan –kan dalam ayat bahasa Melayu | Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: 1. Wanita itu amat rindu akan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. Kesalahan penggunaan kata sendi nama akan adalah seperti yang berikut: 1. Wanita itu amat rindukan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayangkan negara tempat tumpah darahnya. Untuk maklumat lanjut tentang akhiran -kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 183 -186 | Tatabahasa | 23.03.2012 |
Universiti saya akan mengadakan majlis perutusan Naib Canselor kami. Jadi saya ingin bertanya adakah ayat ini sesuai untuk digunapakai sebagai tema majlis tersebut. Ayatnya ialah SEPAKAT IHSAN, PERSADA GEMILANG. Adakah ayat tersebut daripada segi maknanya sesuai untuk digunakan? Mohon bantuan DBP untuk memberi cadangan dari segi bahasa. Sekian, terima kasih | Untuk makluman, penggunaan perkataan untuk tema yang dipilih kurang sesuai. Berikut makna bagi setiap perkataan: SEPAKAT - setuju, sependirian dan seia sekata IHSAN - perbuatan yang baik, kemurahan hati dan kebaikan PERSADA - tempat Tanah tumpah darah dan taman tempat bersuka-sukaan/berehat-rehat GEMILANG - bercahaya terang-benderang DAN cemerlang Kami mencadangkan supaya pihak puan memilih tema dengan perkataan yang tepat.
| Lain-lain | 10.01.2017 |
Pak Rahim (mengesat) peluh yang mengalir di dahinya semasa dia bertungkus-lumus di sawah padi. Mengapakah kita tidak boleh menggunakan "mengelap" ? | mengesat1. menyapu-nyapu atau menggosok supaya kering: budak itu menggeleng-geleng sambil ~ air matanya; ~ peluh; ~ darah; 2. bp menyapu-nyapu (menggosok) kerana membersihkan sesuatu (drpd habuk, kotoran, dll); mengelapmenyapu atau mengeringkan dgn kain lap dll, menyeka: dia berdiri seketika, kemudian ~ dahinya; tidak mengapa tumpah sedikit saya boleh lap; Berdasarkan makna yang diberikan di atas, apabila dipadankan dengan contoh ayat , menunjukkan kedua-dua kata tersebut boleh digunakan, namun yang lebih tepat dan biasa digunakan ialah mengesat. | Makna | 02.10.2009 |
Tuan, frasa manakah yang baku antara "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" dengan "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu"? Saya berpendirian bahawa sendi yang betul "kepada" atau "akan" kerana "kemajuan persuratan Melayu" sasaran rasa "puas" itu walhal sendi nama yang menyatakan sasaran "akan" atau "kepada", maka frasa yang tepat "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu". Frasa sifat "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" salah kerana sendi nama "dengan" bermaksud "bersama", maka "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" bermaksud seseorang (pelaku FN benda ayat) berasa puas bersama orang "kemajuan persuratan Melayu" ini - ini tidak waras kerana "kemajuan persuratan Melayu" bukan orang, tidak berasa, maka tidak mungkinlah bersama dengan seseorang untuk berasa puas! Maka salahlah penggunaan sendi nama "dengan" dalam frasa ini. Frasa "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" ini bentuk bahasa kelumrahan masyarakat yang patut dibetulkan. Apakah pendapat tuan? | Pneggunaan kata sendi yang paling tepat ialah akan. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: 1. Wanita itu amat rindu akan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. Pada pandangan kami, frasa berasa puas kurang sesuai. Frasa yang yang sesuai ialah berpuas hati. | Tatabahasa | 22.12.2016 |