Tuan, Saya telah menyemak maksud perkataan 'usah' dalam Kamus Dewan. Usah mendukung dua maksud [1] perlu dan [2] Jangan. Dalam ayat contoh yang dikemukakan Tak usah kita mengungkit-ungkitkan hal yang lalu. Soalnya, bolehkah saya menggunakan perkataan usah tanpa perkataan 'tak ' di depannya. Kita usah menjaga kebersihan badan sepanjang masa. [Kalaulah usah mendukung maksud perlu - adakah ayat ini gramatis?] Saya agak keliru kalau usah bermaksud perlu, mengapakah maksud yang kedua pula jangan - seolah-olah berkontradiksi. Cuba tuan berikan tunjuk ajar. Sekian terima kasih. Daripada, Pencinta Bahasa | Encik Chan, Dalam ayat pertama perkataan 'tak' perlu digunakan kerana tanpa perkataan tersebut membawa maksud yang lain, bukan bermaksud perlu atau jangan. Dalam ayat kedua perkataan 'usah' boleh digantikan dengan perkataan tetapi bukan perkataan 'jangan'. | Tatabahasa | 04.06.2010 |
Puan, tolong semak betulkan ayat-ayat berikut (jika terdapat sebarang kesalahan): 1. "Usah dimarahi dia kerana dia hanya mahu bergurau dengan kamu," kata ibu kepada abang. 2. Tumpuan orang ramai terhadapnya setiap kali dia menyampaikan ucapan. 3. Kata-kata yang diungkapkan oleh Amira itu meningkatkan kemarahan Hana. 4. Ulasan itu akan disampaikannya sendiri kepada pihak pengurusan. 5. Akhirnya dia menemukan jejaka pilihan hatinya. 6. Bekas Perdana Menteri Jepun telah mengakhirkan hayatnya baru-baru ini. Terima kasih. | 1. "Usah dimarahi dia kerana dia hanya mahu bergurau dengan kamu," kata ibu kepada abang. 2. Tumpuan orang ramai diberikan terhadapnya setiap kali dia menyampaikan ucapan. 3. Kata-kata yang diungkapkan oleh Amira itu menaikkan kemarahan Hana. 4. Ulasan itu akan disampaikannya sendiri kepada pihak pengurusan. 5. Akhirnya dia menemukan jejaka pilihan hatinya. 6. Bekas Perdana Menteri Jepun telah mengakhirkan hayatnya baru-baru ini. - Ayat ini salah, sila pilih penggunaan kata yang tepat dalam konteks ayat tersebut | Tatabahasa | 20.02.2013 |
1. Apakah beza antara 'jangan' dengan 'usah'? 2. Apakah beza antara 'sila' dengan 'jemput'? 3. Apakah beza antara 'harap' dengan 'tolong'? | 1. Kata usah membawa beberapa maksud antaranya jangan. Oleh itu, jangan dan usah sama sahaja maksudnya. 2. Sila (silalah), jemput (jemputlah) dan satu lagi sudi (sudilah) sama sahaja maksudnya iaitu minta dengan hormat. 3. Harap (haraplah) bermaksud hendaklah, mintalah, pohonlah; dan tolong bermaksud bantu. Untuk lebih memahami perkatan ini dan perkataan yang lain juga sila rujuk Kamus atau layari laman web DBP di www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 16.12.2010 |
Cikgu, kata kerja dalam ayat larangan juga harus diimbuhkan dengan akhiran -kan atau menggunakan kata dasar? Contoh: 1. Jangan main di sini atau Jangan bermain di sini 2. Usah pedulikan dia atau Usah peduli dia | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 450, contoh ayat larangan: (a) Jangan ambil harta orang. (b) Kamu jangan beritahu dia. (c) Usah kaupedulikan dia. | Tatabahasa | 13.05.2014 |
Apakah perbezaan antara 1. "sila" dengan "jemput" 2. "Jangan" dengan "usah" | Sila bermaksud meminta dengan hormat. Jemput bermaksud mengajak atau menyilakan datang. Jangan dan usah ialah kata larangan yang bermaksud tidak boleh. | Makna | 16.12.2013 |
Apakah perbezaan perkataan 'jangan' dengan 'usah'? | Perbezaan makna perkataan bahasa Melayu boleh diperoleh melalui carian dalam kamus terbitan DBP, iaitu Kamus Dewan Edisi Keempat, dan Kamus Pelajar. Atau anda boleh layari usah">http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=usah untuk makna kata usah dan http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=jangan untuk makna kata jangan. Untuk makluman anda, perbezaan makna perkataan boleh dikenal pasti dalam konteks penggunaan iaitu, dengan melihat kolokasi kata selepas dan sebelum kata jangan atau usah. 1"> 1"> | Makna | 15.05.2017 |
1)Mereka memberitahu kami bahawa peraturan itu telah dikuatkuasakan mulai penggal pertama persekolahan. 2)Rajesh membuat laporan tentang kejadian itu kepada pihak pengawal. 3)Usah melonggarkan hubungan persahabatan kita yang telah lama terjalin. Tolong betulkan.Terima kasih. | 1. Mereka memberitahu kami bahawa peraturan itu berkuat kuasa mulai penggal pertama persekolahan. 2. Rajesh membuat laporan tentang kejadian itu kepada pihak pengawal. 3. Usah longgarkan hubungan persahabatan kita yang telah lama terjalin. | Tatabahasa | 16.07.2012 |
Salam 1.Mohon pihak tuan untuk jelaskan ayat perintah & contohnya. 2.Saya keliru dengan kata dasar yang menerima Imbuhan apitan .. Apakah ejaan yang betul bagi perkataan --menaikkan --kebanyakkan ---masukkan ---masukkan (Bagaimanakah mengetahui ejaan itu ada 1 K atau 2 K ? Terima kasih. | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada 4 jenis berikut. 1. AYAT SURUHAN Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan.Dalam ayat suruhan subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak,kamu,engkau, dan selainnya yang biasanya digugurkan. Contohnya: Pergi kamu dari rumah ini! 2. AYAT LARANGAN Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan,usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contohnya: Jangan ambil harta orang. 3. AYAT SILAAN Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila hantar jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Lazimnya kata silaan digunakan pada permulaan ayat seperti contoh berikut: Sila serahkan borang permohonan tersebut ke pejabat. 4. AYAT PERMINTAAN Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan,seperti minta dan tolong dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut : Minta kamu semua bertenang. Cara untuk mengetahui sama ada perkataan tersebut 1 k atau 2 k ialah: Penggunaan satu k atau dua k dalam sesuatu perkataan bergantung pada apitan yang digunakan. Kata dasar yang berakhir dengan huruf k yang menerima apitan meN-...-kan akan menghasilkan kata kerja transitif menggalakkan. Tetapi hanya satu huruf k digunakan sekiranya menerima apitan peN-...-an. | Tatabahasa | 08.03.2016 |
Selamat petang, tolong bantu saya. 1)Antara frasa di bawah, yang manakah betul? Kenapa? a)benar sekali indah, atau b)sungguh nian indah. Berkenaan soalan di atas, 'nian' dan 'sekali' merupakan kata penguat belakang. Jadi jika begitu sepatutnya, sungguh indah nian, adakah andaian saya ini benar? 2) Kata perintah diikuti dengan kata kerja. Menerusi beberapa buah buku yang saya baca, kata kerja selepas kata perintah tidak boleh ada imbuhan 'ber' dan 'me', namun imbuhan 'di' dibenarkan. Contoh :a) Jangan dibuang beg itu. b) Usah pijak rumput itu. Jadi, adakah ayat di bawah ini betul? a)Usah bermain di tepi sungai. b)Jangan bergaduh di sini. Harap tuan boleh beri penjelasan. Terima kasih. | 1) Kami setuju dengan pendapat puan, frasa yang betul ialah "sungguh indah nian". 2) Kata kerja dengan awalan imbuhan boleh hadir selepas kata perintah asalkan bersesuaian dengan konteks ayat yang digunakan. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 256 dan contoh yang dipetik daripada buku tersebut ialah: Jangan berludah di sini dan Jangan berjaja di kawasan ini. | Tatabahasa | 04.08.2011 |
Apakah kesalahan yang terdapat dalam ayat berikut, tolong jelaskan mengapa: 1. Para penduduk Taman Harmoni sangat berpuas hati dengan program Hari Keluarga yang diadakan itu. 2. Ibu saya berpuas hati dengan baju yang dijahit oleh pekerja di Raihan Butik. 3. Usah conteng dinding. 4. Cikgu Raihan perhatikan murid-murid bersenam di padang. 5. Murid-murid dikehendaki supaya menghantar kertas soalan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Penduduk Taman Harmoni sangat berpuas hati dengan program Hari Keluarga yang diadakan itu. 2. Ibu saya berpuas hati dengan baju yang dijahit oleh pekerja di Butik Raihan. 3. Jangan conteng dinding. 4. Cikgu Raihan memerhatikan murid-murid bersenam di padang. 5. Murid-murid dikehendaki menghantar kertas soalan. Sila bandingkan ayat asal dan ayat baharu dan tuan akan dapat mengesan kesalahan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 09.09.2015 |